Kita semua mempunyai personal boundaries, tetapi ramai di antara kita yang sukar untuk menyatakannya, lebih-lebih lagi dalam situasi tegang di mana kita ingin mengelak daripada berlakunya konflik.
Kita semua memerlukan batasan peribadi.
Batasan inilah yang memastikan kita sihat dan selamat.
Batasan ini juga yang membezakan saya dengan anda.
Batasan membantu kita memberi tumpuan kepada perkara yang paling penting bagi kita.
Dan batasan meningkatkan kualiti perhubungan dengan mewujudkan jangkaan dan tanggungjawab yang jelas.
Apakah jenis batasan peribadi yang anda perlukan?
Satu cara untuk mengenal pasti batasan anda adalah dengan memikirkan sebarang situasi yang memberi masalah kepada anda dari pelbagai aspek kehidupan.
Adakah anda sentiasa berasa letih? Adakah anda berasa tidak selesa dengan bos atau rakan sekerja? Adakah anda berasa kesal dengan campur tangan ibu bapa dalam urusan rumah tangga anda? Adakah rakan anda sudah melampaui batas?
Setiap masalah ini mungkin menjadi tanda bahawa anda tidak menetapkan batasan peribadi dalam hidup anda.
6 Jenis Batasan Peribadi
Terdapat enam (6) jenis batasan peribadi yang anda perlu miliki :
1. Batasan Fizikal (Physical Boundaries)
Batasan fizikal termasuk keperluan anda untuk ruang peribadi (personal space), keselesaan anda dengan sentuhan, dan keperluan fizikal anda seperti berehat atau makan. Ia memberitahu orang lain sejauh mana mereka boleh mendekati anda, jenis sentuhan fizikal apa yang sesuai, berapa banyak privasi yang anda perlukan dan cara berkelakuan ketika berada dalam ruang peribadi anda.
Contohnya :
- “Saya tak selesa berpelukan, cukup dengan bersalaman.”
- “Saya sangat penat. Saya kena duduk sekarang.”
- “Tak. Saya tak nak awak sentuh saya macam tu.”
- “Jangan masuk bilik saya tanpa bertanya dahulu.”
- “Saya alah kepada binatang berbulu, jadi saya tak boleh pelihara dia di rumah saya.”
2. Batasan Intelektual (Intellectual Boundaries)
Batasan intelektual merujuk kepada pemikiran, idea dan rasa ingin tahu anda. Batasan intelektual termasuk menghormati idea orang lain, dan ia boleh dilanggar apabila pemikiran dan rasa ingin tahu anda disekat, diketepikan atau diperkecilkan. Ia juga bermaksud mempertimbangkan sama ada ini adalah masa yang sesuai untuk bercakap tentang sesuatu atau tidak.
Contohnya :
- “Saya hormat pendapat yang berbeza daripada anda semua mengenai perkara ini.”
- “Saya tahu kita tak bersependapat, tapi saya tak akan biarkan awak memperkecilkan saya seperti itu.”
- “Saya nak bercakap lebih lanjut tentang perkara ini, tapi sekarang tidak sesuai. Esok pagi adalah masa yang terbaik.”
3. Batasan Emosi (Emotional Boundaries)
Batasan emosi adalah tentang hak anda untuk mempunyai perasaan dan pemikiran anda sendiri, untuk tidak mengkritik atau menolak perasaan anda, dan tidak perlu terlalu menjaga perasaan orang lain. Ia juga membolehkan kita menghormati perasaan satu sama lain, tidak terlalu berkongsi maklumat peribadi yang tidak sesuai mengikut tahap keakraban dalam perhubungan.
Contohnya :
- “Saya tak selesa untuk bincangkan perkara ini.”
- “Saya berasa malu apabila awak herdik saya di depan anak-anak kita. Saya nak awak berhenti.”
- “Saya tengah menghadapi masalah sekarang ini dan betul-betul perlu bercakap dengan awak. Awak ada masa sekarang?”
- “Bila saya berkongsi masalah saya dan awak menyalahkan saya semula, ia membuatkan saya untuk diam sepenuhnya. Saya cuma boleh berkongsi dengan awak kalau awak dapat membalas dengan hormat pada saya.”
4. Batasan Kebendaan (Material Boundaries)
Batasan kebendaan merujuk kepada barangan harta benda yang anda punya seperti kereta, barang kemas, perabot dan sebagainya. Batasan kebendaan ini melindungi wang dan harta benda anda, hak anda untuk membelanjakan wang anda mengikut pilihan anda, untuk tidak memberi atau meminjamkan wang atau harta benda anda jika anda tidak mahu, dan hak anda untuk menerima gaji daripada majikan seperti yang dipersetujui.
Contohnya :
- “Tolong jangan guna kereta saya tanpa izin.”
- “Awak boleh pinjam baju saya, tak ada masalah. Cuma, pulangkan semula kepada saya pada hari Ahad.”
- “Kami tak boleh bagi pinjam duit lagi, tapi kami berbesar hati untuk bantu dengan cara lain.”
- “Saya dah ada bajet bulanan, jadi saya bawa bekal makanan tengah hari dari rumah hari ini.”
5. Batasan Masa (Time Boundaries)
Batasan masa merujuk kepada cara anda menggunakan masa anda. Ia melindungi anda daripada bersetuju untuk melakukan perkara yang anda tidak mahu lakukan, menghalang orang lain membuang masa anda dan menghalang anda terlalu banyak bekerja. Untuk mempunyai batasan masa yang sihat, seseorang mesti memperuntukkan masa yang cukup untuk setiap aspek kehidupan mereka seperti kerja, perhubungan, dan hobi.
Contohnya :
- “Saya cuma boleh turut serta selama sejam.”
- “Selepas waktu pejabat, masa saya bersama keluarga. Saya akan balas e-mel kerja pada pagi esok.”
- “Saya tak boleh datang ke program itu hujung minggu ini.”
- “Mak, saya ada kekangan masa untuk balik kampung minggu ini. Saya transfer duit belanja ke dalam akaun bank mak ya.”
6. Batasan Seksual (Sexual Boundaries)
Batasan seksual merujuk kepada kebenaran, persetujuan, penghormatan tentang keutamaan dan keinginan, serta privasi. Ia melindungi hak anda untuk menentukan jenis sentuhan seksual dan keintiman yang anda inginkan, berapa kerap, bila, di mana dan bersama siapa.
Batasan seksual yang sihat termasuk :
- Meminta persetujuan pasangan.
- Bertanya dan berbincang apa yang menggembirakan anda.
- Mengatakan tidak pada perkara yang anda tidak suka atau menyakiti anda.
- Melindungi privasi pasangan.
Selepas membaca kesemua jenis batasan peribadi yang anda perlu miliki di atas, wujudkanlah batasan peribadi untuk melindungi diri anda dan mengekalkan keperibadian anda. Pastikan anda menggunakan masa, tenaga dan apa sahaja yang ada pada anda untuk perkara yang betul-betul penting bagi anda.