Bimbang terhadap sesuatu adalah sesuatu yang normal dalam hidup kita. Perasaan cemas akan dialami sebelum mengambil ujian, ketika menghadapi konflik di tempat kerja, semasa ingin membuat keputusan yang amat penting atau pelbagai situasi yang lain. Tetapi jika kebimbangan berterusan dalam jangka masa yang lama dan menjadi semakin buruk, ianya berpotensi menjadi gangguan mental iaitu gangguan kebimbangan.
Jenis gangguan kebimbangan termasuk kecelaruan keresahan umum, kecelaruan perpisahan, keresahan sosial, agoraphobia, kecelaruan panik dan fobia khusus. Kesan jika seseorang menghadapi gangguan ini, pelbagai aspek kehidupan akan terjejas serta membawa kepada kemeresoton kualiti hidup. Aspek yang terlibat mungkin dari segi kewangan, pekerjaan, kesihatan malahan hubungan.
Anggaran pesakit dengan gangguan kebimbangan ini secara global adalah kira-kira 272.2 juta. Di Malaysia pula, hasil Kajian Kesihatan Morbiditi Kebangsaan IV pada tahun 2011 menunjukkan peratusan populasi yang mengalami Generalized Anxiety Disorder adalah sebanyak 1.7%. Dalam kedua-dua kajian, jumlah wanita yang mengalami gangguan ini adalah dua kali ganda lebih tinggi berbanding lelaki.
Bagi meluaskan lagi informasi, satu kajian telah dijalankan dengan penglibatan 1556 subjek daripada tiga daerah di Selangor bagi menentukan kelaziman gangguan kebimbangan dan faktor penyumbang. Kajian ini menemui sebanyak 119 daripada keseluruhan subjek mengalami gangguan kebimbangan yang disebabkan oleh kanser, masalah di tempat kerja, keganasan rumah tangga, ketidak puasan hati, atau hubungan dengan keluarga.
Gejala pada pesakit adalah berbeza mengikut jenis gangguan kebimbangan yang dialami. Gangguan ini sering dikaitkan dengan gejala fizikal seperti kegelisahan teruk, sakit kepala kronik, sakit perut, keletihan, gangguan tidur dan sebagainya. Ubat-ubatan seperti selective inhibitor dan psikoterapi yang merangkumi pendekatan seperti terapi tingkah laku serta teknik relaksasi merupakan kaedah rawatan yang digunakan.
Sesetengah kajian mencadangkan bahawa gabungan antara ubat dan psikoterapi lebih berkesan untuk pesakit yang mempunyai gejala sederhana hingga teruk.