Pentingnya ‘Personal Boundaries’ Untuk Lindungi Diri

jon-tyson-5rT4iuKts8Q-unsplash

Untuk menjadi orang dewasa yang bertanggungjawab, menetapkan personal boundaries adalah sebahagian daripada apa yang perlu kita lakukan. Kita memerlukan personal boundaries untuk memastikan diri kita selamat dan sihat.

Apabila anda menetapkan batasan pada diri sendiri, anda akan berkata,

“Inilah garis pemisah yang jelas di antara saya dan orang di sekeliling saya. Inilah garis pemisah antara apa yang baik untuk saya dan apa yang tidak. Saya atau sesiapa sahaja tidak boleh melampaui garis pemisah ini”.

Batasan peribadi adalah had atau peraturan

Personal boundaries atau batasan peribadi ialah had dan peraturan yang kita tetapkan untuk diri kita sendiri dalam perhubungan. Orang yang mempunyai batasan yang sihat boleh berkata ‘tidak’ kepada orang lain apabila mereka perlu, tetapi mereka juga terbuka kepada keintiman dan hubungan rapat dengan orang lain.

Kenapa batasan peribadi penting?

Batasan peribadi adalah penting kerana ia menghalang anda berkata ‘ya’ apabila waktu itu anda sebenarnya ingin mengatakan ‘tidak’. Batasan ini membenarkan anda fokus kepada perkara yang penting dalam hidup anda dan tidak terganggu oleh perkara-perkara yang tidak begitu penting.

Sudah tentu dalam hidup ini, adakalanya kita semua tetap perlu melakukan perkara yang tidak mahu kita lakukan. Tetapi dengan adanya batasan peribadi ini, ia membantu anda supaya sentiasa berada di landasan yang betul serta memastikan kehidupan anda berjalan lancar.

“Boundaries protect the things that are value to you. They keep you in alignment with what you have decided you want in life. That means the key to good boundaries is knowing what you want.”

Adelyn Birch

Kita menetapkan batasan peribadi kerana kita menyayangi dan menghormati keperluan emosi, psikologi, dan fizikal diri sendiri.

Ketahui batasan peribadi anda

Batasan diri setiap orang berbeza dan unik. Batasan yang anda tetapkan buat diri sendiri akan mencerminkan keperluan, nilai-nilai yang ada pada diri dan keutamaan hidup anda.

Beberapa contoh batasan peribadi adalah seperti berikut :

  • Tidak menjawab e-mel kerja pada hujung minggu.
  • Tidak bekerja lebih dari jam 7 malam.
  • Memerlukan quiet time setiap hari.
  • Boleh bergurau dengan ahli keluarga, tetapi masih ada nilai hormat sesama sendiri.
  • Tiada masalah untuk berbalas mesej, tetapi tidak terlalu kerap.
  • Selesa untuk berpegangan tangan, tetapi tidak di khalayak ramai.
  • Mempunyai kehidupan peribadi yang berasingan daripada ibu bapa selepas berkahwin.
  • Mengelak daripada terlalu rapat dengan orang yang suka menyakitkan hati dan memberi tekanan kepada anda.

Tidak kira apa status perhubungan anda dengan orang lain, anda perlu menetapkan batasan peribadi. Mulakan dengan fokus kepada apa yang anda rasa dan bagaimana anda bertindak balas terhadap situasi di sekeliling anda.

Apa yang membuatkan anda berasa tidak selesa?
Apa yang menjadi keutamaan dalam hidup anda?
Apa yang anda boleh kongsi kepada umum?
Apa yang anda mahu simpan sendiri?
Adakah terhadap apa-apa jenis tingkah laku atau sifat yang tidak sesuai dengan diri anda?

Tetapkanlah personal boundaries yang sihat untuk diri sendiri. Batasan ini adalah milik anda seorang sahaja, dan tiada sesiapa yang boleh mengawalnya.

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp