Sukar Tidur Malam, Anda Mungkin Insomnia!

lelaki-handsome-sukar-tidur

Insomnia adalah masalah tidur yang paling kerap dialami dibawah kategori kecelaruan tidur-jaga (sleep-wake disorder). Insomnia merupakan satu masalah dimana individu menghadapi kesukaran untuk mulakan tidur, kerap terjaga semasa tidur, terjaga dari tidur terlalu awal dan tidak dapat tidur semula. Insomnia pada permulaan waktu tidur adalah dikenali sebagai insomnia awal. Manakala insomnia pertengahan adalah insomnia dimana individu tidak dapat mengekalkan tidur. Insomnia pertengahan menyebabkan kerap terjaga pada waktu malam dan tempoh terjaga itu adalah panjang.

Mereka dengan kecelaruan insomnia akan menghadapi masalah waktu tidur ini sekurang-kurangnya 3 kali seminggu, dan hal ini akan berlanjutan sekurang-kurangnya dalam tempoh 3 bulan. Dilaporkan wanita lebih ramai mengalami insomnia berbanding lelaki, hal ini adalah kerana lelaki kurang sedar tentang corak tidur mereka dan masalah yang dialami, dan mereka tidak mendapatkan rawatan.

Insomnia terbahagi kepada dua jenis iaitu bergantung kepada punca masalah yang dihadapi, iaitu insomnia primer (primary) dan insomnia sekunder (secondary). Primary insomnia adalah masalah tidur yang bukan berpunca daripada masalah kesihatan atau yang berkaitan. Secondary insomnia pula adalah masalah tidur yang berpunca daripada masalah kesihatan seperti semput dan pedih ulu hati, masalah psikologikal seperti kemurungan dan juga berpunca daripada pengambilan ubat atau alkohol.

Seperti yang dinyatakan, kemurungan juga boleh mengakibatkan insomnia. Manakala, kecelaruan insomnia sendiri juga boleh membawa kepada masalah psikologikal seperti perubahan dalam mood dan membawa kepada masalah-masalah lain seperti kemurungan. Terdapat satu kajian yang menunjukkan insomnia boleh mencetuskan atau membuatkan kemurungan lebih teruk. Ini menunjukkan kemurungan dan insomnia saling berkait.

Untuk rawatan, punca utama perlu dikenal pasti terlebih dahulu. Setelah punca diketahui, ianya boleh dirawat atau dibetulkan mengikut cara yang bersesuaian sama ada menerusi pendekatan perubatan mahupun bukan farmalogikal (tingkah laku).

[njwa_button id="9314"]

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp