Kecelaruan Cemas Berlebihan (Anxiety Disorder)

Gambar Blogpost Kecelaruan Cemas Berlebihan (Anxiety Disorder)

1. APA ITU ANXIETY DISORDER?

Perasaan cemas yang muncul apabila berhadapan bahaya itu normal. Namun, di dalam dunia psikiatri, individu dikatakan mempunyai penyakit cemas berlebihan atau lebih dikenali sebagai ‘Anxiety Disorder‘ bilamana mereka mempunyai reaksi cemas dan risau yang berlebihan atau melampaui batas terhadap satu stimulus berbanding orang lain.

Sebagai contoh : 

Puan A, seorang surirumah mengelak untuk pergi ke supermarket atas sebab dia takut untuk berada di tempat orang ramai kerana sangat risau sekiranya apa- apa berlaku, dia tidak boleh mendapatkan pertolongan atau melepaskan diri daripada situasi tersebut.

Anda yang membaca contoh di atas pasti merasa pelik dengan kebenaran situasi tersebut. Secara logik akal, Puan A berada di tempat yang mempunyai ramai orang, justeru pasti mudah untuk dia mendapatkan pertolongan daripada orang sekelilingnya!

Ya, itulah yang berlaku kepada individu yang mempunyai ‘Anxiety Disorder’, mereka sendiri mengakui apa yang mereka rasakan amatlah tidak logik, tetapi mereka tidak boleh mengawal perasaan cemas tersebut. Perasaan cemas berlebihan ini sangatlah mengganggu dan boleh menyebabkan stress yang signifikan lebih – lebih lagi sekiranya melibatkan perkara yang mereka perlu lakukan dalam kehidupan seharian macam Puan A. 

Penyakit ini biasanya mudah dikesan dalam kalangan mereka yang sensitif, mempunyai keyakinan diri yang rendah dan pengurusan stress yang lemah.

2. SIMPTOM – SIMPTOM ANXIETY DISORDER

Sekiranya anda pernah berjumpa dengan mereka yang sedang mengalami serangan cemas ini, anda akan nampak perubahan yang ketara pada merek seperti tidak boleh duduk diam, riak muka berkerut-kerut risau memikirkan sesuatu dan mudah melatah. Sebenarnya terdapat banyak simptom – simptom anxiety yang lain, ianya boleh datang dalam bentuk psikologi ataupun fizikal.

Psikologi : 

  • Perasaan risau, cemas dan tak tenteram
  • Mudah hilang focus
  • Masalah tidur (susah untuk memulakan tidur, kerap terjaga atau bangun awal dari biasa)
  • Mudah rasa marah

Fizikal : 

  • Tegang otot
  • Sakit kepala
  • Sakit dada atau tak selesa pada dada
  • Sakit atau lemah badan
  • Berdebar – debar
  • Sesak nafas
  • Berpeluh – peluh
  • Menggeletar seluruh badan
  • Rasa loya tekak dan sakit perut

Ia menjadi satu patologi atau disorder, apabila simptom di atas berlarutan sehingga menyebabkan stress yang berlebihan atau menyebabkan fungsi sehariannya terjejas seperti tidak boleh bekerja seperti biasa, tidak makan, tidak boleh tidur atau tidak boleh menguruskan dirinya seperti biasa.

3. KUMPULAN ANXIETY DISORDER

Terdapat beberapa klasifikasi di bawah Anxiety Disorder mengikut DSM-5. 

A. Kecelaruan Panik (Panic Disorder) : Apabila individu tersebut sering mendapat serangan panik dan serangan tersebut tidak boleh dijangka masa dan tempat ia akan berlaku. Individu tersebut juga akan mengalami ketakutan yang berterusan akan kemungkinan berlakunya serangan panik yang seterusnya atau individu tersebut terpaksa mengubah suai rutin kehidupan atau perangai bagi mengelakkan serangan panik dari berlaku seperti melakukan atau meninggalkan sesuatu.

B. Kecelaruan Kebimbangan Umum (Generalized Anxiety Disorder)r : Apabila individu tersebut sering mendapat perasaan cemas dan risau yang berlebihan setiap masa dan semua perkara yang dirisaukan dan yang selalu bermain difikirannya adalah perkara atau isu- isu trivial yang berlaku dalam kehidupan sehariannya dalam tempoh sekurang-kurangnya 6 bulan.

C. Fobia Spesifik (Specific Fobia) : Fobia yang paling biasa ditemui dan banyak dijumpai dalam kalangan wanita. Fobia ini sejenis fobia yang mana individu tersebut mempunyai ketakutan yang berlebihan, tak rasional dan tidak boleh dikawal terhadap satu spesifik stimuli atau situasi contoh ketakutan kepada binatang seperti lipas atau labah – labah atau ketakutan kepada ketinggian atau kepada objek seperti darah.

D. Kecelaruan Cemas Perpisahan (Separation Anxiety Disorder) : diagnosis ini dahulunya hanya didiagnos kepada kanak-kanak, tetapi kini mengikut DSM 5, diagnosis ini juga boleh diberikan kepada  orang dewasa. Seperation Anxiety Disorder ini adalah apabila berlaku stress berlebihan ekoran perpisahan dengan seseorang yang sangat rapat atau disayangi seperti ibubapa, penjaga, suami atau anak-anak. Mereka sering berasa risau mungkinkah mereka yang disayangi ini dalam keadaan sakit ataupun bahaya, dan kerisauan ini selalunya tidak berasas dan berpanjangan untuk masa – masa yang tertentu. 

E. Kecelaruan Bisu Tertentu (Selective Mutism) : Diagnosis ini boleh difahami daripada istilah Mutism yang berasal dari perkataan asalnya mute yang membawa maksud bisu, dan selective  yang maksudnya tertentu atau terpilih. Individu ini mempunyai masalah utk bercakap kepada orang yang tertentu atau dalam situasi tertentu ekoran kerana perasaan malu yang teramat sangat atau kerana perasaan cemas yang teramat sangat contoh apabila disuruh untuk menjawab soalan di dalam kelas. Apabila mereka keluar daripada situasi tersebut atau berjumpa dengan orang lain, mereka boleh berlagak seperti orang normal.

F. Agorafobia (Agoraphobia) : Contoh kepada Agoraphobia adalah seperti yang berlaku kepada Puan A di dalam contoh yang disebutkan awal-awal tadi. Ini merupakan satu penyakit yang mana seseorang individu itu mempunyai ketakutan dan cemas yang berlebihan sekurang-kurangnya 6 bulan. Perasaan cemas ini akan datang apabila berada dalam beberapa situasi seperti di bawah :

  • Berada di dalam kenderaan awam seperti bas
  • Beratur dalam barisan atau pun berada di tempat orang ramai 
  • Berada di kawasan yang terbuka seperti pasar malam
  • Berada di kawasan yang tertutup seperti di dalam panggung wayang 
  • Keseorangan apabila dia berada di luar rumah

G. Kecelaruan Cemas Sosial (Social Anxiety Disorder) : Kebiasaannya masalah ini kerap berlaku dalam lingkungan awal remaja, kerana mereka baru mula untuk berjinak- jinak  untuk cuba bersosial dengan orang lain terutamanya yang berlainan jantina. Individu yang menghadapi masalah ini mempunyai ketakutan yang berlebihan dan tidak boleh dikawal apabila disuruh untuk melakukan sesuatu di hadapan orang ramai kerana mereka takut diri mereka akan dijudge/scrutinize (dianalisa/ hukumi/takut dengan persepsi orang lain). 

H. Lain-Lain  : Perasan cemas yang disebabkan oleh sakit lain atau disebabkan ubat/ bahan yang terlarang.

[njwa_button id="9314"]

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp