Self-Diagnose : Kesan Buruk Menilai Simptom Tanpa Pakar

Gambar Blogpost Self-Diagnose

Apa itu Self-Diagnose ?

Self-Diagnose merujuk kepada tindakan individu mengenal pasti dan menilai simptom kesihatan berdasarkan maklumat daripada internet, media sosial atau sumber tidak rasmi (Ryan & Wilson, 2022). Masalah ini telah melahirkan suatu fenomena atau “trend baru” iaitu self-diagnose, suatu tindakan impulsif kerana seseorang individu cenderung melakukan pemerhatian terhadap diri sendiri berkaitan sesuatu penyakit atau gangguan tertentu berdasarkan maklumat yang dilihat di laman web atau media sosial tanpa rujukan, pengesahan dan konsultasi lanjut daripada pakar profesional. Fenomena ini semakin ketara dengan kemunculan platform seperti TikTok, Instagram, Twitter dan terbaru melalui bantuan AI Chat GPT, dimana masyarakat lebih mudah terdedah kepada sumber yang tidak sahih (Moulder et al, 2024).

Bantuan daripada AI Chat GPT tersebut bukanlah diagnosis rasmi kerana tidak mengambil kira faktor individu seperti sejarah kesihatan, keadaan emosi, atau pemeriksaan klinikal. Tambahan pula, pelbagai dikalangan pengguna yang tidak mempunyai latar belakang perubatan atau psikologi berkongsi simptom berkaitan kesihatan fizikal atau mental berkaitan psikologi atau penyakit seperti tanda-tanda ADHD, tekanan perasaan, kemurungan, Bipolar, Skizofrenia dan masalah personaliti, yang sering mendapat jutaan tontonan dan masyarakat mula merasa seolah-olah mereka juga mempunyai simptom tersebut.

Faktor-faktor Individu Self-diagnose

  • Maklumat yang mudah diakses dan didapati di internet atau media sosial membuatkan masyarakat cenderung mencari jawapan sendiri. Hanya dengan menaip simptom tertentu, pelbagai penjelasan dan pengalaman pengguna lain boleh diperoleh secara percuma.
  • Kos masa yang pendek kerana maklumat yang ingin diperoleh boleh didapati dengan segera dan rasa gelisah membuatkan individu cenderung mencari penjelasan pantas tanpa perlu menunggu janji temu dengan doktor.
  • Kos rawatan yang membebankan iaitu masyarakat menganggap rawatan profesional terlalu mahal, terutamanya dalam bidang kesihatan mental yang biasanya memerlukan intervensi berulang kali.
  • Stigma terhadap rawatan di hospital atau berjumpa pakar psikologi. Masyarakat beranggapan bahawa mendapatkan rawatan mental adalah tanda kelemahan atau sesuatu yang memalukan. Oleh itu, mereka memilih jalan alternatif iaitu self-diagnose, walaupun berisiko salah menilai keadaan diri sendiri.

Ciri-ciri Individu Berisiko Self-diagnose

1) Mudah dipengaruhi dan percaya kepada sumber di internet.

Pengguna media sosial yang aktif kebiasaannya terlalu cepat mempercayai content creator atau influencer sebagai sumber maklumat yang sahih walaupun tidak semua maklumat yang dikongsikan mereka berasaskan kajian atau kepakaran dalam bidang kesihatan mental. Contohnya, individu yang kerap menonton kandungan kesihatan mental di TikTok atau Instagram mudah terpengaruh dengan naratif atau individu yang berkongsi pengalaman kesihatan mental atau simptom di media sosial seolah-olah sudah mendapatkan diagnosis rasmi.

2) Individu yang mengalami “health-anxiety” atau mudah cemas.

Individu yang cenderung untuk memperbesarkan simptom kecil yang dialami kepada penyakit serius selepas membuat carian internet, dimana suatu fenomena yang dikenali sebagai Cyberchondria (White & Horvitz, 2019).

3) Cenderung membuat kesimpulan sendiri berdasarkan “symptom check” dari video penyampaian atau ‘posting’ di media sosial.

Pengguna atau individu yang membuat pemerhatian sendiri berkaitan simptom penyakit seperti tanda-tanda ADHD atau kemurungan, akan merasakan bahawa mereka juga mempunyai gangguan tersebut tanpa berjumpa pakar untuk pengesahan.

Kesan Self-Diagnose

1) Salah Mentafsir Simptom

Self-diagnose menyebabkan salah tafsiran terhadap gejala dan mendorong individu percaya bahawa mereka mengalami gangguan serius walaupun simptom ringan atau sebaliknya penyakit yang memerlukan rawatan segera dianggap remeh. Mereka beranggapan letih kerana kurang tidur itu sebagai gejala kemurungan, atau perasaan gelisah disamakan dengan gangguan tekanan dan ini akan menjejaskan tindakan susulan yang sepatutnya dilakukan.

 2) Meningkatkan Keresahan & Tekanan Mental

Individu yang kerap membuat carian berulang di internet akan mencetuskan keresahan dan kebimbangan yang berlebihan kerana mereka sentiasa percaya bahawa diri mereka mempunyai gangguan walaupun tiada pengesahan yang jelas. Perkara ini jelas mengganggu emosi, menjejaskan keyakinan diri mereka selain berkemungkinan memberi tekanan yang lebih teruk.

3) Menangguhkan Rawatan Profesional

Kebergantungan pada maklumat media sosial melambatkan individu mendapatkan rawatan sebenar kerana mereka memilih untuk merawat diri sendiri atau hanya berkongsi masalah di media sosial tanpa mendapatkan pemeriksaan daripada pakar. Dalam jangka masa panjang, kelewatan ini memburukkan keadaan dan menyukarkan proses pemulihan.

 4) Mudah Terpengaruh dengan “Self-Proclaimed Expert”

Kehadiran pelbagai content creator atau influencer yang mendakwa mempunyai kepakaran dalam bidang psikologi atau kesihatan mental tetapi hakikatnya tidak semua memiliki kelayakan dalam bidang tersebut berisiko memberi maklumat secara membuta tuli, dan mengakibatkan kesalahpahaman dalam diagnosis diri sendiri.

Langkah-langkah Menangani Self-Diagnose

Peringkat Individu

  • Rujukan kepada profesional iaitu individu yang mengalami simptom berpanjangan disarankan berjumpa doktor atau pakar profesional untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan yang sewajarnya.
  • Memeriksa kredibiliti sumber dengan memastikan maklumat yang diperoleh daripada sumber yang sahih seperti pakar kesihatan atau institusi rasmi.
  • Bijak menggunakan teknologi digital sebagai panduan umum dan menapis sumber kesihatan yang diperoleh daripada internet atau media sosial agar tidak mudah terjebak dengan trend atau dakwaan yang tidak sahih sebelum mendapatkan nasihat daripada pakar.

Pada Peringkat Keluarga

  • Sokongan emosi oleh ahli keluarga memberi dorongan untuk individu mendapatkan rawatan profesional, bukannya membiarkan mereka bergantung kepada self-diagnose.
  • Pendidikan bersama-sama keluarga untuk belajar tentang kredibiliti sumber kesihatan yang tepat dan menerima rawatan serta tidak bergantung kepada content creator atau AI Chat GPT semata-mata.

Pada Peringkat Komuniti

  • Peranan pemimpin komuniti, institusi agama, atau pihak sekolah untuk mendidik tentang media sosial dan laman web sebagai saluran panduan umum dan bukan sumber pengesahan rasmi.
  • Melalui program kesedaran seperti forum kesihatan, ceramah atau bengkel literasi digital dapat membantu meningkatkan kefahaman orang ramai tentang bahaya self-diagnose.

Pada Peringkat Masyarakat/Negara

  • Melalui pendidikan kesihatan yang betul iaitu Kementerian Kesihatan boleh menganjurkan kempen untuk membezakan antara panduan umum dan diagnosis klinikal. Ini mendidik masyarakat supaya lebih bijak menilai maklumat kesihatan.
  • Meningkatkan akses rawatan iaitu jurang sosial dan ekonomi perlu dikurangkan seperti subsidi rawatan, penambahan tenaga kerja kesihatan, dan pengurangan kos supaya masyarakat tidak menjadikan self-diagnose sebagai pilihan alternatif.

Kesimpulannya, dalam menghadapi fenomena self-diagnose tidak kira di media sosial, laman web seperti Chat GPT atau Google, masyarakat perlu menanam kesedaran bahawa tidak semua maklumat sesuai dijadikan penentu ukur kesihatan diri. Mereka boleh mendapat rujukan awal dan segera mendapatkan pengesahan daripada doktor atau pakar psikologi sekiranya merasakan ada gejala yang berterusan. Justeru itu, memahami ciri-ciri individu yang cenderung melakukan self-diagnose, kesan buruk serta langkah-langkah menangani isu ini adalah penting dalam memastikan kesedaran kesihatan tidak tersasar daripada landasan yang betul.

Jiwadamai juga boleh membantu anda dalam isu psikologi yang dihadapi daripada peringkat kanak-kanak sehinggalah ke dewasa sama ada ia isu kesihatan mental mahupun isu perkembangan kanak-kanak secara holistik kerana ahli klinikal kami terdiri daripada Pakar Psikiatri, Pakar Psikiatri Kanak-Kanak, Psikologis Klinikal, ahli terapi cara kerja (occupational therapist), dan juga ahli terapi pertuturan (speech therapist).

Jikalau tidak keberatan, anda boleh hubungi kami melalui talian 017 269 4852 (hotline isu dewasa) dan 011 5430 8949 (hotline isu kanak-kanak & remaja) dan lakukan janji temu bersama kami. Kami sedia membantu anda.

Ditulis oleh : Amni Nazurah, pelajar psikologi UIAM
Disahkan oleh : Psikologis Klinikal Jiwadamai

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp