Wujudkan Persekitaran Yang Selamat Untuk Seseorang Yang Mengalami Anxiety Disorder

pexels-designecologist-1005058

Persekitaran boleh mempengaruhi kesejahteraan mental seseorang sama ada secara positif atau negatif, lebih-lebih lagi kepada seseorang yang mengalami anxiety disorder. Anda perlu memastikan persekitaran di rumah anda selamat untuk proses penyembuhan mereka.

Bagaimanakah Persekitaran Mempengaruhi Kesejahteraan Seseorang?

Persekitaran rumah yang selamat boleh :

1. Mempengaruhi mood. Sebagai contoh, hasil beberapa kajian penyelidikan mendedahkan bahawa bilik dengan cahaya terang, sama ada secara semula jadi atau buatan, boleh mengurangkan masalah kebimbangan (anxiety) atau kemurungan (depression).

2. Mempengaruhi tingkah laku dan motivasi manusia untuk bertindak. Contohnya, ruang tamu yang tidak kemas, sinki yang kotor, bilik stor yang tidak terjaga dan sebagainya mungkin akan mengakibatkan anda tidak selesa dan bimbang jika berlaku sesuatu.

3. Memudahkan atau menggalakkan interaksi dalam keluarga. Sebagai contoh, ruang yang menarik dengan kerusi yang selesa boleh menggalakkan orang ramai untuk duduk dan berbual bersama-sama.

4. Membantu mengurangkan tekanan, yang memberi kesan bukan sahaja kepada emosi, tetapi juga kesihatan fizikal.

Wujudkan Persekitaran Yang Selamat

Terdapat banyak langkah yang boleh anda ambil untuk mewujudkan persekitaran yang selamat buat seseorang yang mengalami anxiety disorder. Antaranya :

  • Hadkan jumlah alkohol dan ubat-ubatan di rumah. Ia adalah untuk mengelakkan mereka menyalahgunakan bahan-bahan ini. Ubat-ubatan perlulah sentiasa diberikan mengikut preskripsi daripada doktor.

  • Simpan alatan dan bahan yang boleh mendatangkan bahaya di tempat yang berkunci dan selamat. Contohnya, seperti bahan peluntur atau gunting dan sebagainya.

  • Wujudkan persekitaran yang tenang. Kurangkan stress trigger sebanyak mungkin.Perubahan fizikal yang anda boleh lakukan adalah pada susunan dan pencahayaan rumah anda.

  • Galakkan keselamatan emosi. Sebagai contoh, menggantung foto keluarga atau seseorang yang bermakna buat mereka supaya apabila melihatnya, mereka akan tersenyum dan sentiasa rasa disayangi.

  • Menghadkan tempoh masa penggunaan gajet. Kini, komputer riba, telefon pintar, atau tablet boleh menjadi punca kepada tekanan dan mengandungi hal-hal yang negatif – sama ada melalui berita atau hantaran media sosial.

  • Buat pelan pengurusan krisis bertulis yang mengandungi nombor telefon penting, seperti pasukan perubatan atau bahagian kecemasan hospital berdekatan.  Pastikan pelan bertulis ini boleh diakses dan boleh dilaksanakan dengan cepat.

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp