Perlukan Sokongan Sosial, Bagaimana Caranya?

Gambar Blogpost Perlukan Sokongan Sosial, Bagaimana Caranya?

“Aku tak ramai kawan, macam mana nak berjumpa dan tambah kawan serta kenalan?” 

Mungkin ada antara anda yang sering mengutarakan persoalan ini. Bagaimanakah caranya hendak berkenalan dengan orang baru dan luaskan lingkaran sosial yang sedia ada?

Berhubungan sosial bukan sahaja tentang interaksi dan komunikasi, malah dengan mempunyai ramai kawan, keluarga, dan kenalan, anda juga boleh mendapat sokongan sosial yang memuaskan.

Sokongan sosial bermaksud sokongan yang boleh diterima melalui hubungan sosial dengan individu lain seperti ahli keluarga, kawan-kawan, kumpulan, dan komuniti masyarakat. Namun, jangan terlalu fokus kepada kuantiti hubungan sosial semata-mata kerana apa yang lebih penting ialah kualiti hubungan tersebut.

Panduan Membina Sokongan Sosial

  • Memelihara hubungan yang sedia ada – Selalu bertanya khabar kepada ahli keluarga dan sahabat. Walaupun anda sibuk dengan aspek lain dalam kehidupan anda, jadikan bertanya khabar sebagai keutamaan bagi mengekalkan hubungan penting ini agar sentiasa dalam keadaan baik.
  • Tingkatkan pelibatan komuniti – Anda boleh cuba menyertai kumpulan atau kelompok yang mempunyai hobi dan minat yang sama. Selain itu, anda juga boleh menyertai kumpulan sukarelawan dan keagamaan. Melalui aktiviti ini, anda berpeluang untuk bertemu dengan individu lain yang mempunyai pemikiran yang serupa dengan anda dan seterusnya membina hubungan dan sokongan sosial yang baru.
  • Menyertai kumpulan sokongan – Bertemu dengan individu lain yang mempunyai masalah, kerisauan, dan pengalaman hidup yang sama dengan anda. Anda boleh berkongsi pengalaman dan tips menyelesaikan sesuatu isu serta membantu ahli lain.
  • Dapatkan sokongan profesional – Doktor, pakar terapi, pekerja sosial, dan profesional lain boleh membantu anda menyelesaikan kerisauan dan masalah yang lebih rumit atau yang sukar untuk diselesaikan  sendirian. 

Bagi sesetengah orang, bersosial adalah perkara yang paling kurang digemari terutamanya bagi golongan ‘introvert’. Biarpun begitu, anda boleh cuba berinteraksi dalam kelompok kecil atau  dengan kenalan yang sedia ada. 

Dengan kemudahan teknologi seperti telefon pintar dan internet, perjumpaan boleh dilakukan dalam talian tanpa memerlukan anda keluar. Hal Ini memudahkan banyak individu yang terbatas pergerakannya seperti orang sakit, penghidap penyakit berjangkit, tinggal berjauhan, dan sibuk bekerja. 

Sokongan sosial amatlah penting bagi setiap individu tidak kira tua atau muda. Anda disarankan untuk berinteraksi dan bersosial bagi mengeratkan silaturahim dengan keluarga dan sahabat handai. Sokongan sosial yang utuh sangatlah bernilai untuk membantu anda mengharungi detik-detik kesusahan, bak kata peribahasa berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. 

Jika anda atau orang terdekat mengalami masalah kesihatan mental tetapi masih buntu walaupun telah mencuba pelbagai cara termasuk mendapatkan sokongan sosial untuk atasinya, buat temu janji dengan ahli profesional seperti psikologi klinikal kami untuk mendapatkan bantuan dan rawatan yang bersesuaian.

[njwa_button id="9314"]

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp