‘Tongue-Tie’ Penyebab Anak Lambat Bercakap

WhatsApp Image 2023-02-27 at 12.08.55

Adakah anda pernah mendengar istilah  tongue-tie? Jika ya, adakah anda tahu apakah ia?

Tongue-tie atau istilah saintifiknya ankyloglossia merupakan suatu kondisi di mana tisu membran bernama frenulum lingual yang menyambungkan antara lidah dengan bahagian bawah mulut adalah lebih pendek berbanding frenulum orang biasa. Frenulum terletak pada bahagian bawah lidah. 

Tongue-tie adalah suatu keadaan yang kongenital. Maksudnya, ia terjadi sejak lahir lagi.

Keadaan tersebut dapat mengehadkan pergerakan lidah kanak-kanak. Masalah ini dapat mempengaruhi cara anak anda bercakap, mengunyah, dan menelan makanan. Oleh sebab itu ia juga sering dikaitkan dengan masalah lain seperti penyusuan dan pertuturan mereka.

Sesiapa pun boleh mempunyai kondisi tongue-tie ini, lebih-lebih lagi bayi dan kanak-kanak. Kajian menunjukkan kondisi ini lebih banyak dijumpai pada lelaki berbanding perempuan. Namun, tidak mustahil juga bagi kanak-kanak yang sudah besar atau orang dewasa untuk mempunyai kondisi tersebut.

Adakah anda tahu bagaimana tongue-tie dapat mempengaruhi pertuturan anak anda?

Ia akan menyukarkan anak anda untuk menyebut huruf atau mengeluarkan bunyi tertentu seperti “t,” “d,” “z,” “s,” “th,” “n,” “r” and “l.”

Hal ini kerana, untuk menyebut huruf atau membuat bunyi lingual tersebut, lidah anak anda perlu bersentuhan dengan bahagian lelangit mulut mereka. Tetapi, oleh kerana pergerakan lidah anak anda terhad, ia boleh membawa kepada masalah pertuturan seperti artikulasi (sebutan).

Artikulasi merujuk kepada pengeluaran bunyi yang melibatkan pergerakan selaras antara bibir, lidah, gigi, lelangit, dan sistem pernafasan. Ia juga menggunakan pelbagai saraf dan otot yang berbeza dalam pertuturan.

Ciri-ciri Tongue-tie Pada Kanak-kanak

Berikut adalah beberapa ciri-ciri tongue-tie yang mungkin dihadapi oleh anak anda:

  • Mengeluarkan bunyi ‘klik’ ketika sedang menyusu.
  • Masalah berkaitan penyusuan (cth: luka dan sakit pada puting ibu/susu tidak cukup).
  • Sukar untuk menelan dan menjilat.
  • Masalah dalam pertuturan.
  • Menghadapi kesukaran dalam aktiviti yang memerlukan anak anda untuk menghembus.


Bagi kondisi tongue-tie ini, terdapat beberapa rawatan yang boleh dilakukan. 

Contohnya, frenulotomy di mana frenulum atau ikatan lidah dipotong. Tetapi, pakar berpendapat bahawa tiada keperluan untuk berbuat sedemikian jika kondisi anak anda tidak mengganggu aktiviti seharian mereka dengan teruk.

Selain itu, anak anda juga boleh menjalani terapi pertuturan bagit mengatasi masalah tongue-tie mereka dengan cara yang betul.

Jika anda mendapati bahawa anak anda mempunyai masalah ini, anda dinasihatkan untuk membawa anak anda berjumpa dengan terapis pertuturan kami bagi mendapatkan ujian penilaian awal dan penerangan lanjut berkaitan masalah anak anda.

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp