Teori Motivasi : Optimal Arousal Theory

skydive, tandem jump, two people-5379579.jpg

Arousal theory atau teori kebangkitan berkembang berdasarkan drive-reduction theory dengan mengambil kira tahap kebangkitan (arousal) sebagai pendorong (motivator) yang berpotensi. Walaupun drive-reduction theory memberi tumpuan utama kepada keperluan biologi sebagai pendorong, teori kebangkitan ini mengkaji pengaruh transmitter dopamine sebagai pendorong dalam badan.

Teori ini menegaskan bahawa seseorang terdorong atau bermotivasi untuk melakukan sesuatu tindakan bagi mengekalkan tahap kebangkitan fisiologi yang optimum.

Apakah sebenarnya tahap motivasi yang optimum?

Ia berbeza antara satu individu ke individu yang lain. Sesetengah orang mungkin memerlukan tahap arousal yang lebih tinggi, yang mungkin mendorong mereka untuk mencari aktiviti yang menarik dan mengujakan. Manakala sesetengah yang lain pula mungkin memerlukan tahap arousal yang jauh lebih rendah, jadi mereka terdorong untuk melakukan aktiviti yang lebih santai dan menenangkan.

Arousal Theory

Untuk memahami apa itu arousal theory, kita mesti terlebih dahulu memahami maksud istilah ‘arousal‘. Istilah tersebut mempunyai dua maksud. Pertama, ia bermaksud untuk merangsang atau mengujakan. Kedua, ia adalah proses fisiologi yang berlaku apabila badan kita mengeluarkan adrenalin dan noradrenalin ke dalam aliran darah.

Menurut teori ini, setiap orang mempunyai tahap rangsangan yang unik yang sesuai untuk mereka. Apabila tahap arousal seseorang terlalu tinggi dan melepasi tahap optimum yang sesuai dengan mereka, mereka akan mencari satu aktiviti untuk mengembalikannya pada tahap yang sesuai dan selamat.

Antara contoh arousal theory adalah seperti berikut :

• Jika tahap arousal kita jatuh terlalu rendah, kita akan mencari rangsangan dengan melakukan aktiviti ekstrem seperti skydiving (terjun udara).

• Jika tahap arousal kita menjadi terlalu tinggi dan kita menjadi terlalu teruja, kita terdorong untuk memilih aktiviti santai seperti menonton filem atau mendengar muzik yang menenangkan.

Setiap individu bermotivasi untuk mengekalkan keseimbangan antara keterujaan dan ketenangan bagi mengelakkan kebosanan dan tekanan.

Bagaimana ia berkaitan dengan prestasi?

Penyelidikan telah menunjukkan bahawa faktor psikologi, seperti kebangkitan (arousal) dan motivasi, saling berkaitan. Penurunan kecil pada tahap arousal dan motivasi ini boleh memberi kesan positif ataupun negatif pada prestasi, bergantung pada perspektif anda. Oleh sebab itu, sangat penting untuk anda mengekalkan tahap optimum yang sesuai dengan anda jika anda mahukan hasil yang terbaik!

Tahap arousal mempengaruhi sejauh mana anda boleh melaksanakan tugas tertentu. Misalnya, jika seseorang mempunyai tahap arousal yang rendah, mereka mungkin menghadapi kesukaran dengan tugasan yang memerlukan perhatian dan ketepatan. Ini kerana, tumpuan mereka sangat rendah.

Manakala, apabila tahap arousal seseorang mencapai tahap optimum, mereka cenderung untuk menjadi lebih bermotivasi dan melakukan tugas yang memerlukan tumpuan dan ketahanan dengan lebih baik.

Jadi, mengekalkan tahap rangsangan yang optimum adalah penting untuk prestasi tugas anda.

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp