Kenali Apa Itu Gangguan Pemprosesan Sensori (SPD)

front-view-cute-little-kid-pink-dress-covering-her-ears-min

Sara, seorang kanak-kanak perempuan berusia 5 tahun sentiasa bergelut dengan bunyi yang kuat atau bunyi yang datang secara tiba-tiba.

Selalunya, dia akan bertindak balas dengan menutup telinganya, menjerit atau menjadi agresif apabila mendengar bunyi hon kereta, pengisar (blender), atau ketika mendengar rakan sekelasnya menyanyi dengan kuat.

Dia sangat takut pada bunyi pembersih vakum dan akan melarikan diri apabila ibu atau ayahnya menggunakan alat tersebut berhampiran dengannya. Dia juga menjadi sangat pemalu ketika berada di tempat awam dan biasanya enggan pergi ke tempat yang bising dan terlalu banyak bunyi-bunyian.

Sara sangat sensitif terhadap input deria bunyi yang kuat atau bising, sejenis Gangguan Pemprosesan Sensori (SPD) yang dikenali sebagai Over-Responsivity.

Apa itu Gangguan Pemprosesan Sensori (SPD)?

Gangguan Pemprosesan Sensori atau Sensory Processing Disorder (SPD) merupakan keadaan di mana otak mempunyai kesukaran dalam mentafsir dan bertindak balas terhadap maklumat yang diterima melalui deria.

Kanak-kanak mungkin menjadi terlalu sensitif (overwhelmed) dengan maklumat yang masuk melalui deria mereka atau memerlukan lebih banyak input deria untuk bertindak balas. Mereka mengalami keadaan ini secara berbeza bergantung kepada jenis masalah pemprosesan deria yang mereka miliki.

Mereka yang mempunyai SPD mungkin bertindak balas terhadap maklumat deria yang tidak selesa buat mereka dengan menunjukkan tingkah laku hiperaktif, marah, berkelakuan ganas, mengelak dan dalam beberapa kes, melibatkan tingkah laku mencederakan diri sendiri seperti mencubit diri sendiri, menarik rambut, atau menghantuk kepala ke dinding.

Kesan daripada masalah deria ini boleh menjejaskan cara kanak-kanak menjalani sesuatu aktiviti dalam situasi yang berbeza. Mereka mungkin tidak berasa selamat. Mereka juga berkemungkinan mengalami masalah dengan kemahiran motor, tulisan tangan, perhatian, tingkah laku, emosi, permainan dan pembelajaran.

7 Sistem Sensori Yang Terlibat

Untuk lebih memahami SPD, penting untuk anda mengetahui tentang sistem deria yang berbeza. Sistem deria mula berkembang sebelum seseorang dilahirkan.

Mereka yang mempunyai SPD mengalami kesukaran memproses maklumat daripada satu atau beberapa sistem deria berikut :

1. Visual : keupayaan untuk melihat dan berfikir tentang objek apabila ia tidak kelihatan.

Cth. : Mencari semula mainan yang tidak dapat dilihat semasa bermain.

2. Auditori : keupayaan untuk mendengar, menyuarakan dan mengulang bunyi.

Cth. : Menoleh apabila nama dipanggil.

3. Sentuhan : kebolehan menyentuh dan memanipulasi item.

Cth. : Memasukkan dan mengeluarkan mainan daripada bekas.

4. Olfaktori : keupayaan untuk menghidu dan mengenal pasti bau yang berbeza.

Cth. : Menunjukkan keselesaan kepada bau wangi berbanding bau busuk.

5. Rasa : keupayaan untuk mengesan rasa dan tekstur yang berbeza.

Contoh: Lebih suka makan lobak merah yang dimasak berbanding yang mentah.

6. Vestibular : keupayaan untuk mengimbangi badan.

Contoh: Berdiri atau melompat dengan sebelah kaki.

7. Proprioseptif : keupayaan untuk mengenali tubuh badan dan menggerakkan badan di dalam ruang di sekeliling anda.

Contoh: Membaling bola tanpa perlu melihat tangan.

Jenis Gangguan Pemprosesan Sensori (SPD)

Terbahagi kepada tiga (3) jenis, iaitu :

1) Sensory Modulation Disorder : gangguan ini melibatkan kesukaran dalam

menyesuaikan tindak balas dengan input deria.

Over-Responsivity : Kanak-kanak bertindak balas secara melampau terhadap input deria yang diterima.

Under-Responsivity : Kanak-kanak tidak menyedari input deria yang diterima dan lewat menunjukkan tindak balas yang sesuai.

Sensory Seeking : Kanak-kanak terdorong untuk mencari ransangan deria secara berlebihan dan kadangkala kelihatan tidak teratur.

2) Gangguan Motor : gangguan ini termasuk kesukaran dengan imbangan dan koordinasi motor.

Postural : Kanak-kanak mengalami persepsi yang lemah terhadap kedudukan badan, seterusnya menjejaskan postur badan.

Dispraksia : Kanak-kanak mengalami kesukaran merancang dan melakukan sebarang pergerakan.

3) Sensory Discrimination Disorder : gangguan ini melibatkan kesedaran yang lemah dan kesukaran mentafsir kualiti persekitaran berdasarkan input deria yang diterima.

Apa Yang Perlu Anda Lakukan Sebagai Ibu Bapa?

Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan, bawa anak anda berjumpa dengan terapis carakerja kami untuk menjalani penilaian perkembangan seterusnya ialah mengatur rawatan lanjut sekiranya perlu. Terapis akan merancang strategi untuk membantu anak anda supaya anak anda lebih mampu untuk mengambil bahagian dalam tugasan seharian.

Lebih awal penilaian perkembangan dilakukan, lebih baik hasilnya untuk anak anda.

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp