Ramai antara kita menggunakan istilah OCD secara sewenangnya untuk menggambarkan seseorang yang teliti atau perfeksionis, sedangkan OCD (Obsessive-Compulsive Disorder) ialah kecelaruan mental sebenar yang jauh lebih berat daripada sekadar suka kebersihan. Salah faham ini menjadikan pesakit OCD sering terlepas pandang daripada mendapatkan rawatan kerana malu atau takut dilabel.
Perfeksionisme pula ialah ciri personaliti di mana seseorang terdorong untuk melakukan sesuatu dengan terbaik, teratur, dan kemas. Ia boleh menjadi sifat positif selagi tidak menyebabkan tekanan melampau atau mengganggu kesejahteraan diri.
Sebagai contoh yang sangat lazim berlaku :
Ann sentiasa memastikan dapurnya bersih dan tersusun sempurna. Pinggan mesti disusun mengikut cara tertentu, permukaan meja dibersihkan berkali-kali sehari, dan jika terlihat sedikit kotoran, dia akan mencucinya semula sehingga hatinya benar-benar tenang. Rakan serumahnya berseloroh, “Ann ni OCD lah!” (Sedangkan ANN memang mempunyai sifat keperibadian yang pembersih dan bukan menghidapi masalah OCD).
Apakah itu Obsessive–Compulsive Disorder?
Obsessive–Compulsive Disorder (OCD) ianya, melibatkan dua elemen utama iaitu obsesi, iaitu fikiran atau bayangan yang berulang dan mengganggu, serta kompulsif, tindakan berulang yang dilakukan untuk mengurangkan keresahan. Bezanya, individu perfeksionis masih mampu mengawal tindakannya, manakala individu dengan OCD tidak dapat menahan dorongan itu, walaupun sedar ia tidak rasional. Ia boleh mengganggu fungsi harian seperti mengambil masa berjam-jam setiap hari, menjejaskan pekerjaan, hubungan sosial, dan kualiti hidup.
Tanda-Tanda OCD
Individu yang mengalami OCD mungkin mempunyai gejala-gejala obsesif (taksub), kompulsif (paksaan) atau kedua-duanya. Gejala-gejala ini boleh mengganggu semua aspek dalam kehidupannya seperti kerjaya, persekolahan dan hubungan dengan orang lain.
Obsesif (Ketaksuban) merupakan pemikiran, keinginan atau bayangan yang menyebabkan perasaan risau. Contoh gejala ketaksuban adalah seperti berikut:
- Ketakutan terhadap kekotoran/pencemaran.
- Ruminasi dan pemikiran terlarang/pantang larang (seks, keagamaan atau kecederaan).
- Pemikiran agresif terhadap diri atau orang lain.
- Simetri dan susunan.
Kompulsif (paksaan) adalah tindakan atau perbuatan berulangan dimana seseorang yang mengalami OCD berespon terhadap pemikiran obsesif. Contohnya:
- Pembersihan atau mencuci tangan secara berlebihan.
- Menyusun dan mengatur sesuatu dalam cara yang khusus dan tepat.
- Memeriksa secara berulangan, seperti memeriksa samaada pintu dikunci atau dapur ditutup.
- Pengiraan yang taksub.
Faktor-Faktor Risiko
Penyebab gangguan OCD masih belum dijumpai, walaubagaimanapun, beberapa faktor-faktor risiko telah dikenalpasti:
1. Genetik
Kajian telah menunjukkan individu yang mempunyai saudara terdekat (seperti ibu bapa, adik beradik dan anak-anak) yang mengalami OCD adalah lebih cenderung untuk mengalami keadaan tersebut juga.
2. Struktur dan Fungsi Otak
Didapati beberapa perbezaan di struktur frontal cortex dan subcortical otak pada individu yang mengalami gangguan OCD dengan struktur otak yang normal di kajian pengimejan. Kemungkinan wujudnya hubungan antara gejala-gejala OCD dengan kelainan struktur-struktur diotak, namun hubungan tersebut belum terbukti lagi dan tidak jelas.
3. Persekitaran
Pengalaman trauma pada zaman kanak-kanak telah dikaitkan dengan kecenderungan untuk menghidap OCD dalam beberapa kajian. Namun kajian yang lebih diperlukan untuk lebih memahami hubungan dan kaitan tersebut.
Sebagai contoh yang berlaku jika Ann menghidap masalah OCD :
Ann memandang ke arah sudut dapur dengan pandangan yang semakin resah. Walaupun rakan serumahnya, Aina, baru sahaja selesai mengelap meja itu, Ann dapat melihat satu tompokan cahaya yang mungkin habuk, atau mungkin hanya bayangannya sendiri. Namun, hatinya mula berdebar-debar. Fikiran yang sama berputar-putar di kepalanya “Kuman dari sana akan merebak ke seluruh makanan. Sakit perut. Jangkitan. Hospital.”
Rawatan dan Terapi
1. Ubat-ubatan
Selective serotonin reuptake inhibitors (SSRIs) merupakan ubatan yang digunakan untuk mengurangkan gejala OCD. Ubatan ini kadang digunakan dalam dos yang lebih tinggi berbanding dengan rawatan gejala kemurungan dan mungkin memerlukan masa yang lebih panjang iaitu 8-12 minggu untuk berkesan, namun sesetengah individu menunjukan respon yang lebih laju.
2. Psikoterapi
Psikoterapi merupakan satu rawatan yang efektif untuk dewasa dan kanak-kanak yang mengalami OCD. Kajian menunjukkan beberapa jenis psikoterapi seperti cognitive behavior therapy (CBT) dan habit reversal training yang sama keberkesanan seperti rawatan perubatan. Exposure and Response Prevention (ERP) merupakan sejenis CBT yang mendedahkan individu dalam keadaan yang boleh mencetus perbuatan/tindakan kompulsif (seperti menyentuh objek yang kotor) dan dihalang untuk melakukan Tindakan kompulsif (seperti mencuci tangan). Sesi ini telah dibuktikan efektif untuk mengurangkan tindakan kompulsif dalam kalangan penghidap OCD dan juga mereka yang tidak menujukkan respon yang baik terhadap ubat SRI.
Kesimpulan
Berdasarkan penerangan di atas, dapat disimpulkan bahawa Obsessive-Compulsive Disorder (OCD) adalah satu gangguan kesihatan mental yang serius dan berbeza sama sekali daripada sifat perfeksionisme atau kecenderungan untuk teratur yang sering disalahertikan oleh masyarakat.
OCD dicirikan oleh kitaran obsesi pemikiran mengganggu yang tidak dikehendaki dan kompulsif tingkah laku berulang untuk meredakan keresahan yang sukar dikawal, mengganggu fungsi harian, dan menjejaskan kualiti hidup secara signifikan. Faktor-faktor seperti genetik, struktur otak, dan pengalaman persekitaran mungkin menyumbang kepada risikonya.
Yang menggalakkan, OCD boleh dirawat dengan berkesan. Rawatan utama termasuk ubat-ubatan seperti (SSRI) dan psikoterapi, khususnya Terapi Tingkah Laku Kognitif (CBT) dengan komponen Pendedahan dan Pencegahan Gerak Balas (ERP), yang telah terbukti keberkesanannya.
Oleh itu, adalah penting untuk meningkatkan kesedaran awam tentang realiti sebenar OCD. Memahami perbezaan antara gangguan klinikal ini dan sifat keperibadian biasa boleh mengurangkan stigma, menggalakkan mereka yang mengalami simptom untuk mendapatkan diagnosis profesional, dan seterusnya mendapatkan rawatan yang sesuai untuk memperbaiki kesejahteraan hidup mereka.
Jiwadamai juga boleh membantu anda dalam isu psikologi yang dihadapi daripada peringkat kanak-kanak sehinggalah ke dewasa sama ada ia isu kesihatan mental mahupun isu perkembangan kanak-kanak secara holistik kerana ahli klinikal kami terdiri daripada Pakar Psikiatri, Pakar Psikiatri Kanak-Kanak, Psikologis Klinikal, ahli terapi cara kerja (occupational therapist), dan juga ahli terapi pertuturan (speech therapist).
Sekiranya anda rasa ingin berbual atau mendapatkan sokongan, anda boleh hubungi kami melalui talian 017 269 4852 (hotline isu dewasa) dan 011 5430 8949 (hotline isu kanak-kanak & remaja) dan lakukan janji temu bersama kami. Kami sedia membantu anda.
Ditulis oleh : Danish Hazeeq, pelajar psikologi UNISEL
Disahkan oleh : Psikologis Klinikal Jiwadamai





