Disleksia merupakan salah satu gangguan pembelajaran khusus yang kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak, terutamanya dalam konteks pembelajaran akademik awal. Walaupun sering dikaitkan dengan kesukaran membaca dan menulis, disleksia sebenarnya melibatkan cara otak memproses bahasa dan simbol bertulis. Kanak-kanak dengan disleksia lazimnya mempunyai tahap kecerdasan (IQ) yang normal atau tinggi, namun menghadapi cabaran tertentu dalam pembelajaran akademik.
Apa Itu Disleksia?
Disleksia bermaksud gangguan pembelajaran neurodevelopmental yang menjejaskan keupayaan membaca, mengeja dan menulis. Gangguan ini bukan berpunca daripada masalah penglihatan, pendengaran, kurang rangsangan pembelajaran atau kemalasan. Sebaliknya, ia berlaku akibat perbezaan dalam fungsi otak yang berkaitan dengan pemprosesan bahasa, khususnya aspek fonologi.
Ciri-ciri Disleksia dalam Kanak-Kanak
Tanda-tanda disleksia boleh dikenal pasti seawal usia prasekolah, namun menjadi lebih ketara apabila kanak-kanak mula belajar membaca dan menulis. Antara ciri-ciri utama ialah:
- Lambat mengenal huruf dan bunyi
- Masih ada kesukaran membaca dengan lancar walaupun sudah lama diajar
- Kerap melakukan kesalahan ejaan
- Tertukar huruf atau perkataan ketika membaca dan menulis
- Menulis dengan terbalik (mirrored letters)
- Sukar memahami arahan bertulis
- Mengelakkan aktiviti membaca dan menulis
- Kesukaran untuk mengingati urutan seperti susunan abjad dan arahan berbilang langkah
- Kemahiran koordinasi dan motor yang lemah
- Sukar untuk ikat tali kasut atau butang baju
- Mengambil masa yang banyak untuk menyiapkan kerja rumah
- Keyakinan diri yang rendah akibat kegagalan akademik berulang
Kesan Disleksia Terhadap Perkembangan Kanak-Kanak
Jika tidak dikenal pasti dan ditangani lebih awal, disleksia boleh memberi kesan jangka panjang terhadap perkembangan akademik, emosi dan sosial kanak-kanak. Kanak-kanak mungkin berasa kecewa, rendah diri dan kehilangan motivasi untuk belajar. Dalam jangka masa panjang, mereka berisiko mengalami masalah tingkah laku atau tekanan emosi akibat kegagalan berterusan di sekolah.
Langkah-Langkah Merawat Kanak-Kanak yang Mempunyai Disleksia
1. Diagnosis Disleksia
Diagnosis disleksia biasanya dilakukan oleh pakar seperti ahli psikologi pendidikan, pakar terapi pembelajaran atau pakar patologi pertuturan-bahasa. Penilaian melibatkan ujian keupayaan membaca, bahasa, memori, serta pemerhatian terhadap prestasi akademik kanak-kanak. Pengesanan awal amat penting bagi memastikan intervensi dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
2. Intervensi dan Sokongan
Walaupun disleksia tidak dapat disembuhkan sepenuhnya, intervensi yang berstruktur dan konsisten mampu membantu kanak-kanak menguasai kemahiran membaca dan menulis dengan lebih baik. Antara pendekatan intervensi yang berkesan termasuk:
- Program pengajaran berasaskan fonik
- Kaedah pembelajaran multisensori
- Terapi pembelajaran secara individu
- Sokongan dan pengubahsuaian pembelajaran di sekolah
- Penglibatan aktif ibu bapa dalam proses pembelajaran anak
3. Peranan Ibu Bapa dan Guru
Ibu bapa dan guru memainkan peranan penting dalam menyokong kanak-kanak dengan disleksia. Kefahaman, kesabaran dan sikap tidak menghukum amat diperlukan bagi membantu kanak-kanak membina keyakinan diri. Persekitaran pembelajaran yang positif dan inklusif mampu memberi peluang kepada kanak-kanak disleksia untuk berkembang mengikut potensi mereka.
Kesimpulan
Disleksia dalam kalangan kanak-kanak bukanlah satu kelemahan, sebaliknya satu perbezaan cara pembelajaran. Dengan pengesanan awal, intervensi yang sesuai dan sokongan berterusan, kanak-kanak dengan disleksia berpeluang untuk mencapai kejayaan dalam akademik dan kehidupan. Kesedaran masyarakat tentang disleksia amat penting bagi memastikan kanak-kanak ini tidak tercicir dan terus diberi peluang yang adil dalam pendidikan.
Jiwadamai juga boleh membantu anda dalam isu psikologi yang dihadapi daripada peringkat kanak-kanak sehinggalah ke dewasa sama ada ia isu kesihatan mental mahupun isu perkembangan kanak-kanak secara holistik kerana ahli klinikal kami terdiri daripada Pakar Psikiatri, Pakar Psikiatri Kanak-Kanak, Psikologis Klinikal, ahli terapi cara kerja (occupational therapist), dan juga ahli terapi pertuturan (speech therapist).
Sekiranya anda rasa ingin berbual atau mendapatkan sokongan, anda boleh hubungi kami melalui talian 017 269 4852 (hotline isu dewasa) dan 011 5430 8949 (hotline isu kanak-kanak & remaja) dan lakukan janji temu bersama kami. Kami sedia membantu anda.
Sekiranya anda rasa ingin berbual atau mendapatkan sokongan, anda boleh hubungi kami melalui talian 017 269 4852 (hotline isu dewasa) dan 011 5430 8949 (hotline isu kanak-kanak & remaja) dan lakukan janji temu bersama kami. Kami sedia membantu anda.
Ditulis oleh : Ditulis oleh : Khairun Nadzirah binti Zainuddin
Sumber : Buku “Intervensi Terapi Cara Kerja untuk Murid Disleksia” oleh Dr Mahfuzah Zainol





