Mengintip (Stalking) : Jenis Pengintip (Stalker) & Motif

Gambar Blogpost Mengintip (Stalking) : Jenis Pengintip (Stalker) & Motif

Pernahkah anda sendiri atau sesiapa yang anda kenali diekori, diintip atau diserang oleh seseorang secara tiba-tiba?

Malaysia tidak mempunyai data rasmi berkaitan intipan ini tetapi satu kajian yang telah dijalankan di Universiti Sains Malaysia pada tahun 2014 menganggarkan sebanyak 9 daripada 100 orang wanita di Malaysia telah menjadi mangsa keganasan rumahtangga dalam hayat mereka. Sebahagiannya adalah berpunca daripada intipan ini. Bukan itu sahaja, cyberstalking atau kes gangguan dalam talian juga semakin meningkat di Malaysia. Merujuk kepada laporan CyberSecurity Malaysia, sebanyak 151 kes dicatatkan sehingga Oktober 2009 berbanding 72 kes pada tahun 2008.

Manakala di Amerika Syarikat, National Center for Victims of Crime (NISVS) pada tahun 2011 melaporkan :

  • 7.5% orang dihendap dalam setahun
  • 61% mangsa wanita dan 44% mangsa lelaki diekori oleh bekas pasangan mereka
  • Dianggarkan sebanyak 15% wanita dan 6% lelaki telah menjadi mangsa pengintipan sepanjang hayat mereka

Mengintip atau mengekori merupakan perlakuan berulang dan tidak dikehendaki seperti mengesan, membayangi, menjejaki seseorang dan / atau mengganggu mereka dengan perhatian yang tidak diingini , termasuk di media sosial, menyebabkan mereka ketakutan dan bersedih. Si pelaku mungkin merupakan ahli keluarga, bekas pasangan, rakan yang dikenali atau sesiapa yang tidak dikenali oleh mangsa.

APAKAH MOTIF SI PENGINTIP MENGGANGGU MANGSA?

Rejected Stalker (Pengintip yang ditolak) : Akan mula menghendap selepas pasangannya telah mengakhiri hubungan dan ingin kembali menjalin hubungan atau membalas dendam.

Resentful Stalker (Pengintip yang marah) : Mahu menakutkan atau membuat mangsa bersedih dan sering mengintip untuk membalas dendam terhadap seseorang yang telah mengganggu mereka.

Predator Stalker (Pengintip pemangsa) : Mengintip sebagai sebahagian daripada perancangan untuk menyerang mangsa kebiasaannya secara seksual, dan dimotivasikan oleh keinginan seks.

Intimacy Seeker (Pencari Keintiman) : Merancang untuk mewujudkan hubungan intim dan cinta dengan mangsa dan mungkin percaya bahawa mangsa juga menyayangi mereka. Ini hanyalah khayalan mereka.

Incompetent Suitor (Pelamar Tidak Mahir) : Keinginan untuk memulakan satu hubungan romantik dengan mangsa tetapi kekurangan kemahiran sosial.

Erotomania and Morbidly Infatuated (Secara tidak sihat tergila-gila) : Percaya bahawa mereka disayangi oleh mangsa walaupun mangsa tidak melakukan sesuatu yang menunjukkan ianya benar dan mungkin telah membuat kenyataan yang mangsa tidak atau tidak akan mencintai mereka.

Cyberstalking : Menggunakan medium elektronik untuk mengganggu dan menyerang mangsa atau mendapatkan informasi secara senyap-senyap tentang mangsa.

Perbuatan ini adalah merbahaya dan mendatangkan kesan kepada si mangsa. Jenny Korkodeiluo dalam kajiannya telah mendapati pengintipan telah mengubah hidup mangsa dengan kesan psikososial yang amat kompleks dalam jangka masa panjang dan mangsa sering trauma. Malahan, kajian oleh Dennis et. al. (2016) membuat kesimpulan bahawa mangsa remaja pengintipan dilaporkan mempunyai lebih simptom post-traumatic stress, gangguan perasaan dan putus asa. Malahan, pengintipan ini juga ada yang berakhir dengan kematian si mangsa. 

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp