3 Sebab Mengapa Bermain Penting Dalam Terapi Pertuturan

portrait-cute-little-boy-playing-with-banana

“Kenapa saya tengok anak saya banyak main je dalam sesi terapi?”

“Sesi terapi ni memang main-main je ke?”

Ramai sebenarnya ibu bapa yang tertanya-tanya mengapa ahli terapi pertuturan menghabiskan begitu banyak masa bermain dengan anak mereka semasa sesi terapi dijalankan. Mungkin anda juga ada persoalan-persoalan yang sama.

Adakalanya anda akan melihat terapis pertuturan dan anak anda membuat bunyi-bunyi haiwan, menjadikan pisang sebagai telefon, atau berpura-pura sedang menikmati jamuan makan yang enak. Ia kelihatan terlalu menyeronokkan untuk menjadi aktiviti terapeutik, bukan?

Tetapi realitinya, itulah saat-saat di mana ‘keajaiban’ berlaku. Untuk memahami mengapa terapi pertuturan melibatkan banyak aktiviti bermain, anda perlu mengetahui sebab dan cara kanak-kanak bermain.

Mengapa Kanak-Kanak Bermain?

Kanak-kanak belajar tentang dunia mereka melalui bermain. Ia memudahkan perkembangan kognitif, emosi, fizikal dan sosial mereka. Komunikasi adalah bahagian penting dalam proses bermain ini. Kanak-kanak yang bermain dengan kanak-kanak lain atau dengan orang dewasa akan menggunakan bahasa untuk mencipta dunia khayalan yang dikongsi.

Sekiranya kemahiran bermain seorang kanak-kanak tertangguh atau lewat, ia boleh menjadi red flag bahawa kanak-kanak tersebut mungkin juga mempunyai masalah lewat pertuturan.

Kepentingan Bermain Semasa Terapi Pertuturan

Memandangkan kemahiran bermain dan bahasa berkembang seiring, terapis pertuturan dan anak anda sering bermain semasa terapi untuk menggalakkan penggunaan bahasa. Bermain adalah satu aspek penting dalam terapi pertuturan.

Bermain adalah sangat bermotivasi dan menarik untuk kanak-kanak.

Kanak-kanak belajar dan mengekalkan maklumat dengan lebih baik dalam konteks aktiviti yang menarik dan menyeronokkan. Apabila kanak-kanak belajar dalam konteks bermain, konsep, bunyi dan perkataan baharu menjadi relevan dan bermakna kepada kanak-kanak itu. Ini menggalakkan pengekalan dan generalisasi, yang kedua-duanya meningkatkan proses pembelajaran.

Permainan simbolik (permainan olok-olok) amat penting dalam perkembangan bahasa.

Permainan simbolik ialah penggunaan objek untuk mewakili objek lain (cth., menggunakan pinggan sebagai stereng kereta). Terapis pertuturan menggunakan permainan simbolik untuk membuat kanak-kanak bercakap, kerana permainan ini memerlukan penggunaan bahasa untuk membina pemahaman bersama.

Perkembangan permainan simbolik sering dikaitkan dengan perkembangan bahasa: kanak-kanak sering mula menggunakan perkataan tunggal apabila mereka mula menggunakan satu objek untuk mewakili yang lain, dan mereka mungkin mula menggabungkan perkataan apabila mereka menggabungkan dua aksi permainan simbolik.

Bermain selalu kelihatan seperti bermain game dalam terapi.

Ia sesuai untuk klien yang sudah bersekolah; rendah atau menengah. Menunggu giliran semasa bermain meniru kesalingan sosial (social reciprocity) yang dapat kita lihat dalam perbualan dan komunikasi sosial. Ini memudahkan pemahaman kanak-kanak ini  untuk memimpin apabila tiba giliran mereka dan menunggu, mendengar dan menonton apabila tiba giliran orang lain.

Jadi, apabila anda melihat anak anda ketawa di atas lantai duduk di sebelah terapis pertuturan yang mempunyai telefon ‘pisang’ di tangannya, yakinlah bahawa bermain adalah cara yang menyeronokkan untuk membina kemahiran komunikasi dan bahasa anak anda.

Jika anda mempunyai kebimbangan mengenai perkembangan kemahiran bermain dan pertuturan anak anda, hubungi kami untuk mengetahui lebih lanjut tentang perkhidmatan kami dan cara kami boleh membantu anak anda membesar dengan baik.

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp