High Functioning Autism

Gambar Blogpost High Functioning Autism

Definisi

High Functioning Autism adalah istilah yang digunakan untuk merujuk kepada sebahagian individu dalam spektrum autism. Individu ini tidak mengalami ketidakupayaan intelek yang ketara dan boleh berdikari dalam kemahiran hidup harian dan motor, namun tetap menunjukkan kesukaran dalam komunikasi sosial, interaksi, dan tingkah laku fleksibel.

Apakah ciri-ciri utama individu dengan High-Functioning Autism (HFA)?

1. Kesukaran dalam komunikasi dan interaksi sosial

    Individu dengan HFA walaupun berfungsi tinggi, tetap menghadapi kesukaran dalam interaksi sosial dan komunikasi. Mereka mungkin mengalami kesukaran dalam komunikasi dua hala, kekurangan dalam tingkah laku komunikasi bukan lisan (contoh: kurang kontak mata, bahasa tubuh yang tidak sesuai), dan kesukaran dalam membina, mengekalkan dan memahami hubungan sosial.

    2. Corak tingkah laku, minat, atau aktiviti yang terhad dan berulang

    Individu dengan HFA boleh menunjukkan tingkah laku berulang dan sangat terikat pada rutin (contoh: picky eater). Mereka mungkin lebih mudah sensitif terhadap rangsangan deria seperti bunyi, cahaya, sentuhan atau jenis fabrik tertentu. Selain itu, mereka juga lebih cenderung obses terhadap topik atau minat yang tertentu.

    3. Kemahiran sosial yang kurang berkembang

    Individu dengan HFA biasanya mempunyai kemahiran sosial yang kurang berkembang. Mereka mungkin mengalami kesukaran memahami emosi, ekspresi wajah, bahasa badan, humor atau sindiran, dan sering mengambil kata-kata secara literal. Walaupun ada keinginan untuk bergaul, mereka mudah terlibat dalam situasi sosial yang janggal. Ini menyebabkan mereka sering diejek, dipergunakan, atau dibuli, lalu berasa terasing dan berisiko mengalami kebimbangan atau kemurungan.

    Apakah punca biologi High-Functioning Autism (HFA)?

    Walaupun punca sebenar High-Functioning Autism (HFA) masih belum diketahui sepenuhnya, kajian terhadap struktur otak telah menunjukkan keabnormalan pada beberapa bahagian penting yang berkaitan dengan kemahiran sosial. Antaranya termasuk amigdala (Schumann et al., 2004), korteks orbitofrontal (Rempel-Clower, 2007), sulkus temporal superior dan girus fusiform (Brun et al., 2009; Chia, Lim, & Lee, 2017). Bahagian nukleus kaudat juga didapati terlibat, yang dipercayai berkaitan dengan tingkah laku berulang atau ritualistik. Selain itu, peningkatan dalam bahan kelabu kortikal (Bonilha et al., 2008; Friedman et al., 2006) dan sambungan otak yang tidak tipikal antara kawasan-kawasan tertentu turut dikenal pasti (Supekar et al., 2013; Uddin et al., 2013). Keabnormalan-keabnormalan ini mungkin menjadi faktor yang menyumbang kepada ciri-ciri yang ditunjukkan oleh individu dengan HFA.

    Apakah rawatan terbaik untuk individu dengan autisme?

    Latihan kemahiran sosial (social skills training), terapi pertuturan dan bahasa, psikoterapi, terapi carakerja, dan terapi ABA adalah antara pendekatan utama bagi individu dengan HFA.  

    Kira-kira 70% individu dengan autisme turut mempunyai sekurang-kurangnya satu lagi diagnosis komorbid, seperti Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD), kebimbangan (anxiety), kemurungan (depression), atau gangguan bipolar. Oleh itu, adalah sangat penting bagi individu yang menghadapi cabaran dalam komunikasi dan tingkah laku yang terhad serta berulang untuk menjalani menjalani penilaian psikologi yang menyeluruh. Penilaian ini dapat membantu bagi mengenal pasti sebarang diagnosis tambahan yang mungkin mereka alami. Maklumat ini akan dapat membantu dalam menentukan pelan rawatan yang paling sesuai.

    High-Functioning Autism (HFA) merujuk kepada individu dalam spektrum autisme yang tidak mengalami ketidakupayaan intelek dan kebiasaannya mempunyai tahap kecerdasan sederhana hingga tinggi. Walaupun mereka mampu berfungsi dalam pelbagai aspek kehidupan, mereka masih menghadapi cabaran ketara dalam komunikasi sosial, fleksibiliti pemikiran, dan tingkah laku berulang. Kajian menunjukkan bahawa keabnormalan dalam struktur otak mungkin menjadi faktor penyumbang kepada ciri-ciri ini. Selain itu, kebanyakan individu dengan HFA turut mengalami gangguan komorbid seperti ADHD, kebimbangan atau kemurungan. Oleh itu, rawatan yang menyeluruh termasukpenilaian psikologi, latihan kemahiran sosial (social skills training), terapi pertuturan dan bahasa, psikoterapi, terapi carakerja, dan terapi ABA adalah sangat penting untuk membantu mereka berkembang secara optimum dari segi sosial, emosi, dan akademik.

    Jiwadamai juga boleh membantu anda dalam isu psikologi yang dihadapi daripada peringkat kanak-kanak sehinggalah ke dewasa sama ada ia isu kesihatan mental mahupun isu perkembangan kanak-kanak secara holistik kerana ahli klinikal kami terdiri daripada Pakar Psikiatri, Pakar Psikiatri Kanak-Kanak, Psikologis Klinikal, ahli terapi cara kerja (occupational therapist), dan juga ahli terapi pertuturan (speech therapist).

    Jikalau tidak keberatan, anda boleh hubungi kami melalui talian 017 269 4852 (hotline isu dewasa) dan 011 5430 8949 (hotline isu kanak-kanak & remaja) dan lakukan janji temu bersama kami. Kami sedia membantu anda.

    Ditulis oleh : Arifah Hanani, Pelajar Psikologi Universiti Malaysia Sarawak
    Disahkan oleh : Psikologis Klinikal Jiwadamai

    Kongsikan artikel ini

    Facebook
    Twitter
    WhatsApp