Bagaimana Cara Untuk ‘Deal’ Dengan Individu yang Memiliki Borderline Personality Disorder?

pexels-dwi-woro-3913245

Borderline Personality Disorder (BPD) ialah gangguan kesihatan mental yang menyebabkan masalah dalam hubungan interpersonal, perubahan mood yang melampau, ketakutan untuk ditinggalkan, tingkah laku impulsif dan masalah dengan harga diri dan imej diri.

Jika seseorang yang anda sayangi didiagnosis dengan BPD, kadangkala anda mungkin sukar memahami perasaan atau tingkah laku mereka, dan tidak tahu bagaimana cara untuk ‘deal’ dengan mereka.

Apabila cuba menyokong dan berkomunikasi dengan seseorang yang mempunyai BPD, adalah penting untuk memahami bahawa ia adalah tingkah laku yang berpunca daripada gangguan klinikal yang berkemungkinan boleh mengecewakan, menyakitkan atau menakutkan anda.

Perkara Positif yang Boleh Anda Lakukan

Tetapi terdapat banyak perkara positif yang boleh anda lakukan untuk menyokong mereka:

  • Tambah pengetahuan tentang BPD. Memahami keadaan boleh membantu anda berempati dengan orang itu dan mengurangkan perasaan kecewa atau kekeliruan.
  • Bersabarlah. Apabila orang itu mengalami emosi yang sengit dan perubahan mood, bersabar dan elakkan bertindak balas secara negatif terhadap ledakan emosinya.
  • Ketahui faktor pencetus (triggering factor). Bercakap dengan orang itu dan cuba ketahui jenis situasi atau perbualan yang boleh mencetuskan pemikiran dan emosi negatifnya. Anda mungkin tidak dapat melindungi dia sepenuhnya, tetapi meminimumkan pendedahan kepada pencetus negatif boleh membantu.
  • Tetapkan sempadan. Orang itu mesti memahami bahawa terdapat tingkah laku yang anda tidak akan bertolak ansur dan bahawa sempadan adalah penting untuk penjagaan diri anda.
  • Alihkan perhatian mereka. Apabila anda melihat emosi orang itu makin tidak terkawal, tarik perhatiannya kepada sesuatu yang positif boleh menjadi berkesan.
  • Kekal tenang dan stabil. Tanggapi tekanan emosi orang itu dengan sikap yang tenang dan stabil. Jika anda merasakan diri anda menjadi marah atau kecewa, cuba luangkan sedikit masa bersendirian atau pergi berjalan-jalan jika anda boleh.
  • Jangan mengkritik/menghukum. Elakkan membuat kenyataan berbaur kritikan/menghukum, kerana ia boleh mencetuskan reaksi defensif. Sebaliknya, tawarkan maklum balas dan sokongan yang membina.
  • Berkomunikasi dengan jelas. Gunakan komunikasi yang jelas dan ringkas apabila membincangkan jangkaan, rancangan atau kemungkinan konflik. Elakkan cakap ‘berlapik’ atau tidak jelas.
  • Penjagaan diri. Menjaga kesejahteraan mental dan emosi anda sendiri adalah penting apabila berurusan dengan seseorang yang mempunyai BPD. Kekalkan rangkaian sokongan anda, libatkan diri dalam amalan penjagaan diri dan pertimbangkan untuk mendapatkan sokongan atau terapi untuk diri sendiri jika perlu.
  • Galakkan mereka mendapatkan rawatan. Jangan memaksa, tetapi ada boleh bantu orang itu untuk melihat bahawa pemulihan melalui terapi bersama ahli profesional kesihatan mental boleh membantu.

Hubungi Kami

Adalah penting untuk diingat bahawa BPD adalah keadaan yang kompleks, dan individu yang mempunyai BPD mungkin mengalami kesakitan dan cabaran emosi yang teruk.

Sokongan dan pemahaman anda boleh menjadi berharga dalam perjalanan mereka ke arah mengurus gejala mereka dan meningkatkan kualiti hidup mereka.

Walau bagaimanapun, adalah sama penting untuk mengutamakan kesejahteraan anda sendiri dan mendapatkan bantuan dan sokongan untuk diri anda seperti yang diperlukan.

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp