Waspada Tanda Awal Burnout Akibat Stres Bekerja

Gambar Blogpost Waspada Tanda Awal Burnout Akibat Stres Bekerja

Pekerjaan anda membuatkan anda penat biasa atau burnout? Burnout pekerjaan ialah keadaan di mana individu mengalami keletihan fizikal, mental dan emosi yang melampau serta perasaan ragu terhadap keupayaan diri. Individu yang mengalami burnout juga menghadapi kemerosotan kepuasan kerja. 

Menurut laporan daripada sumber manusia Employment Hero tahun 2022, lebih separuh daripada pekerja di Malaysia menghidapi sindrom burnout pekerjaan dimana 58% pekerja menyatakan mereka berasa burnout dalam tempoh 3 bulan yang lalu. Tambahan lagi, pekerja yang termasuk dalam lingkungan umur 18 hingga 35 tahun juga 20% lebih cenderung untuk mengalami burnout.

Antara punca berlakunya sindrom burnout ini ialah beban kerja berlebihan daripada kemampuan individu, gaji yang tidak setimpal dengan beban kerja, budaya kerja yang negatif seperti persekitaran yang tidak kompetitif dan juga tiada pengiktirafan atas pencapaian kerja. Selain itu, individu yang memberikan komitmen berlebihan dalam pekerjaan juga cenderung untuk mengalami burnout kerana kurangnya keseimbangan work-life balance.

Apakah Tanda-Tanda Anda Mengalami Sindrom Burnout Pekerjaan?

Jadi apakah antara gejala bagi sindrom burnout pekerjaan ini? Individu yang mengalami burnout mungkin menghadapi:

  • Tekanan kerja yang berlebihan. 
  • Berasa letih sepanjang masa.
  • Tahap kesihatan mulai merosot di mana anda sering mengalami sakit kepala, sakit belakang, sakit otot dan gangguan sistem penghadaman. 

Di samping kesan fizikal yang dinyatakan, individu yang mengalami burnout juga mungkin :

  • Lebih sukar mengawal perasaan.
  • Menjadi lebih sensitif daripada biasa.
  • Mudah marah.
  • Kurang tumpuan dan fokus di tempat kerja.
  • Cenderung untuk menangguh tugas sehingga akhir waktu.
  • Mula mengabaikan penjagaan diri seperti waktu makan yang tidak teratur, makan makanan yang tidak seimbang, merokok, dan meminum minuman beralkohol.

Burnout pekerjaan perlulah diatasi bagi mengelakkan individu mengalami masalah mental yang lebih serius seperti depresi dan anzieti. Jika anda atau orang terdekat mengalami masalah burnout, buat temu janji dengan ahli profesional seperti psikologis klinikal kami untuk mendapatkan bantuan dan rawatan yang bersesuaian.

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp