Adakah Anda ‘Helicopter Parent’?

Gambar Adakah Anda Helicopter Parent

Ibu ayah pernah dengar istilah ‘helicopter parent’? helicopter parent merupakan amalan sentiasa memantau setiap tingkah laku anak, tindakan dan apa yang anak lakukan seperti mengawasi kerja sekolah, dengan siapa mereka berkawan dan sentiasa meneliti masa lapang mereka.

Helicopter parent boleh dilihat berbeza berdasarkan umur anak. Contohnya anak kecil anda memerlukan pengawasan yang berterusan apabila mereka berdekatan dengan jalan raya untuk melintas. Tetapi, berbeza dengan anak yang bersekolah rendah, mereka tidak memerlukan ibu ayah untuk memakaikan mereka baju setiap hari. Dengan erti kata lain, helicopter parent akan terus melakukan semua perkara untuk anak mereka sedangkan anak-anak boleh lakukannya sendiri.

Ibu ayah nak tahu apa ciri-ciri helicopter parent?

Ibu ayah yang ada ciri-ciri ini mereka merasa sukar untuk melepaskan anak mereka dalam membuat keputusan atau menyelesaikan masalah sendiri. Kebanyakan ibu ayah yang merupakan helicopter parents mendapati diri mereka sentiasa bimbang tentang anak-anak mereka, sehingga boleh sampai tahap ibu ayah tidak boleh membiarkan anak-anak berdikari. Berkemungkinan juga, ibu ayah ini sanggup membuat kerja sekolah anak agar anak mereka kelihatan hebat dan ada kelebihan berbanding rakan sebaya yang lain. Ibu ayah juga mungkin cuba memilih dengan siapa anak boleh berkawan.

Kesan helicopter parent terhadap anak

Secara amnya, helicopter parent akan menghalang tumbesaran dan perkembangan diri anak-anak jika setiap aspek kehidupan anak, ibu ayah yang meneliti dan memantau tanpa beri peluang kepada mereka untuk berdikari.

    1. Keyakinan dan harga diri rendah

    Jika ibu ayah selalu ‘membantu’ anak, seperti membina blok untuk mereka, menyiapkan projek sekolah mereka dan lain-lain lagi, tanpa sedar ibu ayah telah merampas kemenangan kecil yang boleh membantu anak membina kecekapan dan harga diri. Ia boleh melucutkan keupayaan anak untuk mempunyai keyakinan bahawa mereka boleh membuat keputusan sendiri dengan baik.

    2. Meningkatkan rasa kemurungan (depression) dan kebimbangan (anxiety)

    Anak-anak mudah tertekan jika berada di bawah pengawasan ibu ayah yang berterusan. Ia menjadikan mereka berasa takut jika melakukan kesilapan, ibu ayah akan marah kepada mereka. Selain itu, anak-anak tidak belajar membangunkan kemahiran pengawalan emosi yang berkesan apabila ibu ayah sering menghalang mereka daripada mengalami sebarang pengalaman hidup. Perkara ini boleh menyumbang kepada kebimbangan (anxiety) dan kemurungan (depression) di kalangan kanak-kanak.

    3. Ketidakupayaan dalam menghadapi halangan

    Apabila anak-anak membesar, mereka cenderung untuk bergantung kepada kepada orang lain dalam menyelesaikan masalah mereka daripada mengambil ia sebagai tanggungjawab untuk diri mereka sendiri. Daripada kecil, ibu bapa perlu membiarkan anak-anak membuat kesilapan kerana melalui kesilapan itu anak-anak akan belajar menanganinya dan membuat keputusan yang baik tanpa bantuan kita.

    4. Kurang kemahiran hidup

    Jika ibu ayah melakukan segala hal dan tanggungjawab anak seperti mengemas bag sekolah anak, mengemas bilik anak, memilih pakaian untuk mereka, ia boleh menghalang anak-anak daripada belajar cara menangani tugas sendiri.

    5. Hubungan ibu bapa dan anak tegang

    Helicopter parent lebih banyak melakukan tugas anak berbanding mengomel atau memarahi kepada anak kerana tidak menyelesaikan kerja rumah. Anak-anak juga ada keinginan yang mereka mahu lakukan. Menghadkan pilihan mereka boleh menjejaskan hubungan ibu ayah dan anak jika anak sudah mula memberontak.

    Ibu ayah, tidak salah anda nak yang terbaik untuk anak-anak. Memang itu lumrah sebagai orang tua yang ingin memastikan anak dalam keadaan selamat, sihat dan ingin memastikan anak mendapat kehidupan yang selesa. Tetapi jika cara ibu ayah keterlaluan dan sentiasa memantau setiap pergerakan anak, mungkin sudah tiba masanya ibu ayah berundur. Berilah kepercayaan kepada anak bahawa mereka mampu berdikari sendiri mengikut tahap perkembangan umur mereka.

    Kongsikan artikel ini

    Facebook
    Twitter
    WhatsApp