Apa Itu Kecelaruan Personaliti?

Apa Itu Kecelaruan Personaliti

Kita sering berkata-kata mengenai personaliti. Kita sering memperkatakan seseorang itu rajin, baik hati, ada juga yang degil, peramah, dan sebagainya. Definisi personaliti dalam dewan bahasa & pustaka bermaksud sifat dan sikap seseorang yang membentuk perwatakannya atau keperibadian. Walau bagimanapun, adakah kita tahu dari sudut psikologi, terdapat satu kecelaruan atau gangguan berdasarkan personaliti seseorang.

Apa itu kecelaruan personaliti?

Kecelaruan atau gangguan personaliti adalah merujuk kepada corak pemikiran, imej diri, kefungsian dan tingkah laku yang tidak fleksibel. Mereka yang mempunyai kecelaruan personaliti akan melihat, memahami, dan bertindak terhadap sesuatu keadaan itu dengan cara yang berbeza dari individu yang normal. Gangguan ini mampu menimbulkan masalah serius dalam perhubungan, hatta bersama keluarga dan rakan, pekerjaan, dan aktiviti sosial.

Kluster kecelaruan personaliti

Terdapat 10 jenis kecelaruan atau gangguan personaliti dan ianya dibahagikan kepada tiga kategori kluster yang berbeza.

Kluster A: Melibatkan pemikiran dan tingkah laku yang luar biasa dan ganjil

  • Kecelaruan personaliti schizoid (Schizoid personality disorder, ScPD)
  • Kecelaruan personaliti skizotypal (Skizotypal personality disorder, StPD)
  • Kecelaruan personaliti paranoid (Paranoid personality disorder, PPD)

Kluster B: Melibatkan pemikiran dan tingkah laku dramatik

  • Kecelaruan personaliti antisosial (Antisocial personality disorder, ASPD)
  • Kecelarun personaliti pinggiran (Borderline personality disorder, BPD)
  • Kecelaruan personaliti narsisistik (Narcissistic personality disorder, NPD)
  • Kecelaruan personaliti histrionik (Histrionic personality disorder, HPD)

Kluster C: Melibatkan pemikiran dan tingkah laku yang cemas dan takut

  • Kecelaruan personaliti menghindar (Avoidant personality disorder, AVPD)
  • Kecelaruan personaliti kebergantungan (Dependent personality disorder, DPD)
  • Kecelaruan personaliti obsesif kompulsif (Obsessive-compulsive personality disorder, OCPD)

Kluster A

Kecelaruan Personaliti Skizoid (ScPD)

Individu yang mengalami gangguan personaliti skizoid dapat berfungsi dengan baik dari segi kognitif dan fizikal. Namun pesakit yang mengalami gangguan ini sering kelihatan ganjil dan pelik kerana mereka sering menjauhkan dan mengasingkan diri daripada individu lain dan tidak peduli mengenai hubungan sosial walaupun dengan ahli keluarga.

Kecelaruan Personaliti Skizotypal (StPD)

Orang yang mengalami gangguan personaliti schizotypal mempunyai tingkah laku, corak pertuturan, pemikiran dan persepsi yang ganjil. Bukan itu sahaja, pesakit juga sering dikaitkan dengan mereka yang mempunyai kepercayaan ganjil atau pemikiran magis, mudah paranoid, cenderung menyalahtafsir realiti atau mempunyai persepsi yang menyimpang.

Kecelaruan Personaliti Paranoid (PPD)

Ketidakpercayaan yang mendalam dan berterusan terhadap orang lain tanpa alasan, termasuk meyakini bahawa orang lain ingin membahyakan dirinya.

Kluster B

Kecelaruan Personaliti Antisosial (ASPD)

Individu yang mengalami kecelaruan personaliti antisosial sering dikaitkan dengan individu yang tidak mempedulikan hak dan perasaan orang lain. Mereka cenderung untuk menentang, memanipulasi atau melayan orang lain dengan kasar atau dengan sikap acuh tak acuh. Selain itu, mereka juga tidak menunjukkan rasa bersalah atau menyesal atas tingkah laku mereka.

Kecelaruan Personaliti Pinggiran (BPD)

Masalah Personaliti Pinggiran dapat dirumuskan sebagai ketidakstabilan yang wujud dalam diri seseorang. Ketidakstabilan ini boleh wujud dalam bentuk emosi, hubungan dengan orang lain ataupun identiti diri.

Kecelaruan Personaliti Narsisistik (NPD)

Individu yang memiliki NPD mempunyai imej diri yang berlebihan, obses dengan kehebatan diri, ingin dikagumi dan kurang empati terhadap orang lain. Mereka berfikir bahawa mereka lebih baik daripada orang lain dan mereka berhak mendapat layanan istimewa. Namun, di sebalik keyakinan yang tinggi ini, sebenarnya mereka berasa kurang selamat, kosong dan kurang keyakinan diri.

Kecelaruan Personaliti Histrionik (HPD)

Orang yang menghidap kecelaruan ini ialah seseorang yang dramatik dan sentiasa inginkan perhatian daripada orang lain. Mereka mempunyai kemahiran bersosial yang baik, tetapi cenderung menggunakan kemahiran ini untuk memanipulasi orang lain untuk menjadi pusat perhatian.

Kluster C

Kecelaruan Personaliti Menghindar (AVPD)

Seseorang itu cenderung mempunyai perasaan kekurangan dan merasakan dirinya tidak sebaik orang lain. Mereka juga sering mengelak daripada berhubungan dengan orang sekeliling kerana risau/takut akan penilaian negatif, penolakan, dan kritik daripada orang lain.

Kecelaruan Personaliti Kebergantungan (DPD)

Seseorang terlalu bergantung kepada orang lain dan merasakan bahawa mereka perlu dijaga. Mereka juga mempunyai keyakinan diri yang rendah dalam membuat keputusan dan memerlukan pendapat dan nasihat yang berterusan daripada orang lain. Mereka mungkin membiarkan orang lain memperlakukan mereka dengan buruk kerana mereka takut kehilangan hubungan tersebut.

Kecelaruan Personaliti Obsesif Kompulsif (OCPD)

Seseorang memerlukan kawalan dan ketertiban. Mereka juga sering dikaitkan dengan istilah perfeksionis dan tidak fleksibel kerana terlalu obses dengan peraturan, kekemasan, penyusunan, ketertiban, perincian dan kesempurnaan. Walaupun beberapa simptom adalah serupa, ini bukan perkara yang sama seperti gangguan obsesif-kompulsif (OCD), yang mana penghidap OCPD mungkin kelihatan tidak terkesan dengan keadaan yang dihadapi dan malah mungkin dikenali sebagai individu yang proaktif dan berjaya.

Walau bagaimanapun, janganlah kita menghukum orang sekeliling dengan melabel seseorang itu mempunyai kecelaruan personaliti seperti yang dinyatakan, walaupun terdapat persamaan dengan personaliti mereka. Lebih baik jikalau kita berikan lebih perhatian kepada permasalahan ini dengan menyokong dan menawarkan mereka untuk mendapatkan penilaian lanjut daripada pakar serta bantu mereka mendapatkan rawatan susulan.

Jikalau anda mempunyai kenalan atau anda merasakan diri anda sendiri mempunyai personaliti yang sedemikian, berjumpalah dengan psikologis kami bagi mendapatkan konsultasi dan penilaian lanjut tentang gangguan ini. Anda boleh segera lakukan janji temu melalui talian 0172694852.

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp