Masa Berkualiti Di kala Ibu Bapa Sibuk?

Blogpost Masa Berkualiti Di kala Ibu Bapa Sibuk - Gambar Blogpost Masa Berkualiti Di kala Ibu Bapa Sibuk

Ramai ibu bapa berdepan cabaran untuk menyeimbangkan tuntutan kerja dengan keperluan anak. Kesibukan harian sering membuatkan masa bersama anak menjadi terhad, namun kajian menunjukkan bahawa kualiti masa lebih penting daripada kuantiti. Masa berkualiti bukan sahaja membantu anak merasa disayangi, tetapi juga menyumbang kepada perkembangan emosi, sosial, dan kognitif mereka.

Masa berkualiti boleh difahami sebagai interaksi yang penuh perhatian, melibatkan emosi, dan memberi pengalaman bermakna kepada anak. Ia bukan sekadar berada di sisi mereka secara fizikal, tetapi hadir secara aktif dalam perbualan, permainan, atau aktiviti harian. Kehadiran emosi ibu bapa menjadikan anak merasa dihargai dan diperhatikan.

Apabila masa berkualiti kurang diberikan, anak mungkin menunjukkan tanda-tanda tertentu. Antaranya ialah rasa kurang yakin terhadap diri sendiri, tingkah laku yang berlebihan untuk mencari perhatian, hubungan emosi yang renggang dengan ibu bapa, serta kesukaran berkongsi perasaan atau pengalaman harian. Simptom-simptom ini boleh menjejaskan kesejahteraan anak dalam jangka masa panjang.

Terdapat beberapa faktor utama yang menyebabkan ibu bapa kurang meluangkan masa berkualiti bersama anak. Antaranya ialah jadual kerja yang padat, tekanan hidup serta keletihan fizikal dan mental, kurangnya sokongan sosial daripada pasangan atau keluarga, serta tidak menyedari bahawa momen kecil dalam rutin harian sebenarnya boleh menjadi masa berkualiti.

Untuk mengatasi cabaran ini, ibu bapa boleh mengamalkan beberapa strategi mudah.

1. Masa berkualiti bukan sekadar duduk bersama, tetapi melibatkan interaksi aktif. Kajian mendapati bahawa daripada purata 50 jam seminggu bersama anak, hanya 14 jam benar-benar melibatkan interaksi bermakna (Bigoni et al., 2025). Oleh itu, walaupun hanya beberapa minit, jika ibu bapa benar-benar fokus, anak akan merasakan kehangatan dan perhatian yang mendalam. Contohnya, bermain permainan ringkas atau membaca buku sebelum tidur boleh menjadi momen yang berharga.

2. Gunakan aktiviti harian seperti memasak, melipat pakaian, atau membeli barang boleh dijadikan peluang untuk berbual dan bergurau dengan anak. Aktiviti biasa ini boleh menjadi ruang untuk membina kenangan positif (Kremer-Sadlik & Paugh, 2007). Anak akan belajar bahawa mereka penting dalam kehidupan ibu bapa, walaupun dalam rutin harian.

3. Pilih waktu yang sesuai seperti sebelum tidur untuk membaca atau berbual. Walaupun singkat, masa ini tetap memberi kesan besar terhadap ikatan emosi (Stewart & Allard, 2011). Kajian menunjukkan bahawa walaupun interaksi berlaku pada waktu malam selepas kerja, ia tetap memberi peluang untuk anak merasa disayangi.

4. Seimbangkan aktiviti terancang seperti berkelah dengan momen spontan seperti pelukan, berbual sebelum tidur, gurauan ringkas. Gabungan kedua-dua pendekatan ini membantu anak rasa dihargai (Snyder, 2007). Aktiviti terancang memberi struktur, manakala momen spontan menambah keintiman dalam hubungan.

5. Kurangkan tekanan diri dengan mengamalkan self-care seperti senaman ringan atau rehat seketika boleh meningkatkan kualiti interaksi dengan anak agar lebih tenang ketika bersama anak. kerana ibu bapa yang tenang lebih mudah hadir secara emosi untuk anak (Azhari et al., 2020; Bradley et al., 2024).Stres yang tinggi boleh menjejaskan interaksi dengan anak.

6. Sesuaikan pendekatan mengikut umur anak kerana keperluan mereka berbeza. Keperluan anak berbeza mengikut usia. Anak kecil perlukan lebih banyak perhatian fizikal dan bimbingan, manakala remaja lebih menghargai perbualan ringkas tetapi bermakna (Meier et al., 2018). Dengan memahami tahap perkembangan anak, ibu bapa boleh menyesuaikan cara berinteraksi agar lebih relevan.

7. Dapatkan sokongan sosial daripada pasangan, ahli keluarga, atau komuniti. Sokongan ini boleh mengurangkan beban ibu bapa dan memberi lebih ruang untuk fokus kepada anak (StGeorge & Fletcher, 2012). Misalnya, berkongsi tanggungjawab dengan pasangan atau mendapatkan bantuan daripada ahli keluarga boleh memberi lebih peluang untuk masa berkualiti.

Selain itu, ibu bapa boleh memanfaatkan aktiviti ringkas semasa sibuk seperti bermain teka-teki, melukis bersama, lompat tali, menggunakan aplikasi pendidikan, atau bertanya tentang “satu perkara terbaik hari ini” sebelum tidur.

Secara keseluruhannya, masa berkualiti bersama anak bukan bergantung pada lamanya masa yang diluangkan, tetapi pada kehadiran emosi dan perhatian penuh. Dengan strategi yang mudah dan praktikal, ibu bapa dapat membina ikatan yang kukuh walaupun dalam kesibukan harian. Apa yang penting ialah anak merasa mereka dihargai, didengar, dan disayangi, kerana itulah asas kepada perkembangan yang sihat dan hubungan keluarga yang harmoni.

Jiwadamai menyediakan sokongan untuk pelbagai isu psikologi, daripada kanak-kanak hingga dewasa, sama ada berkaitan kesihatan mental atau perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh. Pasukan klinikal kami merangkumi Pakar Psikiatri, Pakar Psikiatri Kanak-Kanak, Psikologi Klinikal, ahli terapi cara kerja (occupational therapist), serta ahli terapi pertuturan (speech therapist).

Sekiranya berminat, anda boleh menghubungi kami di talian 017-269 4852 (hotline isu dewasa) atau 011-5430 8949 (hotline isu kanak-kanak & remaja) untuk membuat janji temu. Kami sedia memberikan bantuan dan sokongan kepada anda.

Ditulis oleh : Mawadda, Pelajar Psikologi UTM
Disahkan oleh : Psikologis Klinikal Jiwadamai

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp