Pasti ibu bapa berasa tertekan dan kecewa apabila anak anda susah untuk makan nasi, terutamanya setelah anda penat memasak. Situasi ini sering dilalui ibu bapa dan ia boleh menimbulkan kebimbangan tentang kesihatan anak-anak.
Mari lihat beberapa punca mengapakah kanak-kanak masih tidak pandai makan nasi walaupun sudah mencecah usia melebihi 2 tahun.
1. Isu Muscle Tone
Muscle tone adalah jumlah ketegangan atau rintangan terhadap pergerakan dalam otot yang berfungsi untuk membantu kita mengekalkan posisi badan yang tegak apabila kita duduk atau berdiri.
Kanak-kanak yang mempunyai masalah muscle tone sukar untuk makan kerana ia mengganggu penyelarasan leher dan kepala mereka serta kebolehan mereka untuk duduk dengan tegak. Secara tidak langsung, isu ini boleh membawa kepada masalah oral motor, pernafasan, air liur meleleh, kurang eksplorasi oral dan self-feeding.
2. Isu Oral Motor
Struktur oral dan corak oral motor penting dalam kemahiran untuk makan kerana ia membenarkan kita untuk menyedut, meminum, menggigit, mengunyah dan menelan makanan.
Bentuk lidah yang tidak normal merupakan satu punca besar yang mengganggu kemahiran makan kanak-kanak kerana ia terlibat secara langsung dalam proses makan dan minum.
3. Personaliti Ibu Bapa atau Penjaga
Personaliti ibu bapa atau penjaga terhadap waktu makan akan memberikan kesan terhadap kebolehan anak untuk makan. Apabila ibu bapa tidak suka memberi makanan kepada anak-anak atau melihat waktu makan sebagai satu tugas, waktu makan akan menjadi pengalaman yang kurang seronok.
Sebagai contoh, apabila ibu bapa yang gelisah tentang pemakanan anak-anak mungkin akan cuba mengawal pemakanan anak secara keras. Ini akan menyebabkan kanak-kanak enggan makan kerana mereka berasa seperti dipaksa untuk makan.
4. Masalah Kesihatan
Isu anak-anak masih tidak pandai makan juga mungkin berkait dengan masalah kesihatan anak-anak. Antara masalah kesihatan yang memberikan impak dalam kebolehan makan anak-anak adalah cerebral palsy, facial hypotonia, down syndrome dan gastric.
Masalah tingkah laku dalam kanak-kanak yang enggan makan juga mungkin berpunca dari masalah kesihatan seperti berasa sakit disebabkan reflux asid, alahan, sakit gigi atau gusi, dan gigi dan gusi sensitif.
5. Masalah Sensori
Kanak-kanak yang mempunyai oral hypersensitivity akan memberi reaksi negatif terhadap benda yang menyentuh atau masuk ke dalam mulut mereka. Mereka juga mungkin mengelak dari makan, menggosok gigi, memilih makanan dan mengelakkan sesetengah tekstur makanan.
Sementara itu, kanak-kanak yang mempunyai sensory integration dysfunction pula mempunyai kelemahan sensory registration dan kesedaran sensori. Oleh itu, mereka sering mencari input sensori dengan cara menggigit kuku atau jari, mainan atau baju. Apabila makan, mereka mungkin akan cuba untuk memasukkan makanan secara banyak dalam mulut mereka, yang menyebabkan mereka susah untuk mengunyah dan menelan makanan.
Jika anda bimbang tentang masalah anak anda yang masih tidak mahu dan tidak pandai untuk makan nasi, anda dinasihatkan untuk berjumpa dengan psikologis klinikal atau terapis kami bagi menjalani penilaian awal perkembangan.