Selain daripada golongan dewasa, remaja juga mempunyai risiko untuk mengalami masalah kesihatan mental. Kesihatan mental semasa usia remaja sedikit sebanyak akan memberi kesan sepanjang hayat kita.
Perasaan, pemikiran dan tindakan kita hari ini boleh dipengaruhi oleh keadaan kesihatan mental kita semasa remaja. Zaman remaja adalah satu tempoh yang penting untuk seseorang individu mencipta tabiat mental yang positif dan membina asas untuk kehidupan dewasa yang lebih stabil serta memuaskan.
Walau bagaimanapun, zaman remaja merupakan fasa kehidupan yang sangat sukar untuk dijalani bagi sesetengah individu. Ia membawa seribu satu cabaran kepada mereka. Perubahan emosi, pengalaman dan hormon dalam tempoh yang singkat menjadikan remaja sangat terdedah kepada isu kesihatan mental.
Punca Isu Kesihatan Mental dalam Kalangan Remaja
Berikut adalah lima (5) punca biasa yang membawa kepada isu kesihatan mental dalam kalangan remaja yang semua ibu bapa atau penjaga harus ambil perhatian :
- Pengalaman kehilangan orang tersayang
Kehilangan ibu bapa atau adik beradik diumpamakan seperti kehilangan sebahagian daripada diri kita. Merasai kehilangan sejak usia muda boleh meninggalkan luka yang mendalam dalam kesihatan emosi mereka.
Jika tidak ditangani dengan betul, ia boleh menjejaskan semua aspek kehidupan. Ini termasuk cara mereka mengendalikan perhubungan, perkembangan emosi dan psikologi mereka, dan kejayaan masa depan mereka sebagai orang dewasa.
- Penderaan atau trauma
Pengalaman didera secara fizikal, mental atau seksual sering dikaitkan dengan permulaan masalah kemurungan, penyalahgunaan barang terlarang, kehamilan remaja, risiko bunuh diri dan banyak lagi. Bahkan, ia boleh mengambil masa bertahun-tahun untuk memahami kesan penuh penderaan atau trauma sejak usia kanak-kanak dan kesannya, yang sering terlihat semasa usia remaja.
- Tingkah laku pemakanan yang tidak sihat
Makan berlebihan atau kurang makan boleh menjadi petunjuk utama masalah kesihatan mental. Dalam kedua-dua kes ini, akses kepada bahan makanan yang sihat dan maklumat tentang sukatan pemakanan yang betul tidak selalu tersedia untuk isi rumah merentas sosioekonomi yang berbeza.
Makan berlebihan dan kurang makan juga boleh menjejaskan keyakinan diri remaja, serta menjejaskan perasaan mereka tentang diri mereka sendiri – yang boleh memberi implikasi serius terhadap kesejahteraan mental dan emosi mereka secara keseluruhan.
- Persekitaran rumah yang tidak selamat
Rumah sepatutnya berfungsi sebagai tempat perlindungan untuk remaja, di mana mereka boleh bebas daripada tekanan kehidupan seharian mereka. Walau bagaimana, apa yang berlaku dalam setiap isi rumah pastilah berbeza.
Remaja yang berasa tidak selamat di rumah, terdedah kepada isu kesihatan mental. Sebagai ibu bapa atau orang dewasa, penting untuk kita memikirkan cara bagaimana mewujudkan persekitaran rumah yang paling selamat buat anak-anak.
Jangan biarkan apa yang berlaku di rumah menjadi pencetus dan punca isu kesihatan mental anak remaja anda.
- Kecederaan pada otak
Kecederaan otak merupakan faktor biological yang boleh menyebabkan pelbagai ketidakteraturan mental dan emosi, seperti kebimbangan, perubahan mood atau kemurungan. Sebarang jenis kecederaan kepala boleh menjadi punca yang serius kepada masalah kesihatan mental.
Oleh itu, penjaga harus bersedia untuk menangani kesihatan mental remaja mereka jika kecederaan telah berlaku.
Penyakit mental dalam kalangan remaja boleh dicetuskan oleh beberapa faktor yang berbeza. Dengan menyedari sebarang punca yang berpotensi membawa kepada masalah kesihatan mental, remaja dan keluarga mereka boleh mendapatkan bantuan yang sesuai dengan lebih cepat.
Hubungi Kami
Awasi anak remaja anda. Perhatikan jika mereka ada menunjukkan sebarang tanda-tanda awal masalah kesihatan mental. Jika ada, jalani konsultasi bersama psikologis kami dengan segera.
Dengan mengenal pasti dan menangani isu kesihatan mental dengan cepat dan mendapatkan bantuan yang betul lebih awal, ia akan membantu anak remaja anda untuk berjaya sepanjang hayat mereka.