Mengenali Skizofrenia (Schizophrenia)

Gambar Blogpost Mengenali Skizofrenia (Schizophrenia)

Skizofrenia adalah satu kondisi yang mana terdapat gangguan dari sudut perasaan, pemikiran, emosi, persepsi dan tingkahlaku. Gangguan ini secara tidak langsung memberi kesan kepada perubahan personaliti, penyusutan fungsi dan juga pemikiran.

Kebanyakan kes ini dijumpai dalam kalangan mereka yang muda belia sekitar umur 18 tahun ke atas bagi lelaki dan 26 tahun ke atas bagi wanita. Oleh kerana itu, kita dapat lihat corak kehidupan mereka sangat terkesan dengan kondisi ini kerana ianya sangat menjejaskan kefungsian harian mereka daripada sudut akademik, sosial dan juga peribadi.

Apa punca Skizofrenia?

Punca sebenar bagi kondisi ini masih tidak diketahui sehingga kini. Terdapat kajian yang menyebut bahawa mereka yang mempunyai kondisi ini mempunyai kaitan dengan masalah genetik dan faktor lain seperti pengunaan bahan terlarang, masalah ketika lahir dan kekurangan nutrien. Kehidupan yang penuh tekanan juga boleh menjadi risiko mendapat kondisi ini.

Simptom-simptom Skizofrenia

Secara mudah, simptom- simptom untuk skizofrenia boleh dibahagikan kepada simptom positif dan simptom negatif.

1. Simptom positif (kebiasaannya berlaku dalam tempoh akut)

– Halusinasi : Merujuk kepada individu yang mendengar bisikan suara, melihat, merasai atau terbau sesuatu yang sebenarnya tidak wujud secara realiti.

– Delusi : Merujuk kepada kepercayaan seseorang yang tetap, susah untuk digoyahkan dan ianya sesuatu yang tidak benar dan berlawanan dengan adat dan latar belakang seseorang

– Kecelaruan tingkahlaku

– Kecelaruan tutur kata

2. Simptom negatif (kebiasannya berlaku dalam tempoh kronik atau sebelum akut)

– Kurang motivasi: Tiada minat untuk melakukan aktiviti harian walapun perkara yang diminati

– Kurang reaksi terhadap sebarang emosi: Reaksi mereka terhadap sesuatu emosi mungkin kurang atau tidak betul

– Kurang bersosial: Hal ini kerana individu yang mempunyai penyakit skizofrenia ini selalunya rasa seperti ada orang yang ingin mencederakan mereka lalu mereka akan kurang bersosial dan sentiasa berseorangan

– Kurang bercakap : patah perkataan yang ditutur semakin berkurangan dan tidak spontan seperti selalu

Melalui simptom-simptom ini, mereka akan dinilai berdasarkan kriteria dalam DSM-5 untuk didiagnos sebagai Skizofrenia.

Serious man dressed in casual style stands outside Free Photo

Rawatan Skizofrenia

Rawatan skizofrenia memerlukan kepada bukan sahaja ubat bahkan terapi psikologi yang berterusan. Ubatan yang diberikan bukanlah untuk menyembuhkan tetapi untuk membantu  mengurangkan simptom-simptom yang ada. Di samping itu, mereka juga memerlukan bantuan daripada sudut terapi cara kerja dan  kemahiran lain yang diperlukan dalam kehidupan seharian seperti kemahiran menyelesaikan masalah.

Prognosis Skizofrenia

Skizofrenia dianggap sebagai salah satu penyakit kronik yang serius. Dalam kebanyakan kes, dapat dilihat individu yang menghidapi kondisi ini kesihatannya semakin merosot dan tidak mempunyai harapan untuk sembuh yang tinggi. Secara purata, satu pertiga pesakit mempunyai prognosis yang baik (boleh berfungsi dengan baik), sepertiga lagi mengalami episod yang berulang (relapse), dan bakinya mempunyai prognosis yang kurang baik (tidak mampu berfungsi sepenuhnya dan bergantung kepada ubat).

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp