Bila Anak Mula Membandingkan Diri dengan Orang Lain: Apa Kesannya terhadap Emosi Mereka?

Blogpost Bila Anak Mula Membandingkan Diri dengan Orang Lain - Gambar Blogpost Bila Anak Mula Membandingkan Diri dengan Orang Lain

Pernahkah anak anda meminta mainan yang sedang popular kerana hampir semua rakannya memilikinya? Atau berasa sedih apabila mendengar rakan-rakan bercerita tentang percutian menarik yang tidak pernah dialaminya?

Dalam era media sosial, kanak-kanak bukan sahaja membandingkan diri dengan rakan sebaya di sekolah, malah turut terdedah kepada kehidupan orang lain melalui video dan kandungan dalam talian. Mereka mungkin melihat kanak-kanak sebaya yang mempunyai pelbagai mainan, tinggal di rumah besar atau menikmati percutian mewah.

Walaupun perkara ini kelihatan biasa, pengalaman tersebut boleh mempengaruhi cara kanak-kanak melihat diri sendiri dan kehidupan mereka. Persoalannya, bagaimanakah perbandingan ini boleh mempengaruhi kesejahteraan emosi mereka?

Mengapa Kanak-Kanak Suka Membandingkan Diri dengan Orang Lain?

Semasa membesar, kanak-kanak sedang membentuk pemahaman tentang diri sendiri, membina keyakinan diri dan belajar menyesuaikan diri dalam persekitaran sosial. Dalam proses ini, mereka mungkin menjadikan pengalaman rakan sebaya sebagai rujukan untuk menilai diri dan kehidupan sendiri.

Sebagai contoh, apabila ramai rakan mempunyai mainan yang sedang popular, seorang kanak-kanak mungkin turut menginginkannya supaya dapat berkongsi pengalaman yang sama. Begitu juga apabila rakan-rakan bercerita tentang percutian atau aktiviti menarik, mereka mungkin berasa tertinggal kerana tidak mempunyai pengalaman serupa.

Keadaan ini berkaitan dengan konsep perbandingan sosial (social comparison), iaitu kecenderungan seseorang membandingkan diri dengan orang lain.

Perbandingan sosial tidak semestinya memberikan kesan negatif. Namun, apabila kanak-kanak kerap merasakan bahawa orang lain mempunyai kehidupan yang lebih baik, mereka mungkin mula berasa kurang bernasib baik, tidak berpuas hati atau rendah diri.

Apabila Media Sosial Membuatkan Kehidupan Orang Lain Kelihatan Lebih Menarik?

Media sosial membolehkan kanak-kanak melihat pelbagai pengalaman yang dikongsi oleh orang lain. Video yang memaparkan rumah besar, kereta mewah, percutian menarik dan koleksi mainan boleh menimbulkan rasa kagum atau keinginan untuk memiliki perkara yang sama.

Namun, apabila kanak-kanak sering membandingkan kehidupan sendiri dengan kandungan tersebut, mereka mungkin mula menganggap kehidupan orang lain lebih menyeronokkan daripada kehidupan mereka.

Kajian oleh Irmer dan Schmiedek (2023), yang melibatkan 200 kanak-kanak dan remaja berusia 10 hingga 14 tahun, mendapati bahawa penggunaan media sosial berkait dengan kecenderungan membuat perbandingan sosial ke atas, iaitu tanggapan bahawa orang lain mempunyai kehidupan yang lebih baik. Perbandingan ini turut dikaitkan dengan kesejahteraan subjektif yang lebih rendah.

Hal ini menunjukkan bahawa pengalaman kanak-kanak di media sosial bukan sekadar tentang apa yang mereka lihat, tetapi juga bagaimana mereka mentafsir dan membandingkan pengalaman tersebut dengan kehidupan sendiri.

Walau bagaimanapun, tidak semua kanak-kanak akan memberikan reaksi yang sama terhadap kandungan yang dilihat. Faktor seperti keyakinan diri, persekitaran keluarga dan sokongan sosial juga boleh mempengaruhi pengalaman mereka.

Apakah Kaitannya dengan FoMO?

Fear of Missing Out (FoMO) merujuk kepada perasaan bimbang bahawa orang lain sedang menikmati pengalaman yang menyeronokkan atau bermakna tanpa penglibatan diri sendiri.

Dalam kalangan kanak-kanak, FoMO boleh muncul apabila mereka berasa takut terlepas aktiviti bersama rakan, tidak dapat mengikuti trend yang popular atau tidak menjadi sebahagian daripada sesuatu kumpulan.

Sebagai contoh, seorang kanak-kanak mungkin berasa perlu memiliki mainan yang sedang viral kerana hampir semua rakannya mempunyai mainan tersebut. Mereka mungkin bimbang akan berasa tersisih jika tidak dapat menyertai perbualan atau aktiviti yang berkaitan dengannya.

Kajian oleh D’Lima dan Higgins (2021) terhadap 100 orang kanak-kanak berusia 9 hingga 11 tahun mendapati terdapat hubungan positif antara penglibatan media sosial dengan FoMO.

Walaupun FoMO dan perbandingan sosial merupakan dua konsep yang berbeza, kedua-duanya boleh membantu kita memahami mengapa sesetengah kanak-kanak berasa tertekan apabila melihat atau mendengar tentang pengalaman orang lain.

Bagaimana Perbandingan Sosial Boleh Mempengaruhi Emosi Kanak-Kanak?

Apabila perbandingan sosial berlaku secara berterusan dan ditafsirkan secara negatif, sesetengah kanak-kanak mungkin mengalami:

1. Rasa rendah diri

Kanak-kanak mungkin mula merasakan diri mereka kurang menarik, kurang bertuah atau kurang hebat berbanding rakan sebaya yang mempunyai lebih banyak barangan atau pengalaman menarik.

2. Ketidakpuasan terhadap kehidupan sendiri

Mereka mungkin lebih menumpukan perhatian pada perkara yang tidak dimiliki berbanding menghargai pengalaman dan perkara positif dalam kehidupan sendiri.

3. Tekanan untuk mengikuti rakan sebaya

Keinginan untuk diterima mungkin menyebabkan kanak-kanak berasa perlu memiliki barangan tertentu atau mengikuti trend supaya tidak berasa ketinggalan.

4. Kesedihan apabila berasa tersisih

Kanak-kanak mungkin berasa kecewa apabila tidak dapat menyertai aktiviti rakan-rakan atau merasakan pengalaman mereka tidak setanding dengan orang lain.

Kesan ini tidak berlaku kepada semua kanak-kanak dan tidak semestinya menunjukkan masalah kesihatan mental. Namun, ibu bapa boleh memberikan perhatian sekiranya perasaan tersebut kerap berlaku sehingga mengganggu keyakinan diri, hubungan sosial atau aktiviti harian anak.

Bagaimana Ibu Bapa Boleh Membantu?

Ibu bapa memainkan peranan penting dalam membantu anak memahami perasaan sendiri dan membina pandangan yang lebih sihat terhadap diri mereka.

1. Dengar dan fahami perasaan anak

Apabila anak menyatakan keinginan untuk memiliki sesuatu yang dimiliki rakannya, cuba fahami sebab di sebalik keinginan tersebut. Adakah mereka benar-benar menyukai barang itu, atau mereka bimbang akan berasa berbeza daripada rakan-rakan?

Elakkan terus memperlekehkan perasaan mereka. Sebaliknya, bantu anak mengenal pasti dan meluahkan emosi dengan cara yang sesuai. Wujudkan persekitaran yang menyokong supaya anak akan berasa selamat untuk berkongsi perasaan tanpa takut dipersalahkan atau dibandingkan dengan orang lain. 

2. Ajarkan anak menghargai diri sendiri

Bantu anak memahami bahawa nilai diri mereka tidak ditentukan oleh barangan yang dimiliki, tempat yang dikunjungi atau kehidupan yang ditunjukkan oleh orang lain.

Raikan usaha, kekuatan dan perkembangan mereka tanpa terlalu menekankan perbandingan dengan kanak-kanak lain.

3. Bimbing anak memahami kandungan media sosial

Berbual dengan anak tentang video yang mereka tonton. Terangkan bahawa kandungan dalam talian biasanya menunjukkan bahagian tertentu daripada kehidupan seseorang dan tidak semestinya menggambarkan keseluruhan pengalaman mereka.

Bantu mereka memahami bahawa setiap keluarga mempunyai keadaan, kemampuan dan pengalaman yang berbeza.

4. Didik Anak untuk Bersyukur dengan Rezeki Sendiri

Ibu bapa boleh mengajar anak untuk menghargai apa yang dimiliki dan tidak terlalu membandingkan kehidupan sendiri dengan orang lain. Terangkan kepada anak bahawa setiap orang mempunyai rezeki dan peluang yang berbeza. 

Sebagai contoh, walaupun rakan mereka mempunyai mainan baharu atau berpeluang pergi bercuti, itu tidak bermakna kehidupan mereka sendiri kurang bermakna. Galakkan anak mengenali perkara yang membuatkan mereka gembira dan menghargai nikmat kecil dalam kehidupan seharian. Dengan bimbingan ini, anak dapat belajar bahawa kebahagiaan bukan hanya tentang memiliki apa yang orang lain ada, tetapi juga tentang menghargai apa yang sudah dimiliki.

5. Galakkan pengalaman yang bermakna

Luangkan masa untuk melakukan aktiviti bersama anak, seperti bermain, membaca, memasak atau meneroka minat baharu. Aktiviti ini boleh memberikan peluang kepada anak untuk menikmati pengalaman sendiri tanpa perlu sentiasa membandingkannya dengan orang lain.

Anak Tidak Perlu Memiliki Segalanya untuk Berasa Berharga

Dalam proses membesar, kanak-kanak akan terdedah kepada pelbagai pengalaman dan melihat bahawa kehidupan setiap orang berbeza. Mereka mungkin menginginkan perkara yang dimiliki oleh orang lain atau berasa kecewa apabila tidak dapat menyertai sesuatu pengalaman.

Perasaan ini tidak semestinya sesuatu yang membimbangkan. Namun, ibu bapa boleh membantu anak memahami bahawa mereka tidak perlu memiliki segala-galanya atau mengikuti setiap trend untuk diterima dan dihargai.

Dengan bimbingan yang sesuai, kanak-kanak boleh belajar menghargai diri sendiri, menguruskan perasaan apabila berhadapan dengan perbandingan sosial dan membina hubungan yang lebih sihat dengan orang di sekeliling mereka.

Kerana membantu anak membesar dengan sihat bukan sekadar tentang apa yang mampu kita berikan kepada mereka, tetapi juga tentang bagaimana kita membantu mereka melihat dan menghargai diri sendiri.

Jiwadamai menyediakan sokongan untuk pelbagai isu psikologi, daripada kanak-kanak hingga dewasa, sama ada berkaitan kesihatan mental atau perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh. Pasukan klinikal kami merangkumi Pakar Psikiatri, Pakar Psikiatri Kanak-Kanak, Psikologi Klinikal, ahli terapi cara kerja (occupational therapist), serta ahli terapi pertuturan (speech therapist).

Sekiranya berminat, anda boleh menghubungi kami di talian 017-269 4852 (hotline isu dewasa) atau 011-5430 8949(hotline isu kanak-kanak & remaja) untuk membuat janji temu. Kami sedia memberikan bantuan dan sokongan kepada anda.

Ditulis oleh : Nur Asmahan, Pelajar Psikologi UPSI
Disahkan oleh : Psikologis Klinikal Jiwadamai

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp