Apa yang Anda Perlu Tahu tentang Stimming?

pexels-ketut-subiyanto-4473810

Adakah anda pernah melihat anak anda kerap melakukan sesuatu perkara atau perbuatan secara berulang kali?

Jika ya, tingkah laku ini merupakan salah satu simptom atau ciri-ciri Autism Spectrum Disorder (ASD). Ia dipanggil sebagai stimming.

Stimming adalah singkatan bagi perkataan bahasa inggeris iaitu self-stimulatory behaviour di mana anak anda berjalan mundar-mandir, mengepak dan mengibaskan tangannya atau ada juga yang menghantukkan kepala di dinding secara berulang kali.

Mengapa kanak-kanak dengan ASD stimming?

Berdasarkan kajian, punca sebenar masih belum diketahui, namun beberapa pakar berpendapat bahawa stimming merupakan salah satu cara yang kanak-kanak autistik gunakan untuk mengawal serta meregulasi emosi mereka.

Ada juga pakar yang berpendapat bahawa stimming dilakukakan untuk mendapatkan keseronokan dan keselesaan dalaman.

Akan tetapi, tingkah laku stimming ini bukan dilakukan oleh mereka yang mempunyai ASD sahaja. Orang biasa yang bukan autistik juga mempunyai stimming, namun yang membezakan mereka ialah, kanak-kanak autistik tetap akan melakukannya walaupun orang sekeliling memberikan pandangan pelik terhadap perbuatan mereka.

Hal ini kerana, mereka tidak mempunyai keupayaan untuk membaca atau memahami perbuatan orang lain sebagai suatu respon kepada mereka.

Terdapat beberapa jenis stimming. Antaranya:

  • Verbal and auditory stimming (lisan dan pendengaran)
    Pertuturan berulang (repetitive speech), menutup atau mengetuk-ngetuk telinga, membuat bunyi yang bernada tinggi.
  • Visual stimming (penglihatan)
    Termenung dengan fikiran kosong, mengedipkan mata secara berulang, membuka dan menutup suis lampu.
  • Tactile stimming (sentuhan)
    Menggosok atau menggaru tangan atau objek, membuka dan menutup genggaman secara berulang kali, mengetuk jari berulang kali.
  • Vestibular stimming
    Bergerak ke hadapan dan belakang serta dari sisi ke sisi berulang kali, berpusing, melompat setempat.
  • Olfactory or taste stimming (hidu atau rasa)
    Menghidu objek, merasa objek yang tidak biasa dirasa, menjilat tangan atau objek.


Stimming juga mempunyai kebaikannya tersendiri untuk kanak-kanak autistik.

Ia dapat membantu mengurangkan atau menyekat input sensori yang mungkin berlebihan bagi mereka. Ini adalah disebabkan kanak-kanak dengan ASD sering kali mempunyai disfungsi pemprosesan sensori (sensory processing dysfunction).

Jadi, stimming akan membantu mereka untuk melawan semula perasaan itu untuk menenangkan diri mereka.

Bagaimanakah anda dapat membantu mengurangkan stimming anak anda terutamanya jika ia terlalu berlebihan dan membahayakan diri mereka?

Berikut adalah beberapa perkara yang boleh anda lakukan:

  1. Pergi ke terapi cara kerja


Terapis cara kerja akan dapat membantu anak anda mengurangkan stimming dengan melakukan sebarang aktiviti atau merangka pelan intervensi untuk mereka seperti sensory diet. Sensory diet merupakan salah satu terapi cara kerja yang boleh digunakan untuk mengurangkan stimming dengan menjadualkan aktiviti ke dalam kehidupan seharian anak anda untuk memenuhi keperluan sensori individu mereka.

  1. Mengubah atau menyelaras persekitaran serta persekitaran sosial anak anda untuk mengurangkan stres


Dengan mengurangkan stres daripada persekitaran dan sosial anak anda, ia akan dapat mengurangkan juga risiko untuk mereka mengalami beban sensori yang berlebihan. Contohnya, meletakkan mereka di dalam kapasiti kelas yang lebih kecil, menggunakan tingkap atau bilik yang kalis bunyi (soundproof), menghilangkan cahaya yang membuatkan mereka berasa tidak selesa.

  1. Stim toys

Memperkenalkan mainan atau objek yang dapat menggantikan stimming mereka seperti stress ball atau fidget spinner dapat membantu mereka beralih kepada stimming yang lain.

  1. Mempraktikkan self-regulation (regulasi diri)

Salah satu cara yang berkesan untuk mengurangkan stimming adalah dengan cuba menerapkan self-regulation ke dalam diri mereka. Ia dipercayai secara meluas bahawa stimming dapat dikurangkan jika kanak-kanak tersebut berupaya untuk belajar menguruskan emosi mereka.

  1. Cuba mendapatkan rawatan perubatan jika masalah stimming anak anda berada di tahap yang membimbangkan

Jika perlu, ubat-ubatan seperti Risperdal (risperidone) dan Abilify (aripiprazole) boleh diberikan kepada mereka oleh pakar seperti psikiatris untuk mengurangkan kerengsaan dan keagresifan yang boleh menyebabkan stimming berlebihan.

Jika anda mendapati anak anda menunjukkan simptom atau ciri-ciri seperti mempunyai stimming atau tanda-tanda lain yang merisaukan, anda boleh berjumpa dengan pakar seperti terapis cara kerja atau psikologis klinikal kami untuk menyuarakan isu dan kebimbangan anda tentang perkembangan anak anda serta untuk mendapatkan penilaian awal.

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp