10 Permainan Tingkatkan Kemahiran Motor Halus Anak Anda

taylor-heery-1r8ZIY1N5Cs-unsplash-min

Setiap hari kita akan bangun gosok gigi, makan, memakai pakaian, membutang baju, mengikat tali kasut, menaip menggunakan komputer, menggunakan telefon pintar dan banyak lagi. Pelbagai aktiviti harian yang dilakukan melibatkan kemahiran motor halus dan aspek ini sangat penting dalam fungsi harian namun sering diambil mudah. 

Apa itu Kemahiran Motor Halus?

Kemahiran motor halus ialah pergerakan yang melibatkan otot-otot kecil di tangan, pergelangan tangan, jari-jemari, kaki, dan jari kaki. Kemahiran motor halus mula berkembang sewaktu anak-anak mula menggunakan otot-otot halus mereka. 

Perkembangan motor halus ini melibatkan aktiviti seperti menggenggam, memegang, menekan, menolak, dan memicit. Kemahiran motor halus mungkin dianggap biasa atau remeh bagi orang dewasa namun, bagi kanak-kanak yang sedang membesar, kegagalan menguasai kemahiran ini mampu memberi impak terhadap keyakinan diri, keupayaan berdikari, penjagaan diri, dan juga prestasi akademik.

Ibu bapa boleh melatih kemahiran motor halus anak-anak melalui permainan dan aktiviti-aktiviti yang mudah dan menyeronokkan. 

10 Permainan Yang Anda & Anak-Anak Anda Boleh Cuba

  1. Blok Kayu  

Bermain blok dan membina sesuatu menggunakannya memerlukan kemahiran kawalan jari dan tangan yang baik. Ini kerana blok kayu perlu diletak dan disusun dengan berhati-hati agar binaan tersebut tidak runtuh. Bermain blok kayu juga bagus untuk perkembangan kemahiran motor halus, kemahiran menyelesaikan masalah (problem-solving), konsep keseimbangan, belajar membina sesuatu, dan juga komunikasi dua hala bersama ibu bapa.

  1. Lego 

Bermain lego memerlukan anak-anak anda untuk meletak, menyusun, dan menyambung blok-blok lego. Permainan ini memfokuskan aspek menarik dan menekan dengan menggunakan jari-jemari mereka. Kemahiran motor halus dan koordinasi  ditingkatkan apabila otot-otot di jari dan tangan dilatih sambil bermain. Anda boleh membina bangunan, rumah, dan bermacam lagi. Hal ini boleh memupuk aspek kreativiti anak-anak. 

  1. Playdough / Tanah liat 

Bermain dengan tanah liat mampu menambah baik kemahiran motor halus di samping meningkatkan kreativiti. Anak-anak anda perlu memicit, menekan, menarik, dan menggenggam secara teliti dalam permainan ini. Penggunaan jari dan tangan diperlukan dalam membina dan merealisasikan imaginasi mereka. Pelbagai benda dapat dihasilkan dengan tanah liat seperti replika makanan, perabot mini, patung, dan banyak lagi. 

  1. Melukis 

Anda boleh menggalakkan anak-anak anda untuk melukis bagi meningkatkan kemahiran motor halus, kreativiti, dan imaginasi mereka. Melukis merupakan antara aktiviti pra-menulis yang penting. Semakin lama dan cekap mereka melukis, mereka akan mula mempunyai kawalan untuk menulis huruf dan perkataan.

  1. Chopstick / penyepit 

Anda boleh bermain dengan menggunakan penyepit dan chopstick. Permainan ini akan melatih dan menguatkan  penggunaan jari-jemari dan seterusnya meningkatkan kemahiran motor halus. Cuba reka permainan yang menggunakan penyepit bersama anak-anak anda. Sebagai contoh, pertandingan menyepit kismis, kekacang, pasta, butang, dan barang-barang lain yang bersesuaian masuk ke dalam mangkuk. 

  1. Mainan memasak 

Set mainan memasak juga bagus untuk meningkatkan kemahiran motor halus. Aktiviti seperti memotong, mengacau, menggunakan alatan dapur seperti sudip, senduk dan kuali, dan membuka atau menutup periuk dan oven menggalakkan penggunaan otot tangan dan jari yang baik. Bermain mainan masak bersama anak-anak juga menambah baik aspek komunikasi dan kreativiti. 

  1. Mengoyak, melipat dan menggumpal kertas 

Dengan hanya menggunakan kertas dan gam, anak-anak anda mampu menguatkan otot tangan, jari-jemari, dan juga kemahiran motor halus. Latihan yang cukup serta teknik yang baik diperlukan bagi menguasai kemahiran mengoyak kertas. Alang-alang anak anda sudah mengoyak kertas, berikan gam dan bimbing mereka melakukan aktiviti kolaj dan seterusnya menghasilkan ilustrasi yang menarik. Kertas yang digumpal juga boleh diolah sebagai permainan baru seperti membaling ke dalam bakul dan sebagainya.

  1. Pasir kinetik 

Pasir  kinetik mempunyai tekstur yang unik dan mampu memberi input sensori kepada deria sentuhan anak-anak anda. Anak anda akan menggenggam, menggali, menekan, memicit, mencedok, dan menggunakan acuan untuk bermain dengan pasir kinetik. Dengan aktiviti ini, anak-anak anda akan melatih kekuatan dan kawalan jari-jemari, tangan dan seterusnya meningkatkan kemahiran motor halus mereka.

  1. Puzzles 

Anda juga boleh menyelesaikan puzzle bersama-sama anak anda. Mengambil dan mencantumkan kepingan puzzle untuk menyelesaikannya akan meningkatkan kemahiran motor halus, koordinasi mata dan tangan, dan menyelesaikan masalah (problem-solving). Menyelesaikan puzzle memerlukan kesabaran yang tinggi bagi ibu bapa dan juga anak-anak. Anda boleh cuba bermain puzzle yang mudah dan ringkas terlebih dahulu sebelum mencuba puzzle yang lebih kompleks dan mencabar. 

  1. Mewarna 

Mewarna adalah satu aktiviti yang sangat menyeronokkan dan boleh dipelbagaikan medium dan jenisnya. Anda boleh cuba memberi anak anda krayon, warna air, kapur, pensil warna, atau arang. Selain berus, anda juga boleh mendedahkan anak anda untuk mewarna menggunakan jari, daun, sayur, dan pelbagai lagi. Mewarna mampu meningkatkan koordinasi tangan dan mata anak anda manakala penggunaan berus warna dapat melatih kecekapan memegang pensil dan barangan lain.

Ibu bapa digalakkan untuk berbual dan berinteraksi sewaktu bermain bersama anak-anak anda. Anda juga disarankan untuk tidak terlalu tumpukan kepada hasil sewaktu bermain, sebaliknya, proses bermain mampu memberi banyak manfaat terhadap perkembangan minda, kemahiran motor kasar dan halus, dan juga aspek kreativiti anak anda. 

Jika anda mempunyai kebimbangan mengenai perkembangan kemahiran motor halus anak anda, hubungi kami untuk mengetahui lebih lanjut tentang perkhidmatan kami dan cara kami boleh membantu anak anda berkembang dengan baik.

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp