Kecelaruan Kebimbangan Umum

Gambar Blogpost Kecelaruan Kebimbangan Umum

Cemas adalah normal bila mana ia berlaku sebagai adaptasi fizikal dan emosi semasa berhadapan dengan ancaman. Perubahan ini ialah salah satu kesan yang berlaku untuk menyediakan seseorang itu untuk berada dalam situasi bahaya atau ‘fight or flight’. 

Namun, jika seseorang itu sering berasa cemas mengenai semua perkara, pada setiap saat dan ketika, individu itu boleh dikatakan menghidapi kondisi Kecelaruan Kebimbangan Umum atau lebih dikenali sebagai ‘Generalized Anxiety Disorder’ (GAD).

Kecelaruan Kebimbangan Umum menurut Diagnostic and Statistical Manual (DSM) 5, ialah satu diagnosis di mana seseorang itu akan mengalami perasaan cemas dan bimbang mengenai beberapa perkara atau aktiviti pada kebanyakan hari dan hampir sepanjang hari dalam tempoh masa sekurang-kurangnya 6 bulan. Mereka mudah untuk berasa risau yang berlebihan pada perkara-perkara trivial yang selalunya tiada sebab yang munasabah untuk dirisaukan pada pandangan orang lain. Secara mudahnya, kerisauan yang dihadapi adalah tidak realistik dan terkadang seperti sengaja memberatkan sesuatu perkara yang mudah.

Contohnya, Mak Aminah mundar mandir di ruang tamu memikirkan keselamatan anak sulungnya yang berumur 20 tahun yang sedang keluar bersama kawannya, padahal ini bukan kali pertama anaknya keluar dan kesemua rakan-rakan anaknya telah pun dia kenal sejak sekolah rendah lagi.

Apakah simptom Kecelaruan Kebimbangan Umum?

Kebimbangan ini sangat sukar untuk dikawal dan selalunya pesakit akan mengalami simptom-simptom somatik seperti rasa tegang otot, mudah marah, rasa resah gelisah dan tidak senang duduk, mengalami gangguan tidur dan juga sukar untuk fokus kepada sesuatu perkara dan gangguan ini agak kritikal sehingga boleh memberi kesan kepada pekerjaan sehariannya. 

A man with sleeping issue Free Photo

Ramaikah yang mempunyai kondisi seperti ini?

Kecelaruan Kebimbangan Umum merupakan antara kondisi yang kerap ditemui dalam kalangan pesakit psikiatri, sebanyak 3 – 8% kes setahun. Kondisi ini lebih mudah dijumpai dalam golongan wanita berbanding lelaki. Kebiasannya, ia dijumpai dalam kalangan dewasa yang dalam lingkungan umur 30 atau 40-an. Namun, tanda-tanda awal penyakit selalunya bermula sejak muda remaja lagi sekiranya diteliti kembali kisah perjalanan hidup seseorang itu. Selain itu, ia juga antara kondisi penyakit kesihatan mental yang paling kerap mempunyai komorbid dengan penyakit psikiatri yang lain seperti fobia sosial, fobia spesifik, kecelaruan panik, kemurungan atau terlibat dengan penggunaan dadah dan alkohol.

Apa perbezaan antara Kecelaruan Kebimbangan Umum dengan Kecelaruan Panik?

Kajian mendapati sebanyak 25% daripada pesakit kondisi ini akan mengalami Kecelaruan Panik (Panic Disorder) pada akhirnya.

Beza antara keduanya ialah:

Kecelaruan Kebimbangan UmumKecelaruan Panik
Kebimbangan mengenai perkara trivial dan kebanyakan perkara yang berlaku dalam kehidupan sehariannya 

Berasa bimbang dan cemas hampir setiap masa, sepanjang hari dan mungkin boleh mengalami serangan panik 
Kebimbangan tentang serangan panik yang seterusnya

Berlaku secara tiba-tiba, memuncak dalam masa yang sekejap dan kemudian reda kembali
Rajah 1 : Perbezaan antara Kecelaruan Kebimbangan Umum dan Kecelaruan Panik

Apa punca saya dapat Kecelaruan Kebimbangan Umum ini?

Setakat ini, tiada punca yang diketahui boleh menyebabkan Kecelaruan Kebimbangan Umum. Namun, terdapat beberapa pendapat mengaitkan ia dengan faktor genetik.

Bagaimana untuk mendiagnosis Kecelaruan Kebimbangan Umum?

Kecelaruan Kebimbangan Umum sama seperti masalah Anxiety Disorder yang lain, ialah penyakit kesihatan mental yang akan didiagnosa mengikut kriteria DSM-5.

 Justeru, sebarang kemungkinan ia disebabkan oleh penyakit-penyakit atau sebab organik (seperti masalah jantung, pengambilan dadah, masalah metabolik badan contoh tiroid atau kurang gula dalam badan) perlulah dikecualikan terlebih dahulu dan ini memerlukan penjelasan daripada pihak doktor perubatan. Kebiasaannya, beberapa ujian klinikal akan dilakukan untuk memastikan capaian diagnosis yang dibuat lebih tepat. 

Bagaimana untuk merawat Kecelaruan Kebimbangan Umum?

Secara umumnya, rawatan Kecelaruan Kebimbangan Umum adalah sama seperti rawatan untuk semua Anxiety Disorder yang lain. Anda boleh mendapatkan bantuan psikologis dan psikiatris untuk membantu anda.

Konsepnya, mereka akan mengajarkan teknik relaksasi dan bagaimana untuk menyusun atau membantu anda untuk berfikir dengan lebih positif terhadap masalah yang anda hadapi dan akan memberikan ubat untuk meredakan rasa cemas anda.

[njwa_button id="9314"]

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp