6 Cara Melatih Anak Usia 3-4 Tahun Mengatur Emosi

WhatsApp Image 2023-02-17 at 16.16.15

Anak anda yang berusia tiga hingga empat  tahun sedang berada dalam fasa di mana mereka belajar daripada apa yang anda tunjukkan atau ajarkan kepada mereka.

Setiap perbuatan atau tingkah laku anda mempunyai kesan tersendiri terhadap anak anda kerana mereka mudah meniru apa sahaja yang dilihat dan didengari dalam proses perkembangan mereka.

Terutamanya, dari aspek mengurus dan mengatur emosi. Kanak-kanak yang berusia dalam lingkungan tiga hingga empat tahun masih tidak tahu bagaimana caranya untuk mengatur emosi mereka dengan baik.

Anda adalah guru terdekat yang boleh mendidik anak anda dan menjadi contoh terbaik buat mereka.

Kebolehan mengatur emosi ini adalah suatu kemahiran yang boleh dipelajari dan diajar. Adalah sangat penting untuk anak anda mempelajari bagaimana cara untuk mengatur emosi supaya mereka dapat meluahkan apa yang mereka rasa dengan cara yang betul selain mempunyai kesejahteraan emosi yang baik. Ia juga sedikit sebanyak dapat membantu dalam perkembangan pertuturan dan bahasa anak anda secara berperingkat.

Terdapat beberapa cara yang anda boleh lakukan untuk melatih anak anda mengatur emosi. Antaranya: 

  1. Kenali emosi atau perasaan diri

Sebagai ibu bapa, anda boleh mula memperkenalkan beberapa jenis emosi yang utama seperti gembira, sedih, marah, terkejut dan sebagainya.

Anda juga perlulah menerangkan kepada mereka secara ringkas tentang perasaan bagi setiap emosi tersebut serta kegunaannya mengikut kesesuaian situasi supaya mereka dapat memahaminya dengan jelas.

  1. Kenali emosi atau perasaan orang lain

Cara ini lebih kurang sama dengan cara yang telah dinyatakan tadi, tetapi perbezaannya ialah, ia melibatkan emosi orang lain dan bukannya emosi anak anda.

Sebagai contoh, apabila anda marah disebabkan kesalahan anak anda, terangkan kepadanya tentang apa yang anda rasa beserta alasan kenapa anda berasa marah atas perbuatannya.

Cuba fahamkan anak anda bahawa perbuatan tersebut akan membuatkan anda berasa marah. Dengan cara itu, mereka akan dapat memahami anda dengan lebih baik dan tidak melakukan perbuatan itu lebih kerap.

  1. Hadir dan dengar perasaan anak anda dengan penuh perhatian

Apabila anak anda sudah mula mencuba untuk menunjukkan emosi atau perasaannya dalam sesuatu perkara, berikan perhatian sepenuhnya terhadap apa yang dia cuba tunjukkan dan ambil tahu tentang bagaimana perkara tersebut dapat memberikan kesan yang baik terhadap emosinya.

Kemudian, berikan kata-kata yang menyenangkan untuk menunjukkan bahawa anda memahami apa yang anak anda rasa dan adakan sedikit perbincangan supaya anda dan anak anda dapat sama-sama memahami satu sama lain.

  1. Berikan contoh yang baik

Apabila anda berada dalam situasi yang membangkitkan emosi anda secara jelas, ekspresikan perasaan anda melalui perbuatan yang sesuai dengan apa yang anda rasa dengan cara yang betul.

Contohnya, apabila anda berasa marah atas sesuatu perkara, janganlah pula anda bertindak di luar kawalan dengan menempiaskan perasaan tersebut dalam bentuk amarah atau keganasan fizikal kerana anak anda mungkin akan meniru perbuatan tersebut. Sebaliknya, cuba tenangkan diri anda dan suarakan perasaan anda dengan baik.

  1. Berikan pujian pada anak

Cara ini dapat mengajar anak anda untuk mengatur emosinya dengan baik. Misalnya, ketika berada dalam situasi di mana anak anda menunjukkan sebarang emosi, berikan pujian kepada anak anda apabila dia melakukan perbuatan yang sepatutnya atau bersesuaian dengan apa yang dia rasa.

Sedikit sambutan atau penghargaan melalui kata-kata dapat membuatkan anak anda berasa gembira dan dihargai. Namun, anda tidak digalakkan untuk memuji secara kerap kerana perbuatan tersebut dapat memberikan kesan negatif jika dilakukan secara berlebihan.

  1. Ajarkan anak anda teknik menenangkan diri

Kebanyakan ibu bapa tidak memilih untuk mendekati anak mereka dengan cara yang lembut apabila anak mereka menunjukkan emosi seperti marah. Hal ini kerana, sesetengah daripada anda mungkin berfikir bahawa berlembut dengan anak anda ketika mereka marah adalah suatu pendekatan yang salah dan bersifat memanjakan anak.

Namun, sebenarnya ia adalah perbuatan yang betul kerana anak anda memerlukan bantuan daripada anda untuk mengajar mereka bertenang. Anak anda memerlukan perhatian dan bukannya pengasingan daripada anda. Ajar mereka teknik pernafasan dan berikan mereka ruang untuk bertenang seketika selepas marah. 

Kemudian, anda boleh mengajak anak anda untuk memberi penjelasan kepada anda. Selepas itu, kongsikan cara atau solusi yang mereka boleh lakukan untuk menyelesaikan masalah mereka. Lama kelamaan, mereka akan belajar dan berkebolehan untuk melakukannya sendiri tanpa bantuan anda.

Jika anda mendapati bahawa anak anda menghadapi kesukaran dalam mengatur emosi walaupun setelah anda cuba membantu dan mengajar mereka, sebagai ibu bapa anda dinasihatkan untuk membawa anak anda berjumpa dengan psikologis klinikal kami bagi mendapatkan bantuan dan penilaian awal.

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp