Sudah menjadi lumrah hidup berumah tangga pasti ada pasang surutnya, sekali sekala dilanda hujan dan badai. Sehinggakan tiba suatu masa, penceraian menjadi satu-satunya pilihan dan jalan terakhir bagi sesetengah pasangan.
Tidak dinafikan, tempoh penceraian adalah masa yang sangat tertekan bagi setiap ahli keluarga yang terlibat termasuklah anak-anak. Ia lebih memberi kesan terutamanya kepada anak-anak yang masih kecil kerana mereka tidak memahami sepenuhnya mengapa struktur keluarga mereka berpecah.
“Apa yang akan berlaku kepada saya?”
Perceraian boleh menjadi sesuatu yang menakutkan untuk kanak-kanak. Kebanyakan kanak-kanak bertindak balas terhadap penceraian ibu bapa mereka dengan emosi yang menyakitkan.
Perasaan kehilangan, marah, keliru, bimbang, takut untuk ditinggalkan dan banyak lagi, semuanya mungkin datang dari peralihan ini. Perceraian boleh menyebabkan kanak-kanak berasa terlampau sedih dan sensitif dari segi emosi.
Mereka juga terpaksa melalui beberapa perubahan dalam diri mereka.
Ramai kanak-kanak mengalami perasaan kehilangan apabila salah seorang ibu bapa berpindah keluar dari kediaman keluarga, merindui ibu apabila bersama dengan bapa atau sebaliknya, dititipkan kepada datuk dan nenek untuk dijaga, dan sebagainya.
Anak-anak ini memerlukan tempat untuk menyalurkan emosi mereka – seseorang untuk bercakap dengannya, seseorang yang akan mendengar, atau bantuan dari segi sokongan psikologi.
Bagaimanakah Perceraian Menjejaskan Kanak-Kanak?
Apabila ibu bapa kanak-kanak bercerai, ia mungkin mengakibatkan kanak-kanak itu mengalami masalah kesihatan mental.
Penceraian mungkin akan menyebabkan kanak-kanak berasa :
- Kebimbangan tentang susunan hidup mereka yang tidak stabil.
- Kemurungan tentang pengalaman traumatik yang mereka hadapi.
- Tertekan untuk menghadapi tanggungjawab tambahan di rumah.
- Serba salah dengan menyalahkan diri sendiri atas apa yang telah berlaku.
- Kesunyian kerana mereka mungkin belum sempat menghabiskan banyak masa bersama kedua ibu bapa sebelum ini.
- Marah kepada ibu bapa mereka kerana memecah belahkan keluarga.
Perkara Penting Yang Perlu Diketahui
Perceraian adalah masalah orang dewasa.
Anak tidak menyebabkan ibu bapa bercerai.
Anak memerlukan kedua ibu bapa.
Kanak-kanak mendapat manfaat apabila kedua ibu bapa memainkan peranan utama dalam kehidupan mereka, kecuali dalam kes di mana salah seorang ibu bapa menganiaya atau tidak dapat memberikan penjagaan yang sewajarnya.
Rutin yang konsisten adalah penting dari segi perkembangan untuk semua kanak-kanak, terutamanya anak kecil.
Ibu bapa digesa untuk cuba mengekalkan rutin yang konsisten untuk anak-anak mereka.
Cara Membantu Kanak-kanak Menghadapi Sesebuah Penceraian
Apabila ibu bapa kanak-kanak berpisah, mereka akan berasa seperti seluruh dunia mereka telah terbalik. Ia adalah masa yang mengelirukan dan traumatik untuk kanak-kanak, dan kesihatan mental mereka juga mungkin terjejas.
Kanak-kanak menghadapi proses perceraian ibu bapa secara berbeza mengikut usia.
Berikut adalah perkara yang boleh ibu bapa lakukan untuk membantu anak anda bersesuaian dengan usia mereka :
0 – 18 bulan
• Mengekalkan konsistensi dalam rutin.
• Kemudian, ubah rutin secara beransur-ansur.
• Elakkan ekspresi marah dan luahan emosi di hadapan bayi.
• JANGAN bergaduh di hadapan bayi.
18 bulan – 3 tahun
• Tidak culas memberi kasih sayang dan perhatian.
• Memberikan jaminan lisan (Ibu dan Ayah kedua-duanya berkata, “Saya sayang kamu.”)
• Mengekalkan konsistensi rutin.
• Meyakinkan kanak-kanak bahawa dia akan dijaga.
• Memberikan penjelasan yang jelas tentang perubahan yang berlaku.
• Memberi peluang kepada kanak-kanak meluahkan perasaan melalui perkataan atau permainan.
• Elakkan ekspresi marah atau luahan emosi di hadapan anak.
• JANGAN bergaduh di hadapan anak.
3 – 5 tahun
• Tidak culas memberi kasih sayang dan perhatian.
• Memberikan jaminan lisan (Ibu dan Ayah kedua-duanya berkata, “Saya sayang kamu.”)
• Mengekalkan konsistensi rutin.
• Meyakinkan kanak-kanak bahawa dia akan dijaga.
• Memberikan penjelasan yang jelas tentang perubahan yang berlaku (“Ibu dan Ayah tidak akan tinggal bersama lagi, tetapi kami akan sentiasa menjadi ibu dan ayah kamu, akan terus sayang dan jaga kamu.”)
• Memberi peluang kepada kanak-kanak meluahkan perasaan melalui perkataan atau permainan.
• Elakkan ekspresi marah atau luahan emosi di hadapan anak.
• JANGAN bergaduh di hadapan anak.
• JANGAN sesekali mengkritik ibu bapa yang lain kepada anak.
• JANGAN sesekali meletakkan anak “di tengah”.
6 – 8 tahun
• Memberi jaminan lisan (“Ibu dan Ayah akan terus menjaga kamu.”)
• Pastikan mereka akan terus berjumpa dengan kedua ibu bapa.
• Memberi kebenaran kepada anak untuk terus menyayangi ibu bapa yang lain seperti biasa.
• JANGAN sesekali mengkritik ibu bapa yang lain kepada anak.
• JANGAN sesekali meletakkan anak “di tengah”.
9 – 12 tahun
• Mendengar luahan perasaan dan aduan anak tanpa menyebelahi atau menilai.
• Jangan mengkritik ibu bapa yang lain kepada anak dan jangan paksa anak untuk berpihak kepada sesiapa.
• Menggalakkan kanak-kanak melihat kebaikan pada ibu bapa yang lain.
• Jangan bergaduh di hadapan anak.
• Katakan perkara positif tentang ibu bapa yang lain sekali-sekala.
• Menyokong hubungan kanak-kanak dengan ibu bapa yang lain.
Hubungi Kami
Di Pusat Pakar Psikologi Jiwadamai, kami mempunyai perkhidmatan yang direka khas untuk membantu golongan muda melalui masa yang mencabar.
Psikologis klinikal kami boleh membantu kanak-kanak mendapatkan semula keyakinan diri, mengajar mereka kaedah untuk menghadapi situasi yang sukar, serta membantu mereka mengendali emosi dengan lebih baik.
Hubungi kami untuk maklumat lanjut.