Memahami Skala DASS: Instrumen Saringan Kesihatan Mental Dewasa
DASS ialah satu set soal selidik laporan kendiri yang merangkumi tiga domain utama, iaitu kemurungan, kebimbangan (anxiety), dan tekanan. Ia digunakan untuk mengukur tahap kesihatan mental individu berdasarkan ketiga-tiga aspek ini.
DASS bukan sahaja direka sebagai instrumen tambahan untuk menilai emosi yang ditakrifkan secara konvensional, malah ia juga berfungsi untuk membantu individu mengenal pasti, memahami, dan menilai tahap kesihatan mental mereka secara lebih mendalam melalui aspek-aspek yang berkaitan dengan simptom klinikal seperti kemurungan, kebimbangan, dan tekanan.
Oleh itu, DASS bertujuan untuk memenuhi keperluan kedua-dua golongan penyelidik dan profesional klinikal dalam menilai kesejahteraan mental, emosi dan psikologi seseorang.
Setiap satu daripada tiga domain dalam DASS terdiri daripada 14 item, yang dibahagikan kepada beberapa subdomain yang masing-masing mengandungi dua hingga lima item yang merangkumi topik yang sama:
- Domain Kemurungan mengukur aspek seperti: disforia, rasa putus harapan, rasa tidak berharga, perasaan rendah diri, kurang minat atau penglibatan dalam aktiviti, anhedonia (ketidakupayaan untuk berasa gembira), dan kelembapan psikomotor (psychomotor retardation)
- Domain Kebimbangan (Anxiety) menilai bagaimana seseorang mengalami rasa cemas, termasuk tindak balas badan seperti jantung berdebar, sesak nafas, dan otot yang tegang. Ia juga melihat sama ada seseorang berasa cemas dalam situasi tertentu serta bagaimana mereka menggambarkan sendiri perasaan cemas yang dialami
- Domain Tekanan (Stress) pula sensitif terhadap tahap tekanan umum yang bersifat kronik. Ia mengukur: kesukaran untuk bertenang, kegelisahan, mudah terkejut atau terganggu, reaksi berlebihan atau cepat marah, serta rasa tidak sabar.
Dengan menggunakan skala likert empat mata, individu diminta menilai sejauh mana mereka mengalami setiap keadaan ini dalam tempoh seminggu yang lalu. Untuk menentukan depresi, kebimbangan, dan tekanan, skor untuk setiap item dijumlahkan.
Selain versi penuh soal selidik yang terdiri daripada 42 item, terdapat juga versi pendek yang dikenali sebagai DASS-21, yang mengandungi 7 item bagi setiap domain. Versi awal DASS pernah dikenali dengan nama Self-Analysis Questionnaire (SAQ).
Skala DASS sesuai digunakan oleh penyelidik dan profesional klinikal yang ingin menilai keadaan emosi semasa atau perubahan dari semasa ke semasa, seperti dalam proses rawatan. Ini kerana DASS telah terbukti mempunyai konsistensi dalaman yang tinggi dan keupayaan untuk membezakan tahap emosi secara signifikan dalam pelbagai konteks.
Ciri-ciri Skor Tinggi bagi Setiap Skala DASS
Instrumen DASS ini dikenali sebagai instrumen/ujian/skala psikologi. Walau bagaimanapun, tema-tema yang diukur dalam instrumen DASS tersebut dirujuk sebagai domain, aspek, atau dimensi. Dalam ujian DASS ini, terdapat tiga domain utama yang dinilai, iaitu depression, anxiety, dan stress.
Domain Depresi
- Merendah diri
- Kecewa, muram, sedih
- Merasa hidup tiada makna atau nilai
- Pesimis tentang masa depan
- Tidak dapat merasa keseronokan atau kepuasan
- Tidak berminat atau terlibat dalam aktiviti
- Perlahan, kurang inisiatif
Domain Kebimbangan (Anxiety)
- Cemas, panik
- Menggigil, tidak stabil
- Perasan mulut kering, sesak nafas, jantung berdebar, tapak tangan berpeluh
- Risau tentang prestasi dan kehilangan kawalan
Domain Tekanan (Stress)
- Terlalu terangsang, tegang
- Tidak dapat relaks
- Mudah tersinggung, mudah terganggu
- Cepat marah
- Mudah terkejut
- Gelisah, gementar, resah
- Sensitif terhadap gangguan atau kelewatan
Penggunaan DASS Dalam Kajian
DASS boleh digunakan untuk penyelidikan sama ada secara individu atau berkumpulan. Keupayaannya untuk membezakan antara tiga jenis masalah kesihatan mental dan emosi iaitu kemurungan, kebimbangan, dan tekanan amat berguna bagi penyelidik yang mengkaji punca dan mekanisme yang menyumbang kepada gangguan emosi.
DASS sesuai digunakan sebagai instrumen saringan untuk remaja dan dewasa biasa kerana ia dibangunkan berdasarkan sampel bukan klinikal. Ia juga boleh digunakan secara perbandingan ke atas kanak-kanak seawal usia 12 tahun, asalkan mereka mempunyai kemahiran bahasa yang mencukupi. Namun begitu, umur paling muda dalam sampel asal pembangunan DASS ialah 17 tahun.
Penggunaan DASS Dalam Klinikal
Sebagai sebahagian daripada penilaian saringan klinikal yang menyeluruh, objektif utama DASS adalah untuk membantu memahami tentang tahap kesihatan mental dan emosi seseorang. DASS berfungsi terutamanya untuk menilai tahap keterukan simptom utama kemurungan, kebimbangan, dan tekanan.
Perlu diingat bahawa individu yang mengalami gangguan klinikal seperti kemurungan atau kebimbangan mungkin turut menunjukkan simptom tambahan seperti masalah tidur, selera makan, atau fungsi seksual. Simptom-simptom ini perlu dikenal pasti melalui pemeriksaan klinikal yang lebih menyeluruh atau senarai simptom yang lebih umum.
Walaupun DASS boleh digunakan oleh individu bukan professional klinikal kesihatan mental untuk tujuan saringan dan pengumpulan skor, sebarang tafsiran klinikal atau keputusan rawatan hanya boleh dibuat oleh profesional klinikal kesihatan mental yang berpengalaman. Di samping itu, penting untuk difahami bahawa tiada item dalam DASS yang menilai kecenderungan untuk membunuh diri, kerana perkara ini tidak dinilai secara khusus dalam mana-mana domain. Oleh itu, penilaian risiko bunuh diri hendaklah dilakukan oleh individu yang terlatih dalam bidang tersebut.
Diagnosis DASS
DASS berasaskan konsep dimensi, bukan kategori. Ia melihat perbezaan antara individu yang sihat dan mereka yang mengalami gangguan psikologi sebagai perbezaan tahap keterukan, bukannya jenis gangguan yang berbeza. Oleh itu, DASS tidak dibangunkan untuk digunakan sebagai alat diagnosis rasmi seperti yang terdapat dalam sistem DSM atau ICD.
Walau bagaimanapun, manual DASS ada menyediakan tahap keterukan seperti normal, sederhana, teruk, dan sangat teruk sebagai panduan umum untuk tujuan rujukan.
Kesimpulan
Skala DASS merupakan instrumen penilaian kesihatan mental yang berkesan untuk mengenal pasti dan mengukur tahap kemurungan, kebimbangan, dan tekanan dalam kalangan individu dewasa. Dengan struktur yang mudah difahami serta penggunaan skala penilaian kendiri, DASS bukan sahaja berguna dalam konteks penyelidikan, malah amat membantu dalam saringan dan penilaian awal kesihatan mental di persekitaran klinikal.
DASS menekankan pendekatan dimensional, iaitu melihat simptom emosi seperti kemurungan, kebimbangan, dan tekanan sebagai tahap yang boleh ringan, sederhana, atau berat – bukan sebagai satu masalah yang tetap atau khusus. Walaupun DASS bukan instrumen rasmi untuk membuat diagnosis, ia sangat berguna untuk mengesan awal masalah emosi dan memantau perubahan perasaan seseorang dari masa ke masa.
Oleh itu, DASS merupakan satu instrumen penting dalam usaha meningkatkan kesedaran dan kefahaman tentang kesihatan mental dalam masyarakat moden. Bagi anda yang ingin melakukan saringan ini dan ingin terus mendapatkan khidmat pakar kepada isu yang sedang anda hadapi, boleh ke saringan DASS yang ada pada website kami mengikuti link di bawah:
>>KLIK DI SINI UNTUK LAKUKAN UJIAN DASS<<
Jiwadamai juga boleh membantu anda dalam isu psikologi yang dihadapi daripada peringkat kanak-kanak sehinggalah ke dewasa sama ada ia isu kesihatan mental mahupun isu perkembangan kanak-kanak secara holistik kerana ahli klinikal kami terdiri daripada Pakar Psikiatri, Pakar Psikiatri Kanak-Kanak, Psikologis Klinikal, ahli terapi cara kerja (occupational therapist), dan juga ahli terapi pertuturan (speech therapist).
Jikalau tidak keberatan, anda boleh hubungi kami melalui talian 017 269 4852 (hotline isu dewasa) dan 011 5430 8949 (hotline isu kanak-kanak & remaja) dan lakukan janji temu bersama kami. Kami sedia membantu anda.
Ditulis oleh : Muhammad Amir, Pelajar Psikologi Universiti Selangor
Disahkan oleh : Psikologis Klinikal Jiwadamai