Kisah #6 : Dari Bipolar kepada Pelajar Phd

KisahKita 6 featured image

Salam Sejahtera, saya adalah bekas pesakit Bipolar Disoder Tahap 2 pada tahun 2009. Suka ingin saya kongsikan pengalaman indah ini. Alhamdulillah saya telah membuat keputusan untuk berhenti makan ubat penenang yang dipreskipsi oleh Dr pada tarikh keramat 1.1.2017. Untuk makluman pada 2005-2008 saya antara pelajar terbaik sewaktu pengajian diploma, menyambung terus ijazah selepas itu. Waktu saya sambung Ijazah saya mengalami masalah dengan rakan serumah, rakan sekelas, kawan lelaki dan keluarga. Akibatnya saya mengalami kemurungan dan hilang minat untuk pergi ke kelas. Saya jadi orang yang lupa tanggungjawab pada pelajaran, agama dan diri sendiri. Mungkin kerana pengajian ijazah saya membosankan bagi saya yang selalu jadi pelajar terbaik masa diploma, pengajian ijazah umpama pengulangan subjek diploma dengan sedikit penambahan ilmu. Dan mungkin kerana saya sentiasa jadi ketua dalam group assignment dan terlalu ingin menyiapkan semua tugasan ikut kesempurnaan saya, saya lebih tertekan berbanding kawan yang lain. Ya, saya pernah sebijak pointer 3.94 keputusan peperiksaan saya sedangkan markah penuh adalah 4.00 .

R.E.H.A.T

Tuhan itu Maha Adil. Rupanya, Tuhan bagi saya REHAT, sebenar-benar rehat. Saya berjaya tamatkan pengajian ijazah saya selepas keluar hospital, saya ikut apa nasihat Dr. , makan ubat, cuti 1 semester, dan kembali siapkan baki 1 tahun pengajian, abahlah orang yang bertanggungjawab penuh menghantar saya ulang-alik ke universiti untuk pastikan saya siapkan pengajian saya sampai graduasi. Selepas graduasi saya tidak bekerja bermula tahun 2011 sehingga 2014, saya masih makan ubat penenang, jumpa Dr setiap 6 Bulan untuk kemaskini keadaan mental saya di hospital.

Ubat penenang ni ubat untuk rehat. Otak saya terlalu laju. Bayangkan saya masuk kelas 1 tahun terakhir tu macam orang bodoh, sebab makan ubat ni dos agak tinggi dan saya sering mengantuk. Tetapi, saya jawab peperiksaan tu macam tiada masalah, saya jawab ngantuk-ngantuk, blur tapi mungkin berkat ilmu masa diploma tu melekat dalam otak saya. Saya jawab je la. Saya pun tak percaya saya berjaya lulus. Terima kasih buat pensyarah-pensyarah diploma yang sentiasa sayang saya dan masih hubungi saya hingga hari ini melalui media sosial.

Selepas habis peperiksaan akhir ijazah, saya dapat surat tawaran serapan terus pengajian Master, hancur luluh hati saya, abah pesan, Ida REHAT dulu ya, nanti dah sihat Ida sambung semula. Sebab Ida ni tak pernah rehat belajar dari tadika. Suka sangat belajar.

P.U.L.I.H

Kawan baik, keluarga, diri sendiri dan Tuhan.

Keluarga
Abah pesan kat saya, setiap kali nak pergi mana-mana kena info keluarga dengan siapa dan kemana. Keluarga takut saya tersilap langkah lagi. Abah memang kuat semangat ubat saya hampir lebih RM1,000.00 setiap bulan, abah bayarkan, abah kata Ida jangan fikir, itu tanggungjawab abah. Saya macam Tuan Puteri ya, ada lesen memandu tapi Abah tak izinkan memandu masa mula-mula dapat lesen sebab dia takut apa-apa jadi kat saya. Jadi sampai la hari ini saya masih dihantar oleh keluarga kemana-mana. Dari satu aspek perkara ni ada hikmahnya. Jadi saya terselamat dari anasir jahat yang kita tak tahu kat luar sana, bila kita ni sentiasa di jaga rapi oleh keluarga.

2011-Abah tapis betul siapa yang boleh saya berkawan, yang boleh keluar sama. Masa ni kawan lain semua dah bina kerjaya dan keluarga.Saya masih termanggu-manggu sendirian makan ubat, tidak bekerja dan rasa tiada hasil yang boleh dibangggakan. Sudahlah saya ni anak pertama yang masuk UNIVERSITI.

2014-Saya mula tergerak hati nak kerja yang mudah, kak ipar saya bantu saya dan bagi semangat tanyakan kerja kosong diKedai dalam Giant. Bermulalah saya bekerja. 14 hari lepas tu saya dapat tawaran kerja pejabat tak jauh dari Giant ni,2 bulan je bertahan.

Kemudian Abah bagi tawaran kerja dengan Abah.Abah pun tiada siapa yang kerja dengan dia, syarikat kecil.Mulalah saya belajar menguruskan syarikat dari sekecil-kecil perkara mencuci tandas sehingga tandantangan cek syarikat dan membuat transaksi besar di kaunter bank.Rupanya Abah saya ni KONTRAKTOR.

Masa pun berlalu

2016- Dos ubat telah dikurangkan oleh Dr. sehingga 2 biji sahaja dari awal dahulu 6-10 biji sehari

Saya telah minta nasihat Dr, jika saya berhenti makan ubat apa akan jadi.
Dr. pesan, apa-apa jadi pada Ida, Dr tak betanggungjawab dah. Tapi Dr. pesan jika keadaan tak selamat Ida kena cepat-cepat pergi hospital semula. Supaya kesihatan mental Ida dapat dirawat segera.

DIRI SENDIRI DAN TUHAN

Saya mula senaman dan jogging di taman bersama kawan, lama-lama kawan jadi orang yang toksik. Semua kawan baik saya Tuhan hilangkan secara yang saya tak duga.

ooooo rupanya.. Tuhan nak bagi kejayaan pada saya.

1.1.2017 saya lari dari rumah dan lepak rumah kawan baik saya. Disitu saya melihat dunia sahabat saya yang ringkas, ada rumah ada anak dan suami, rumahnya memang ringkas je. Tiada benda yang sangat detail macam rumah keluarga saya.

Masa ni saya lari sebab tension dengan kawan baik saya, adik beradik saya.Saya konon-konon pergi jogging tapi tak balik-balik. Sikit lagi jadi kes polis.

Memang la saya stress bila adik beradik jadi sewel soal duit syarikat abah saya. hahahhaha saya je yang bantu abah saya. Mereka mana ada hak tanya, kan?

Oklah, saya mulakan cerita bagaimana saya buat keputusan berhenti makan ubat.

Masa lari daripada rumah tu, saya borak dengan Sahabat saya tu la. Lama borak, sebab dia kawan saya dari darjah 3, banyaklah sembang. Kat sanalah saya buat keputusan stop makan ubat. Dan saya wajib kawal diri saya sendiri.

Satu hari, saya mula solat. (sepanjang 2009-2016 boleh kata saya betul-betul tak solat).
Kemudian saya nak berhenti betul-betul makan ubat saya buat solat taubat nasuha.

Setiap hari dari 2017 hingga harini saya sentiasa solat tahjud, zikir, baca tafsir alquran (alhamdulillah saya khatam baca tafsir).

Setiap hari juga saya melihat matahari terbit, jogging dan zumba.Ada juga kawan ajak pergi hiking.

Bukan mudah nak berhenti makan ubat, sebab saya jadi pemarah. Benda kecil jadi besar. Saya asyik marah-marah je. Siap beli punching bag tuk lepaskan kemarahan. Keluarga mula risau. Saya kena kurung kat rumah, Abah tukar semua mangga kunci rumah supaya saya tak dapat keluar suka hati saya. Mereka takut saya hilang kawalan diri.

Bayangkan saya pernah mengamuk kat kaunter agensi kerajaan sebab mereka main-mainkan abah saya bila abah saya pergi buat urusan mereka suruh balik tengok kat online, lepas saya tengok dan semak, mereka yang memang tak buat kerja.Memang best la mereka semua kena marah dengan saya, buat kerja main-main. Masa kali ketiga saya follow up, terus timbalan pengarah agensi tu keluar dan minta maaf dengan saya sebab masalah itu, dan fail yang saya nak pun sedia kat tangan beliau dan beliau serah pada saya.

Memang pada mulanya sukar.Tapi lama-lama saya pandai kawal diri sendiri.Saya buat urusan yang perlu sahaja.Saya tak layan adik beradik atau manusia yang biadap terhadap saya. Saya blok mereka dari kehidupan saya yang sebenar dan media sosial.

Mac 2017 saya sambung pengajian master saya.Alhamdulillah.Bila saya sangat sibuk dengan apa yang saya nak capai, saya nak uruskan syarikat dan pelajaran.Maka, saya dah ada fokus. Saya berjaya cipta rutin kejayaan dan kurang masa nak marah-marah.

Terima kasih Allah.

Saya dapat kawan baru yang sentiasa jaga saya, hargai saya dan nak graduasi master sama-sama.Allah Maha Baik, Dia tangguhkan impian saya bersebab .Seronok sangat belajar. Semester akhir saya sentiasa masak dan bawa makanan untuk kawan-kawan semua dalam 20 orang(kelas 3 hari sahaja seminggu jam 5 petang-11malam), mereka dan pensyarah pun seronok, bawa air dan makanan tambah-tambah. Owh ya saya ada kawan baik masa ni Irma dan Khalid. Sempat pergi bercuti ke Thailand sama-sama.

Tahun 2019 Saya pun graduasi Master saya. kemudian saya teruskan impian saya ..saya daftar untuk pengajian PhD pula.

Harini saya masih bergelar pelajar PhD, seorang pengurus syarikat Kontraktor saya sendiri, dan beberapa biz online seperti ejen jual tudung dan pin tudung. Dan juga jual Bunga Kantan Abah yang tanam.

Sekarang saya da seorang staff yang boleh bantu saya untuk uruskan pejabat dan memandu untuk saya.

Alhamdulillah.

Indahnya Ujian ALLAH.

Berbaik sangkalah kita pada ALLAH.

Dekatkan diri kita dengan Allah, solat awal waktu. Sentiasa berzikir. Sentiasa pegang AlQuran.

Allah Maha Dekat rupanya.

Maha Dengar

Maha Menyembuhkan

dan Maha Cinta

2022-Saya telah berkahwin. Alhamdulillah. Majlis sanding dan nikah saya 95% saya urus sendiri. Alhamdulillah.

Hari ni, orang tengok senyuman saya manis sangat.

Kalau buat urusan syarikat di bank, selalu saya melawak dengan staff di kaunter bank tersebut. Menceriakan keadaan.

Rakan niaga pun seronok berurusan dengan syarikat saya. Sebab saya kan komited dan jenis best student, akan buat yang terbaik dalam setiap kerja yang diberi.

Alhamdulillah, terima kasih Allah untuk semuanya.

Manis dalam aturan-Mu.

Kongsikan kisah ini

Facebook
Twitter
WhatsApp

Kisah Terkini

Kisah #26 : Saya Ketakutan

Semakin hari, dada saya semakin sakit! Kepala saya semakin pening! Badan saya kerap ‘shaking’ apabila berhadapan dengan situasi keramaian..

Kisah #25 : Aku Menderita

Menderita? Benarkah? Aku tidak begitu ingat. Tetapi jika tidak, mengapa aku terpaksa menggalas beban kemurungan sejak bersekolah?