Apa Itu Kemahiran Motor Kasar?
Kemahiran motor kasar ialah kemahiran yang memerlukan pergerakan seluruh badan dan melibatkan otot-otot besar badan untuk melakukan pelbagai fungsi harian. Kemahiran ini membolehkan kita bergerak dengan cekap, menyesuaikan diri dengan persekitaran kita, mengimbangi badan, berlari, melompat, bermain permainan dan banyak lagi.
Mengapa Kemahiran Motor Kasar Penting Untuk Anak Anda?
Kemahiran motor kasar sangat diperlukan oleh setiap kanak-kanak. Ini kerana, ia adalah penting untuk membolehkan kanak-kanak melakukan fungsi setiap hari, seperti berjalan, berlari, melompat, serta kemahiran bermain di taman permainan (cth. memanjat) dan kemahiran bersukan (cth. menangkap, membaling dan memukul bola dengan kayu pemukul).
Malahan, ia juga penting untuk kemahiran penjagaan diri setiap hari seperti berpakaian (di mana mereka perlu boleh berdiri dengan sebelah kaki untuk meletakkan kaki anda ke dalam kaki seluar tanpa terjatuh).
Perkembangan kemahiran motor kasar berjalan seiring dengan perkembangan pertuturan dan kemahiran motor halus mereka.
Punca Kanak-Kanak Lemah Kemahiran Motor Kasar
Kemahiran motor kasar boleh mencabar bagi kebanyakan kanak-kanak kerana beberapa sebab :
• Kurang pengalaman atau praktis.
• Kesukaran menggunakan dua bahagian badan secara serentak (bilateral integration).
• Kurang imbangan badan disebabkan oleh core stability yang lemah.
• Kesukaran merancang dan mengatur diri mereka untuk mengikut arahan.
• Kemahiran kesedaran ruang (spatial awareness) yang lemah.
Dengan menyokong anak anda secara kerap untuk menjalankan aktiviti yang melibatkan motor kasar dapat menggalakkan kemahiran motor kasar mereka berkembang dengan lebih baik.
10 Permainan Anak Anda Boleh Lakukan Di Luar Atau Di Dalam Rumah
Bermacam-macam jenis permainan dan aktiviti boleh diperkenalkan kepada anak anda pada bila-bila masa sepanjang hari.
- Postur Berjalan Berbeza
Aktiviti meniru gaya atau postur haiwan-haiwan berjalan sangat membantu dalam menguatkan otot-otot tubuh badan kanak-kanak. Antara yang sering digayakan adalah bear walk, crab walk dan lion jump. Aktiviti ini akan menjadi menarik dengan permainan bertemakan “Animal’s Family” sambil anak-anak dapat meniru dan membezakan bunyi- bunyi setiap haiwan yang dilakonkan.
- Jungle Trekking
Aktiviti ini menawarkan pengalaman baharu kepada kanak-kanak. Mereka boleh meneroka laluan baharu sepanjang jalan yang dilalui. Semakin banyak laluan baharu ini diterokai, semakin aktif otak mereka berfungsi. Ia bukan sahaja memberi manfaat kepada kemahiran motor, ia juga bagus untuk meningkatkan kapasiti memori.
- Canopy Walk
Aktiviti ini sememangnya sangat sukar dilakukan. Tidak dinafikan terdapat juga golongan dewasa yang agak gayat untuk melakukan aktiviti ini. Tetapi tidak mustahil, kanak-kanak dari usia 3 tahun boleh berjalan hingga ke hujung laluan. Mereka boleh mengimbangi badan mereka semasa berjalan, mempunyai cengkaman yang baik pada tali dan dapat belajar untuk mengawal rasa bimbang mereka ketika berada di permukaan tinggi.
- Merentas Gua
Penerokaan gua sememangnya satu pengalaman yang menarik dan mengujakan untuk kanak-kanak. Mereka bukan sahaja dapat menguji kekuatan otot badan semasa mereka berjalan, merangkak, dan memanjat permukaan gua yang pelbagai. Tetapi, mereka juga boleh belajar tentang hidupan yang sering menjadikan gua sebagai habitat, seperti kelawar.
- Berenang
Berenang sangat bermanfaat untuk kanak-kanak. Aktiviti ini akan melibatkan hampir setiap bahagian badan mereka seperti tangan, kaki dan kepala. Mereka juga akan belajar mengawal nafas mereka supaya boleh terapung.
- Laluan Berhalangan
Sejak bayi kita boleh merangsang kemahiran motor kasar kanak-kanak. Sediakan laluan berhalangan yang terdiri daripada bantal, kotak, tilam dan banyak lagi. Aktiviti ini membolehkan bayi merangkak dan memanjat halangan di hadapannya. Tambahkan cadar, selimut atau fabrik dengan tekstur yang berbeza untuk merangsang deria taktil mereka.
- Papan Imbangan (Balance Beam)
Aktiviti balance beam ini adalah salah satu aktiviti vestibular yang melibatkan hampir kesemua anggota badan seperti tangan, bahu, bahagian tengah badan dan kaki. Kanak-kanak juga belajar untuk mengimbangkan tubuh badan mereka agar tidak terjatuh daripada laluan yang disediakan.
- Teng-teng
Permainan ini sangat popular dengan kanak-kanak pada tahun 1980-an, bukan sahaja ia menyeronokkan tetapi ia juga mempunyai banyak faedah. Kanak-kanak melompat dan belajar mengimbangi badan mereka dengan sebelah kaki. Aktiviti ini boleh menguji kekuatan otot kaki mereka.
- Berjalan Atas Pita Pelekat
Permainan ini membantu kanak-kanak mengawal keseimbangan badan supaya mereka tidak meninggalkan laluan yang diletakkan pita pelekat. Mereka boleh berlari atau melompat di atasnya, yang pastinya membantu meningkatkan kemahiran motor kasar mereka. Aktiviti ini boleh dipelbagaikan dengan meletakkan mainan seperti buah-buahan, kereta atau apa sahaja yang boleh mereka ambil di hujung pita pelekat untuk menjadikannya lebih menarik.
- Sarang Labah-Labah
Dengan menggunakan tali atau reben untuk membina laluan seperti sarang labah-labah yang besar. Aktiviti ini menggalakkan kanak-kanak merangkak, menendang atau membongkokkan badan mereka untuk melepasi halangan yang dibina.
Cuba cipta banyak peluang untuk anak anda mencuba aktiviti atau permainan seperti di atas kerana ia boleh membantu meningkatkan perkembangan motor kasar anak anda.
Jika anda mempunyai kebimbangan mengenai perkembangan kemahiran motor halus anak anda, hubungi kami untuk mengetahui lebih lanjut tentang perkhidmatan kami dan cara kami boleh membantu anak anda membesar dengan baik.