Seperti yang kita sedia maklum, buli merujuk kepada tingkah laku di mana seseorang dengan sengaja menyakiti orang lain dengan kata-kata atau tindakan. Pembuli akan membuli sasaran mereka berulang kali, dan merasakan diri mereka lebih berkuasa ke atas mangsa.
Kesan Buli
Untuk pengetahuan anda, kanak-kanak atau remaja yang menjadi mangsa buli boleh menerima kesan jangka masa pendek atau jangka masa panjang.
Kesan Psikologi
- Kemurungan (depression)
- Kebimbangan (anxiety)
- Tekanan emosi
- Kesunyian (meminggirkan diri sendiri atau dipulaukan)
- Kurang keyakinan diri
- Bertindak mencederakan diri sendiri
- Pengambilan alkohol berlebihan/ penyalahgunaan dadah
- Bertindak ganas dan agresif pula kepada orang lain
- Terlibat dalam jenayah.
Kesan Fizikal
- Kecederaan pada tubuh badan
- Mengalami gangguan tidur
- Sakit kepala/pening
- Jantung berdebar-debar dll.
Kesan Akademik
- Gred akademik semakin menurun
- Gagal dalam peperiksaan
- Tidak bergaul dengan guru atau rakan di sekolah.
Mangsa Buli Berkemungkinan Membuli Orang Lain
Kebanyakan ibu bapa mungkin beranggapan kanak-kanak atau remaja yang menjadi mangsa buli akan mempunyai empati yang tinggi dan tidak akan mendatangkan kesakitan kepada orang lain.
Anggapan ini tidak sepenuhnya benar. Kenyataannya dalam sesetengah kes, mereka bukan sahaja menjadi mangsa buli, tetapi mereka juga membuli orang lain.
Seperti kes yang berlaku baru-baru ini di mana seorang remaja lelaki yang merupakan mangsa buli di sekolahnya telah bertindak mencekik adik kandungnya sehingga mati akibat trauma dibuli.
Ia memberi kesan yang sangat besar, bukan?
Tingkah laku membuli orang lain ini boleh muncul selepas berulang kali dibuli. Kebiasaannya, sasaran mereka adalah seseorang yang lebih lemah daripada mereka.
Tindakan tersebut membolehkan mereka mendapatkan semula rasa berkuasa dalam hidup mereka di mana mereka boleh mengawal mangsa. Ringkasnya, membuli orang lain adalah cara mereka membalas kesakitan yang mereka alami.
Beritahu Orang Dewasa
Adakah anda dibuli?
Jika anda dibuli, penting untuk memberitahu orang dewasa—seperti ibu bapa, ahli keluarga yang dipercayai, guru disiplin, kaunselor sekolah atau golongan profesional.
Usah takut! Teruskan memberitahu mereka sehingga anda berjumpa dengan seseorang yang boleh membantu anda menyelesaikan isu buli ini.
Apa yang Anda Perlu Katakan
Apabila bercakap dengan orang dewasa, ingat langkah-langkah ini:
- Beritahu mereka bahawa anda datang kepada mereka untuk mendapatkan nasihat.
- Jelaskan bahawa anda sedang melalui situasi yang anda tidak boleh selesaikan sendiri.
- Tegaskan bahawa anda mahu buli dihentikan dan tingkah laku itu telah menyakiti anda, serta siapa yang terlibat dalam situasi itu.
- Tanya, “Apakah yang boleh dilakukan supaya saya berasa selamat?”
- Dengar nasihat, dapatkan penjelasan tentang apa-apa yang tidak masuk akal, dan kongsi idea anda sendiri.
- Tentukan tindakan khusus yang boleh anda ambil bersama.
- Jelaskan apakah peranan anda untuk terus bergerak ke hadapan.
Memulakan Perbualan
Buli sering dilakukan di tempat di mana ibu bapa atau guru tiada di situ. Oleh itu, adalah penting untuk memberitahu mereka supaya mereka boleh bertindak.
Bagaimana untuk memberitahu orang dewasa? Cuba katakan:
- “Saya menerima beberapa komen jahat tentang seseorang yang saya kenali, apakah yang perlu saya lakukan?”
- “Saya ingin memberitahu anda tentang sesuatu yang berlaku hari ini, bolehkah kita bercakap lebih lanjut?”
- “Seseorang melakukan sesuatu kepada saya yang membuatkan saya berasa ___________.” (sedih/sakit hati/malu/risau/takut)
Hubungi Kami
Anda perasan anak anda menunjukkan beberapa tanda-tanda dibuli atau isu psikologi dan emosi? Ambil serius tanda-tanda ini.
Kanak-kanak dan remaja tidak boleh dibiarkan untuk menyelesaikan buli sendiri. Ia boleh menyakiti mereka, dalam jangka pendek dan panjang. Adalah penting bagi anda untuk bertindak segera untuk menghentikan buli, sebelum ia merosakkan keyakinan anak anda.
Jika anda bimbang, hubungi kami bagi dan dapatkan konsultasi bersama psikologis klinikal.