Kehilangan orang yang tersayang merupakan satu perkara yang terlalu menyedihkan bagi semua insan tidak kira lelaki atau wanita, tua atau muda, miskin atau kaya.
Setiap di antara kita pasti pernah merasainya.
Ada suami yang kehilangan isteri.
Ada anak yang kehilangan bapa.
Ada adik yang kehilangan abang.
Ada ibu yang kehilangan bayi.
Tidak kira sesiapa sahaja yang amat kita sayangi, mereka adalah seseorang yang telah berkongsi saat suka dan duka bersama kita tidak kira sekejap atau lama. Bertahan dan terus kuat menjalani hidup selepas kematian mereka bukanlah satu hal yang mudah.
Memetik lirik lagu dari Andmesh Kamaleng,
Kuingin saat ini engkau ada di disini,
Tertawa bersamaku seperti dulu lagi,
Walau hanya sebentar Tuhan tolong kabulkanlah,
Bukannya diri ini tak terima kenyataan,
Hati ini hanya rindu.
Setiap individu itu unik, bagaimana kita menghadapi kesedihan selepas kematian orang yang tersayang amatlah berbeza dengan individu yang lain.
Kebanyakan inidividu akan mengalami kesedihan yang biasa dan sangat kuat menghadapi dan menerima kenyataan orang yang tersayang sudah tiada, tetapi yang lainnya pula mungkin mengalami kesedihan yang lebih teruk dan berpanjangan sehingga mengalami masalah psikologi.
Peringkat Emosi Kesedihan (Grief)
Merujuk kepada reaksi seseorang terhadap kehilangan orang yang tersayang, Elisabeth Kübler-Ross pada tahun 1969, telah memperkenalkan Grief Cycle Model.
Model ini mengandungi lima (5) peringkat kesedihan iaitu :
1.Penafian (Denial)
Individu secara sedar atau tidak sedar enggan menerima fakta, maklumat dan realiti yang berkaitan dengan kehilangan. Ia kebiasaannya melibatkan ahli keluarga si mati.
2.Kemarahan (Anger)
Berlaku setelah seseorang menghadapi realiti. Mereka mungkin menjadi marah pada diri sendiri, dan/atau dengan yang lain dan berpendapat keadaan itu tidak adil serta cuba menyalahkan sesuatu.
3.Tawar-menawar (Bargaining)
Dalam tempoh ini, individu mungkin cuba mengubah atau menangguhkan realiti sesebuah kehilangan. Sebagai contoh, cuba untuk berunding dengan Tuhan atau mencari penawar kepada penyakit kronik yang dialami si mati.
4.Kemurungan (Depression)
Pada peringkat ini, individu sudah mula menerima realiti bahawa kehilangan telahpun berlaku. Mereka mungkin mengasingkan diri dan menghabiskan masa menangis dan bersedih.
5.Penerimaan (Acceptance)
Individu menerima hakikat dan fakta bahawa tiada apa-apa yang mampu mengubah realiti. Mereka memahami situasi secara logik, dan belajar untuk meneruskan hidup.
Sokongan Mental & Emosi Dalam Menghadapi Kehilangan
Tidak semua orang melalui kesemua peringkat ini dan ianya boleh berlaku secara tidak berturutan. Seseorang boleh beralih daripada satu peringkat tertentu kepada peringkat yang lain.
Oleh sebab itu, mereka yang kehilangan ini perlu dibantu dengan diberikan peluang untuk meluahkan perasaan, selain ahli keluarga terdekat mengenal pasti perubahan dari segi sikap, komunikasi, emosi, pemakanan dan gaya tidur mereka.
Bagi individu yang mempunyai masalah untuk mengatasi kesedihan selepas kehilangan ini, bantuan daripada ahli profesional diperlukan sebelum keadaan yang lebih serius berlaku.
Hubungi kami segera untuk mendapatkan janji temu bersama psikologis klinikal.