Bagaimana untuk kita menetapkan personal boundaries yang sihat secara baik dan proaktif?
Semestinya, ia bukanlah perkara yang mudah, dan sering kali, agak menakutkan. Ini kerana, memberitahu orang lain apa yang anda perlukan mungkin kelihatan seperti anda mementingkan diri sendiri, agresif, atau biadap.
Tetapi ia penting. Batasan peribadi membolehkan kita berasa selamat dan dihormati secara fizikal dan emosi.
Berikut adalah tujuh (7) tips yang boleh membantu anda menetapkan batasan peribadi yang sihat untuk kehidupan yang lebih baik!
1. Ketahui batasan diri anda
Sebelum terlibat dalam apa jua situasi, ketahui perkara yang anda boleh terima, dan apa yang tidak. Jadilah sespesifik yang mungkin. Jika tidak, anda mungkin akan menerima sahaja apa yang orang lain lakukan berulang kali tanpa memikirkan kesannya.
2. Ketahui nilai diri anda
Batasan setiap orang adalah berbeza, dan kebiasaannya ditentukan oleh nilai-nilai peribadi anda. Sebagai contoh, jika anda menghargai keluarga melebihi segala-galanya, anda akan menetapkan urusan kerja akan diselesaikan sepanjang waktu pejabat sahaja. Ketahuilah perkara yang paling penting bagi anda, dan lindunginya.
3. Dengarkan emosi anda
Jika anda perasan anda berasa tidak selesa atau geram, jangan pendam. Cuba fahami dan selami perasaan anda. Sebagai contoh, perasaan geram selalunya boleh dikesan apabila anda berasa seseorang telah mengambil kesempatan ke atas diri anda.
4. Pertahankan maruah diri
Jika anda sentiasa mengalah kepada orang lain, cuba tanya pada diri anda, adakah anda menunjukkan rasa hormat kepada diri sendiri sama seperti yang anda tunjukkan kepada orang lain?. Rasa ingin disukai oleh lain boleh menyebabkan batasan peribadi anda terlalu terbuka, sehinggakan anda mendahulukan keperluan orang lain melebihi keperluan sendiri.
5. Hormat kepada orang lain
Pastikan anda tidak bertindak mengorbankan orang lain demi kepentingan diri sendiri. Interaksi dengan orang lain tidak seharusnya mengenai siapa yang menang, atau siapa yang layak menerima lebih. Sebaliknya, berlaku adil kepada semua orang dalam apa sahaja keadaan atau perhubungan.
6. Bersikap tegas
Apabila anda tahu sudah tiba masanya untuk menetapkan batasan, jangan malu. Katakan “tidak” dengan hormat, tetapi tanpa berbasa-basi. Beritahu dengan jelas dan berterus terang tentang apa yang anda inginkan.
7. Berpandangan jauh
Ada hari anda akan memberi lebih daripada yang anda ambil, dan hari lain pula anda akan mengambil lebih daripada yang anda berikan. Dalam perhubungan, bersedialah untuk berpandangan jauh ke hadapan mengikut kesesuaian. Ia menjadi satu masalah jika anda sahaja yang sentiasa memberi atau sentiasa menerima.