Pernahkah kita terfikir bahawa pengalaman yang berlaku ketika zaman kanak-kanak boleh mempengaruhi cara seseorang berkomunikasi dan mengekspresikan perasaan apabila dewasa? Ada kanak-kanak yang membesar dalam keluarga yang menyediakan keperluan fizikal mereka, tetapi keperluan emosi mereka kurang diberikan perhatian.
Apabila seorang kanak-kanak menangis, takut, kecewa atau marah, mereka bukan sekadar memerlukan nasihat atau teguran. Mereka juga memerlukan seseorang untuk mendengar, memahami dan mengakui perasaan mereka. Apabila perkara ini sering tidak berlaku, kanak-kanak mungkin belajar bahawa perasaan mereka tidak penting atau tidak wajar untuk diluahkan.
Keadaan ini dikenali sebagai Childhood Emotional Neglect (CEN) atau pengabaian emosi pada zaman kanak-kanak. Walaupun kesannya mungkin tidak kelihatan seperti kecederaan fizikal, pengabaian emosi boleh mempengaruhi perkembangan emosi dan hubungan seseorang sehingga dewasa.
Apakah Itu Childhood Emotional Neglect (CEN)?
Childhood Emotional Neglect (CEN) merujuk kepada keadaan apabila keperluan emosi kanak-kanak, seperti perhatian, empati, kasih sayang dan validasi emosi, tidak dipenuhi oleh ibu bapa atau penjaga (Thiadi & Risnawaty, 2023).
Sebagai contoh, apabila seorang kanak-kanak berkata, “Saya sedih sebab kawan saya tak nak bermain dengan saya,” tetapi respons yang diterima ialah “Tak payah fikir sangat” atau “Benda kecil sahaja,” perasaan tersebut mungkin tidak mendapat ruang untuk difahami dan diterokai.
Jika keadaan seperti ini berlaku secara berulang, kanak-kanak mungkin mula belajar bahawa perasaan mereka tidak penting atau tidak sepatutnya diluahkan. Lama-kelamaan, mereka mungkin memilih untuk memendam emosi daripada berkongsi dengan orang lain.
Mengapakah Pengabaian Emosi Boleh Berlaku?
Pengabaian emosi boleh berlaku dalam pelbagai bentuk. Antaranya ialah apabila ibu bapa atau penjaga kurang memberikan perhatian kepada emosi anak, kurang menunjukkan empati atau tidak memberikan validasi terhadap perasaan mereka.
Menurut Tan dan Roswiyani (2026), CEN merangkumi beberapa keperluan yang boleh diabaikan, termasuk keperluan emosi, kognitif, pengawasan dan fizikal. Namun, dimensi emotional needs menunjukkan hubungan negatif yang paling kuat dengan keupayaan self-expression.
Antara contoh situasi yang boleh menyebabkan keperluan emosi kanak-kanak kurang dipenuhi ialah:
- Perasaan anak sering diketepikan atau dianggap tidak penting.
- Anak kurang mendapat perhatian apabila cuba berkongsi masalah.
- Perasaan anak tidak divalidasi.
- Anak kurang menerima empati dan sokongan emosi.
- Anak tidak mempunyai ruang yang selamat untuk membincangkan perasaan.
- Respons ibu bapa terhadap emosi anak kurang konsisten.
Apakah Tanda-Tanda dan Kesannya?
Kesan pengabaian emosi tidak semestinya dapat dilihat dengan segera. Sesetengah kesan mungkin hanya menjadi lebih jelas apabila seseorang meningkat dewasa, terutamanya dalam cara mereka memahami emosi sendiri dan membina hubungan dengan orang lain.
Antara kesan yang dikaitkan dengan pengalaman pengabaian emosi ialah:
- Sukar mengenali emosi sendiri
Individu mungkin merasa sedih, marah, kecewa atau takut tetapi sukar mengenal pasti dan menerangkan emosi tersebut. Kurangnya respons dan validasi emosi semasa zaman kanak-kanak boleh mengganggu perkembangan keupayaan untuk memahami serta mengurus emosi (Rahma et al., 2024).
- Cenderung memendam perasaan
Apabila seseorang terbiasa dengan pengalaman bahawa emosinya tidak mendapat respons yang mencukupi, mereka mungkin memilih untuk menyimpan perasaan sendiri.
- Sukar membina hubungan interpersonal
Pengalaman pengabaian emosi telah dikaitkan dengan kesukaran dalam hubungan interpersonal, kesunyian dan kualiti hubungan sosial yang lebih rendah (Grummitt et al., 2022; Ho & Schermer, 2024).
- Mengalami tekanan psikologi
Kajian terdahulu turut mengaitkan pengabaian emosi dengan masalah seperti kemurungan dan psychological distress. Pengalaman tersebut juga boleh meningkatkan kerentanan terhadap masalah kesihatan mental pada peringkat perkembangan seterusnya (Grummitt et al., 2022).
Namun, adalah penting untuk diingat bahawa pengalaman CEN tidak bermaksud seseorang pasti mengalami masalah psikologi tertentu. Faktor lain seperti sokongan sosial, regulasi emosi, pengalaman hubungan dan faktor individu turut memainkan peranan.
Saranan
Pengalaman masa lalu mungkin tidak dapat diubah, tetapi seseorang masih boleh belajar untuk membina hubungan yang lebih sihat dengan emosi sendiri.
- Belajar mengenali emosi
Mulakan dengan bertanya kepada diri sendiri:
“Apa yang saya sedang rasa sekarang?”
Cuba bezakan antara sedih, kecewa, marah, takut, malu atau tertekan.
- Bina hubungan yang selamat
Berada bersama individu yang boleh mendengar tanpa menghakimi boleh membantu seseorang berasa lebih selamat untuk menjadi diri sendiri.
- Dapatkan bantuan profesional jika diperlukan
Jika pengalaman masa lalu memberi kesan yang ketara terhadap emosi, hubungan atau kehidupan seharian, mendapatkan sokongan daripada kaunselor atau profesional kesihatan mental boleh menjadi salah satu pilihan yang sesuai.
Kesimpulan
Pengabaian emosi semasa kanak-kanak boleh memberi kesan terhadap perkembangan emosi dan keupayaan seseorang untuk mengekspresikan diri apabila dewasa. Apabila perasaan anak sering diabaikan atau tidak didengari, mereka mungkin belajar untuk memendam emosi dan sukar meluahkan perasaan. Oleh itu, Ibu bapa haruslah memberi sokongan dan penglibatan terutamanya dalam terapi kanak-kanak. Melalui pemberian perhatian, pemahaman emotional validation kanak-kanak, Ibu bapa boleh memainkan peranan amat penting bagi membantu mereka membesar dengan lebih yakin serta mampu mengekspresikan diri secara sihat.
Jiwadamai menyediakan sokongan untuk pelbagai isu psikologi, daripada kanak-kanak hingga dewasa, sama ada berkaitan kesihatan mental atau perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh. Pasukan klinikal kami merangkumi Pakar Psikiatri, Pakar Psikiatri Kanak-Kanak, Psikologi Klinikal, ahli terapi cara kerja (occupational therapist), serta ahli terapi pertuturan (speech therapist).
Sekiranya berminat, anda boleh menghubungi kami di talian 017-269 4852 (hotline isu dewasa) atau 011-5430 8949(hotline isu kanak-kanak & remaja) untuk membuat janji temu. Kami sedia memberikan bantuan dan sokongan kepada anda.
Ditulis oleh : Anis Anisa, Pelajar Psikologi UNISEL
Disahkan oleh : Psikologis Klinikal Jiwadamai





