Media sosial memainkan peranan yang penting dalam kehidupan remaja masa kini. Meskipun platform ini menyediakan pelbagai manfaat seperti kemudahan komunikasi dan akses pantas kepada maklumat, penggunaan yang berlebihan atau tidak terkawal boleh memberi kesan serius terhadap kesihatan mental. Kajian terkini menunjukkan bahawa penggunaan media sosial dapat memberi pelbagai kesan positif dan negatif terhadap golongan remaja yang menggunakan media sosial secara aktif.
Peningkatan Risiko Kemurungan dan Kecemasan
Penggunaan media sosial yang berlebihan dikaitkan dengan peningkatan simptom kemurungan dan kebimbangan dalam kalangan remaja. Menurut Azem et al. (2023), remaja perempuan lebih cenderung untuk terkesan, terutamanya akibat perbandingan sosial, tekanan untuk kelihatan sempurna dan keinginan untuk mendapatkan validasi melalui bilangan “likes” atau komen.
Gangguan Tidur dan Ketagihan Digital
Kajian menunjukkan bahawa penggunaan media sosial menjelang pada waktu malam boleh mengganggu kualiti tidur remaja. Faqihi et al. (2024) menyatakan bahawa cahaya skrin serta keterlibatan emosi terhadap kandungan digital boleh menyumbang kepada gangguan ritma sirkadian (circadian rhythm), sekali gus menyumbang kepada keletihan, mudah marah, dan ketidakstabilan emosi.
Penyebaran Maklumat Salah Mengenai Kesihatan Mental
Walaupun media sosial sering menjadi rujukan utama untuk mencari maklumat, ia juga boleh menjadi saluran penyebaran fakta yang tidak sahih berkaitan kesihatan mental. Johnson dan Poulter (2025) melaporkan bahawa lebih separuh daripada video popular berkaitan kesihatan mental di platform TikTok mengandungi maklumat yang tidak tepat dan berpotensi memburukkan lagi keadaan mental seseorang individu.
Kesan Positif: Sokongan Sosial dan Kesedaran Awam
Di sebalik kesan negatif, media sosial dapat memberikan manfaat dari segi sokongan sosial. Blackwell et al. (2025) menekankan bahawa interaksi positif melalui media sosial dapat membantu mengurangkan perasaan kesunyian, meningkatkan harga diri dan menyumbang kepada kesejahteraan emosi, terutamanya apabila interaksi tersebut bersifat sokongan dan empatik.
Peranan Ibu Bapa dan Pendidikan Literasi Digital
Pendidikan literasi digital dan penglibatan ibu bapa sangat penting bagi memastikan media sosial digunakan dengan selamat dan bertanggungjawab. Che Wil dan Othman (2021) mencadangkan pendekatan bimbingan secara aktif oleh ibu bapa, digabungkan dengan pendidikan formal mengenai risiko media sosial di peringkat sekolah, sebagai langkah pencegahan terhadap gangguan kesihatan mental dalam kalangan remaja.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, media sosial bukanlah sesuatu yang perlu dijauhi sepenuhnya, tetapi ia memerlukan kawalan dan kesedaran dalam penggunaannya—terutamanya dalam kalangan remaja yang masih membentuk identiti diri dan kestabilan emosi. Dengan bimbingan yang betul, pendidikan literasi digital, serta sokongan daripada ibu bapa dan komuniti, media sosial boleh menjadi alat yang menyumbang kepada kesejahteraan mental, bukannya ancaman. Maka, marilah kita bersama memainkan peranan dalam mencipta ruang digital yang lebih sihat, selamat, dan menyokong untuk generasi akan datang.
Jiwadamai juga boleh membantu anda dalam isu psikologi yang dihadapi daripada peringkat kanak-kanak sehinggalah ke dewasa sama ada ia isu kesihatan mental mahupun isu perkembangan kanak-kanak secara holistik kerana ahli klinikal kami terdiri daripada Pakar Psikiatri, Pakar Psikiatri Kanak-Kanak, Psikologis Klinikal, ahli terapi cara kerja (occupational therapist), dan juga ahli terapi pertuturan (speech therapist).
Jikalau tidak keberatan, anda boleh hubungi kami melalui talian 017 269 4852 (hotline isu dewasa) dan 011 5430 8949 (hotline isu kanak-kanak & remaja) dan lakukan janji temu bersama kami. Kami sedia membantu anda.
Ditulis oleh : Muhammad Amir, Pelajar Psikologi Universiti Selangor
Disahkan oleh : Psikologis Klinikal Jiwadamai