Bermain adalah bahagian penting dalam perkembangan kanak-kanak. Bermain adalah cara kanak-kanak untuk menyampaikan kegembiraan, ketakutan, kesedihan, dan kebimbangan. Ia terdiri daripada aktiviti yang dilakukan untuk hiburan diri yang menyeronokkan.
Apabila kanak-kanak bermain, sememangnya ia kelihatan rawak dan spontan. Tetapi sebenarnya dengan bermain, boleh menunjukkan di mana anak anda berada, dari segi pertumbuhan dan perkembangan. Ia juga boleh menandakan keperluan untuk memperkenalkan lebih banyak jenis permainan ke dalam rutin anak anda, untuk pemerolehan pembelajaran yang lebih baik.
Kanak-kanak memerlukan pelbagai jenis permainan untuk menyokong dan memudahkan peluang pembelajaran yang bermakna semasa mereka mengembangkan kebolehan bahasa, motor, sosial, emosi dan kognitif. Kesan daripada perkembangan ini dapat dilihat di dalam bilik darjah dengan prestasi akademik dan tumpuan yang lebih baik.
Selain daripada 6 jenis permainan utama yang biasa berlaku pada peringkat awal kanak-kanak, kanak-kanak juga mencuba pelbagai permainan lain. Ini berdasarkan alatan yang mereka gunakan atau jenis aktiviti yang mereka lakukan.
Berikut adalah beberapa jenis permainan yang penting untuk pertumbuhan dan perkembangan anak anda :
1) Permainan Berfungsi (Functional Play)
Bermain untuk menikmati pengalaman. Ia membantu kanak-kanak belajar tentang dunia melalui deria mereka, menyokong perkembangan sosial-emosi, dan menguatkan kemahiran motor.
2) Permainan Konstruktif (Constructive Play)
Permainan yang melibatkan aktiviti membina, mencipta, melukis atau membuat sesuatu. Ia menggalakkan kreativiti, penyelesaian masalah, dan memberikan kanak-kanak rasa pencapaian.
3) Permainan Penerokaan (Exploratory Play)
Apabila kanak-kanak memerhati sesuatu dengan teliti semasa bermain, ia membantu mereka mempelajari konsep kongnitif dan bahasa seperti bentuk, saiz, dan warna.
4) Permainan Dengan Peraturan
Kanak-kanak bermain dengan permainan papan (board game) yang mempunyai peraturan yang jelas bagaimana untuk bermain.
5) Permainan Luar (Outdoor Play)
Kanak-kanak melibatkan diri dalam aktiviti bermain di luar yang menggunakan pergerakan fizikal. Idea bermain luar termasuk lumba lari, bermain bola, berjalan melihat alam semula jadi dan menunggang basikal.
6) Permainan Dramatik (Dramatic/Symbolic/Pretend Play)
Jenis permainan ini melibatkan penggunaan objek untuk mewakili aksi atau idea lain. Contohnya, memakai pakaian seragam polis. Permainan dramatik menyokong kreativiti, perkembangan bahasa dan meningkatkan kemahiran sosial-emosi kanak-kanak.