Gangguan Tidur Yang Biasa Dialami Oleh Orang Ramai

Gambar Blogpost Gangguan Tidur Yang Biasa Dialami Oleh Orang Ramai

Gangguan tidur ialah keadaan yang mengganggu corak tidur kebiasaan anda. Ini termasuk masalah susah tidur atau bangun tidur, tertidur pada waktu yang salah, terlalu banyak tidur dan tingkah laku yang tidak normal semasa tidur.

Kurang tidur bukan sahaja akan membuat anda berasa letih, tetapi juga boleh menyebabkan anda berasa tidak sihat secara fizikal. Ia dikaitkan dengan penyakit jantung, diabetes, penuaan pramatang dan kematian akibat kemalangan jalan raya.

Mengikut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 1,305 kes kematian jalan raya dari 2011 hingga 2021 adalah berpunca daripada kemalangan akibat pemandu kenderaan terlelap (microsleep) ketika sedang memandu atau mengendalikan kenderaan mereka.

Keadaan ini biasanya berlaku dalam kalangan mereka yang bekerja syif atau bekerja dalam sistem pekerjaan yang menyebabkan gangguan tidur; tidak cukup tidur atau tidak dapat tidur malam.

Beberapa gangguan tidur yang dialami oleh orang ramai

Terdapat lebih daripada 80 gangguan tidur yang berbeza. Beberapa jenis gangguan tidur utama termasuk :

1) Insomnia
Anda sukar untuk tidur, bangun beberapa kali pada waktu malam atau bangun terlalu awal. Pada siang hari anda mungkin berasa mengantuk, cemas, mudah marah, dan tidak dapat menumpukan perhatian atau mengingati sesuatu.

2) Narcolepsy
Anda berasa sangat mengantuk sepanjang hari dan tiba-tiba tertidur pada waktu yang tidak sesuai. Contohnya, semasa di tempat kerja, bercakap atau memandu.

3) Sleep Apnea
Pernafasan anda berhenti selama 10 saat atau lebih semasa anda tidur menyebabkan anda akan sering berdengkur dengan kuat atau mengeluarkan bunyi tercungap-cungap atau tercekik.

Sesetengah orang yang berasa letih pada siang hari mempunyai diagnosis gangguan tidur yang sebenar. Tetapi bagi yang lain, masalah sebenar adalah tidak mempunyai masa yang cukup untuk tidur. Amat penting untuk kita mendapatkan tidur yang cukup setiap malam.

Corak tidur seseorang berubah mengikut umur, tahap kebimbangan, gaya hidup dan juga faktor-faktor lain. Kebanyakan orang dewasa memerlukan kira-kira 7 hingga 8 jam setiap malam untuk tidur. Biasanya, orang yang lebih muda mempunyai tempoh tidur yang lebih lama berbanding orang yang lebih tua.

Jika anda mengalami perubahan ketara dalam corak tidur anda, adalah digalakkan untuk mendapatkan bantuan profesional dengan segera.

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp