PTSD: Kesan Trauma di Usia Remaja

Gambar Blogpost PTSD Kesan Trauma di Usia Remaja

Di dalam era globalisasi ini, ramai remaja yang mempunyai penyakit PTSD yang disebabkan trauma. Kajian kebangsaan mendapati 7.1% remaja Malaysia menunjukkan simptom PTSD. Angka ini diperolehi daripada sampel 85 remaja berumur 13 hingga 14 tahun di Kuching, di mana 77.6% melaporkan pendedahan kepada sekurang-kurangnya satu peristiwa traumatik, dengan kemalangan jalan raya dan kematian ahli keluarga merupakan laporan trauma yang paling biasa (Ghazali et al., 2014). Penyelidik mendapati lebih banyak berlakunya trauma tidak langsung berbanding dengan trauma secara langsung dan lelaki lebih berkemungkinan terlibat dalam persitiwa traumatik berbanding perempuan. Jumlah pendedahan kepada peristiwa traumatik sangat berkait rapat dengan gejala PTSD (Ghazali et al., 2014).

Definisi PTSD

Post-Traumatic Stress Disorder atau Gangguan Tekanan Pasca Trauma ( PTSD ) dan merujuk kepada gangguan yang muncul selepas seorang individu mengalami atau menyaksikan peristiwa yang traumatik, contohnya, kemalangan, kematian, keganasan ataupun penderaan.

Simptom PTSD

  • Pendedahan kepada kematian sebenar atau terancam, kecederaan serius, atau keganasan seksual. Pendedahan kepada peristiwa traumatik berlaku sama ada dialami individu secara langsung, disaksikan secara peribadi atau berlaku kepada ahli keluarga atau kawan rapat.
  • Simptom gangguan yang berkaitan dengan peristiwa traumatik seperti berlakunya memori menyakitkan yang berulang, mimpi yang berulang, dan kilas balik (flashback).
  • Pengelakan berterusan terhadap rangsangan yang berkaitan dengan peristiwa traumatik seperti memori, fikiran, perasaan, atau aspek lain (cth., orang, tempat, perbualan, aktiviti, objek, situasi).
  • Perubahan negatif dalam fikiran dan perasaan yang berkaitan dengan peristiwa traumatik. Contohnya tidak berupaya mengingati aspek penting peristiwa traumatik, kepercayaan negatif yang berlebihan tentang diri sendiri, orang lain, atau dunia (cth., “saya jahat,” “Tiada siapa yang boleh dipercayai,” “Dunia ini benar-benar berbahaya,”), fikiran yang terganggu, keadaan emosi negatif yang berterusan (cth., ketakutan, seram, kemarahan, rasa bersalah, atau rasa malu), merasakan diri terasing daripada orang lain, dan tidak berupaya untuk mengalami emosi positif (cth., rasa bahagia, kepuasan, atau kasih sayang)
  • Perubahan ketara dalam dalam tindak balas yang berkaitan dengan peristiwa traumatik. Misalnya, mudah berasa marah, tingkah laku melulu atau merosakkan diri sendiri, kepekaan deria (hypervigilance), tindak balas terkejut yang berlebihan, masalah tumpuan, dan gangguan tidur.

Faktor PTSD di Usia Remaja

Berikut merupakan beberapa faktor yang dapat meningkatkan risiko seseorang mengalami PTSD;

1.Faktor Pra-traumatik (Faktor yang menyebabkan remaja cenderung untuk mengalami PTSD)

Faktor berisiko tinggi termasuklah masalah emosi semasa kanak-kanak sehingga umur  6 tahun (contohnya, tingkah laku agresif atau kebimbangan (anxiety) dan penyakit mental sedia ada (contohnya, gangguan panik, kemurungan, PTSD atau gangguan obsesif kompulsif (OCD). Individu yang mempunyai ciri-ciri berkaitan emosi negatif dan impulsif juga berisiko mengalami PTSD.

Dari segi persekitaran;

Status sosio-ekonomi yang rendah, tahap pendidikan yang rendah, pendedahan kepada trauma terutamanya semasa zaman kanak-kanak, dan cabaran semasa zaman kanak-kanak (contohnya, masalah dalam keluarga, terpisah dari ibubapa ataukematian), kecerdasan yang rendah, diskriminasi etnik dan sikap perkauman, serta sejarah psikiatri keluarga adalah faktor-faktor risiko bagi seseorang untuk memberntuk gejala PTSD.

Dari segi genetik dan fisiologi;

Kajian yang melibatkan kembar dan kajian molekular mendapati bahawa risiko seseorang untuk mengalami gejala PTSD selepas pendedahan kepada peristiwa traumatik boleh diwarisi.

2.Faktor Peri-traumatik (Faktor yang menyebabkan remaja mengalami PTSD semasa atau sejurus selepas peristiwa traumatik berlaku)

Dari segi persekitaran;

Faktor tersebut termasuklah tahap keterukan trauma,ancaman kehidupan, kecederaan peribadi dan keganasan interpersonal. Tindak balas peri-traumatik seperti disosiasi, ketakutan dan panik yang berlaku semasa peristiwa traumatik dan berlanjutan turut merupakan faktor risiko bagi remaja untuk mengalami gejala PTSD.

3.Faktor Post-traumatik (Faktor yang menyebabkan remaja mengalami PTSD selepas peristiwa traumatik berlaku)

Dari segi tingkah laku;

Ini termasuk penilaian negatif terhadap sesuatu situasi, startegi mengatasi trauma yang tidak sesuai dan perkembangan gangguan tekanan akut (acute stress disorder).

Dari segi persekitaran;

Faktor risiko dari persekitaran termasuklah pendedahan berlanjutan kepada sesuatu yang mengingatkan kepada trauma, peristiwa kehidupan yang buruk dan masalah kewangan. Persitiwa post-traumatik, contohnya, penghijrahan terpaksa, tahap tekanan harian yang tinggi serta pendedahan kepada diskriminasi kaum dan etink dapat menyumbang kepada risiko pembentukan gejala PTSD.

Kesan PTSD di Usia Remaja

PTSD boleh mengakibatkan :

1.Gejala emosi dan kognitif seperti:

  • Kilas balik (flashback) dan mimpi buruk tentang peristiwa traumatik secara mendalam yang boleh menyebabkan pesakit PTSD mengalami ketakutan yang berterusan.
  • Perasaan negatif seperti rasa bersalah, malu dan kemarahan serta pemikiran yang negatif tentang diri sendiri dan dunia sekeliling.

2.Risiko tinggi untuk membunuh diri

Terdapat peningkatan risiko dari segi fikiran atau percubaan pesakit PTSD untuk membunuh diri.

3.Risiko masalah kesihatan mental lain

  • Kemurungan dan kebimbangan: Banyak pesakit PTSD menghadapi masalah kesihatan mental lain seperti kemurungan (depression) dan kebimbangan (anxiety)
  • Penyalahgunaan bahan: Pesakit PTSD berisiko menyalahgunakan alkohol dan dadah dengan niat untuk mengatasi gejala-gejala tersebut.

Rawatan & Terapi

1.Psikoterapi

Rawatan utama bagi PTSD adalah psikoterapi, termasuk terapi kognitif tingkah laku (CBT) terapi pendedahan (exposure therapy), dan terapi psikodinamik (psychodynamic therapy). Terapi ini membantu individu memahami dan mengatasi trauma mereka.

2.Ubat-ubatan

Dalam beberapa kes, ubat-ubatan juga digunakan untuk membantu mengurangkan gejala. Gabungan psikoterapi dan ubat sering kali memberikan hasil yang lebih baik.

3.Sokongan sosial

Memiliki sistem sokongan yang kuat dari keluarga dan rakan-rakan adalah penting bagi proses pemulihan pesakit PTSD. Sokongan emosi dapat membantu remaja merasa lebih selamat dan tidak merasa keseorangan.

Kesimpulan

Trauma yang dialami seseorang individu itu mampu memberikan impak yang sangat besar dan teruk kepada mereka yang mengalaminya. Oleh itu, penjagaan dan sokongan daripada orang terdekat amatlah penting bagi  individu yang mengalami gejala PTSD.  PTSD bukan sesuatu yang boleh dipandang remeh dan mudah kerana ia mampu meragut nyawa seseorang terutama sekali dalam kalangan remaja.

Jiwadamai juga boleh membantu anda dalam isu psikologi yang dihadapi daripada peringkat kanak-kanak sehinggalah ke dewasa sama ada ia isu kesihatan mental mahupun isu perkembangan kanak-kanak secara holistik kerana ahli klinikal kami terdiri daripada Pakar Psikiatri, Pakar Psikiatri Kanak-Kanak, Psikologis Klinikal, ahli terapi cara kerja (occupational therapist), dan juga ahli terapi pertuturan (speech therapist).

Jikalau tidak keberatan, anda boleh hubungi kami melalui talian 017 269 4852 (hotline isu dewasa) dan 011 5430 8949 (hotline isu kanak-kanak & remaja) dan lakukan janji temu bersama kami. Kami sedia membantu anda.

Ditulis oleh : Nur Alya Adilah, Pelajar Psikologi UNISEL
Disahkan oleh : Psikologis Klinikal Jiwadamai

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp