Regulasi emosi boleh ditakrifkan sebagai proses mengenal dan mengawal perasaan atau reaksi terhadap perasaan. Dalam erti kata lain, regulasi emosi adalah pengurusan emosi dan tindakan yang berkait dengan emosi.
Kebanyakan kanak-kanak autisme menghadapi lebih cabaran dalam mengawal emosi mereka dan ini mungkin berterusan sehingga mereka dewasa. Ahli psikologis menggelarkan keadaan ini sebagai ‘emotional dysregulation’.
Apabila kanak-kanak autisme sedang menghadapi kesukaran mengawal emosi, anda dapat lihat mereka mungkin mengamuk, menjerit, menangis, memukul diri sendiri atau menunjukkan tingkah laku self-stimulatory seperti hand flapping, stimming, berjalan mundar-mandir atau menggoyangkan badan.
Membantu kanak-kanak autisme melatih regulasi emosi boleh memberi impak positif yang besar kepada kesejahteraan mereka dan keluarga mereka.
Ia juga boleh membantu mengurangkan ledakan emosi, kebimbangan sosial, masalah dalaman dan tingkah laku agresif dalam kanak-kanak autisme, yang kemudiannya mungkin dapat menyumbang kepada kejayaan sosial dan akademik mereka.
Berikut adalah cara-cara mudah yang boleh anda cuba untuk melatih regulasi emosi pada anak autisme:
1. Mengenali emosi
- Melabelkan emosi anak anda dan emosi yang terdapat dalam kehidupan seharian seperti emosi anda dan ahli keluarga, atau emosi watak di dalam televisyen dan buku cerita.
- Membantu anak anda menyedari reaksi badan mereka terhadap emosi.
- Meminta mereka untuk melukis perasaan mereka.
- Menggunakan messy play, melukis, mewarna dan menyanyi untuk meneroka emosi.
- Melakonkan emosi bersama anak anda.
- Menggunakan bantuan visual seperti gambar atau video untuk menunjukkan emosi berbeza.
2. Memahami dan menerima emosi
Anda boleh membantu anak anda memahami mengapa mereka merasai sesuatu emosi dengan menerangkan bagaimana pemikiran boleh membawa kepada perasaan.
Sebagai contoh, anda boleh melukis gambar kucing dan anak anda. Kemudian anda boleh berkata,
“Kalau kucing ni melompat ke arah awak dan awak fikir dia akan gigit awak, awak akan rasa takut. Tapi kalau awak fikir kucing ni comel dan manja, awak akan berasa seronok nak bermain dengan dia”.
Selain itu, ia penting untuk anak anda mengetahui bahawa setiap orang mengalami pelbagai emosi. Anda juga digalakkan untuk menjelaskan atau bercakap dengan mereka tentang perasaan-perasaan yang sukar.
3. Mengurus emosi
Kanak-kanak autisme boleh mempelajari teknik-teknik menenangkan diri dengan pertolongan ibu bapa. Anda disarankan untuk melatih mereka apabila mereka tenang kerana ia akan memudahkan mereka mengingati dan menggunakan teknik tersebut apabila berlu.
Antara teknik-teknik menenangkan diri adalah:
- Latihan relaksasi seperti mengira hingga sepuluh, menarik nafas dengan dalam sebanyak lima kali atau berfikir tentang perkara yang membuat mereka gembira dan tenang.
- Menggunakan alat/mainan untuk stimulasi sensori seperti fidget toys, kerusi goyang, atau pasir kinetik.
- Anda boleh membawa mereka berjalan-jalan di kawasan rumah, membenarkan mereka untuk makan dan minum atau membiarkan mereka bersendirian, apabila mereka berasa terlampau tertekan.
- Anda juga boleh membenarkan mereka untuk mengambil masa rehat jika mereka melakukan sesuatu aktiviti pada masa yang lama.
Jika anda mendapati bahawa anak anda masih menghadapi kesukaran dalam mengatur emosi walaupun setelah anda cuba membantu dan mengajar mereka, anda dinasihatkan untuk membawa anak anda berjumpa dengan psikologis klinikal kami bagi mendapatkan bantuan dan penilaian awal.