Kenali ADHD Dewasa

Gambar Blogpost Kenali ADHD Dewasa

Adakah anda seringkali merasa bahawa diri anda mengalami perasaan bercelaru, mudah lupa, dan sukar untuk fokus? Anda mungkin tertanya-tanya jika ini lebih daripada masalah biasa. Tahukah anda bahawa Attention Deficit/Hyperactivity Disorder (ADHD), yang sering dikaitkan dengan kanak-kanak juga boleh terjadi dalam kalangan orang dewasa? Gangguan ini mempunyai beberapa ciri termasuklah kesukaran memberikan tumpuan, hiperaktif, dan mempunyai tindakan impulsif. Gangguan ini boleh menyebabkan kesukaran dalam pelbagai aspek kehidupan, termasuklah aspek pekerjaan, hubungan sosial dan kesejahteraan diri.

 Ramai yang tidak menyedari bahawa ADHD juga boleh dialami oleh orang dewasa. Kajian yang dibuat oleh Team (2022) menunjukkan bahawa purata 2.8% orang dewasa di seluruh dunia mengalami ADHD, dan angka ini mungkin lebih tinggi. Malah, penyelidikan lain (Song et al., 2021) mendapati bahawa 6.7% orang dewasa di seluruh dunia (lebih 360 juta orang) mengalami ADHD tanpa pernah didiagnosis semasa kecil. Hal ini jelas menunjukkan bahawa ADHD dalam kalangan orang dewasa merupakan isu yang signifikan dan boleh memberi impak besar kepada kehidupan mereka. Oleh itu, adalah penting untuk kita mengenali tanda-tandanya dan mencari sokongan yang sesuai.

 Mari kita terokai realiti ADHD dalam kalangan orang dewasa dan fahami cara ADHD boleh diuruskan dengan berkesan.

Definisi

Kurang tumpuan serta/atau tingkah laku hiperaktif dan impulsif yang berterusan. ADHD bermula dari usia kanak-kanak dan berterusan sehingga ke dewasa. Gangguan ini juga berpotensi mengganggu kehidupan seharian dan menghalang seseorang daripada mencapai potensi penuh mereka.

Simptom

ADHD di kalangan dewasa adalah berbeza daripada ADHD di kalangan kanak-kanak. Setiap individu mempunyai simptom ADHD yang kelihatan berbeza. Senarai berikut merupakan simptom yang sering dilihat berdasarkan DSM-5:

  • Kurang Tumpuan:
    • Sukar untuk fokus dan kerap terganggu oleh persekitaran luar
    • Masalah mengikuti arahan atau menyelesaikan projek atau kerja
  • Hiperaktif: Boleh dilihat sebagai kecergasan yang melampau dan sukar dikawal sehingga mengganggu orang lain dengan aktiviti yang mereka lakukan. Contohnya:
    • Mengalami perasaan gelisah yang berterusan, yang seringkali diiringi dengan pergerakan seperti mengetuk-ngetuk tangan dan kaki tanpa henti atau menggeliat di tempat duduk.
    • Kerap meninggalkan tempat duduk dalam situasi yang memerlukan anda untuk duduk diam, contohnya di pejabat atau ketika menghadiri mesyuarat.
  • Impulsif:
    • Menunjukkan kesukaran dalam menunggu giliran bercakap dalam perbualan. Contohnya, mencelah perbualan orang lain secara berlebihan.
    • Sering memberikan jawapan secara terburu-buru sebelum soalan selesai ditanya.
    • Sering bercakap tanpa henti, sukar untuk berhenti bercakap, atau mendominasi perbualan.

Impak dan Cabaran

ADHD di tempat kerja boleh memberikan impak yang besar bukan sahaja dari segi produktiviti tetapi juga dari segi kesejahteraan emosi dan sosial. Individu yang mengalami ADHD mungkin berasa kurang dihargai  dan tidak yakin dengan kemampuan diri sendiri. Cabaran seperti kesukaran untuk mengekalkan pekerjaan, kesulitan menyiapkan tugas mengikut tarikh akhir dan masalah dalam menyelesaikan tugas dengan cekap boleh menyumbang kepada perasaan ini. Selain itu, pengurusan kewangan yang lemah seperti bil-bil yang tertunggak dan kesulitan merancang perbelanjaan turut menambah tekanan dan kebimbangan.

ADHD juga dapat memberikan impak yang signifikan dalam hubungan sosial seseorang. Ia dapat mewujudkan dinamik yang mencabar antara pasangan. Ciri-ciri ADHD seperti sering lupa boleh menjejaskan hubungan. Individu dengan ADHD mungkin akan terlupa hal yang dibincangkan oleh pasangan mereka, seperti janji-janji, serta tarikh penting seperti ulang tahun. Mereka juga mungkin sukar menyelesaikan tugasan rumah dan bercakap tanpa berfikir, yang boleh menyakiti hati pasangan. Dengan ini, individu yang mengalami ADHD mungkin berasa seolah-olah mereka sentiasa dikritik atau dikawal oleh pasangan mereka, dan usaha yang mereka lakukan tidak pernah mencukupi. Perasaan ini boleh menimbulkan rasa seperti tidak dihargai dan membawa kepada tingkah laku mengelak. Ini termasuk, menjauhi pasangan atau hanya sekadar bersetuju dengan apa sahaja yang dikatakan demi  mengelakkan konflik.

Tips Perubahan Gaya Hidup untuk membantu individu dengan ADHD

  • Penjagaan diri:
    • Senaman yang kerap bukan sahaja membantu melepaskan tenaga dan mengurangkan perasaan agresif, tetapi juga meningkatkan mood dan menggalakkan rasa tenang.
    • Mengamalkan diet seimbang yang terdiri daripada makanan berkhasiat dan rendah gula pula membantu menstabilkan emosi dan mengurangkan perubahan mood yang drastik.
  • Pengurusan masa & Organisasi:
    • Boleh menetapkan tarikh akhir untuk tugasan-tugasan anda termasuklah tugasan kecil yang sering diabaikan, gunakan pemasa dan penggera untuk membantu anda kekal mengikut jadual dan mengelakkan pembaziran masa.
    • Ambil rehat yang kerap untuk mengekalkan fokus dan tenaga.
    • Gunakan alat-alat organisasi seperti senarai, pengekodan warna, peringatan dan fail untuk membantu anda kekal bermotivasi, teratur dan fokus.
    • Kenal pasti waktu-waktu di mana anda paling produktif dan cuba wujudkan suasana yang serupa di ruang kerja anda.
  • Pomodoro Technique:
    Bagi individu yang mengalami ADHD, Teknik Pomodoro boleh membantu menguruskan tumpuan mereka dan kekal fokus pada kerja. Ia juga boleh membantu mengurangkan sifat impulsif dan penangguhan, kerana ia menyediakan cara terstruktur untuk memecahkan tugas dan kekal fokus kepada tugas.
    • Pilih satu tugas.
    • Setkan Pemasa Pomodoro® kepada 25 minit.
    • Kerjakan tugas sehingga Pemasa Pomodoro® berdering, kemudian tandakan satu semakan pada kertas anda.
    • Ambil rehat pendek (Mulakan dengan 5 minit).
    • Setiap 4 Pomodoro, ambil rehat yang lebih panjang.
    • Ulang langkah 1-5 sehingga tugas selesai.

Kesimpulan

Ramai orang dewasa tidak sedar bahawa mereka mungkin mengalami ADHD. Akibatnya, mereka mengalami kesukaran dengan masalah seperti kekeliruan, mudah lupa, dan kurang fokus, yang juga menyumbang kepada perasaan seperti kekecewaan dan rendah diri. ADHD yang tidak dirawat boleh memberi kesan yang mendalam, bukan sahaja pada kerjaya, tetapi juga pada kepercayaan diri, hubungan sosial, dan kesejahteraan emosi.

Namun, penerimaan diagnosis ADHD pada usia dewasa dapat menjadi titik perubahan yang signifikan. Diagnosis ini menyediakan kerangka kerja yang penting untuk memahami pengalaman dan perjuangan yang telah dilalui selama ini, sekaligus merungkai mitos tentang kekurangan peribadi dan menggantikannya dengan pemahaman yang lebih mendalam mengenai faktor-faktor neurologis yang memberi peranan. Pemahaman yang baru ini dapat memupuk individu untuk mengamalkan belas kasihan terhadap diri sendiri, mencari bantuan yang sesuai, dan mengembangkan strategi penyesuaian hidup bersama ADHD yang efektif. Dengan diagnosis dan pengurusan yang tepat, individu dewasa dengan ADHD dapat mencapai potensi mereka sepenuhnya, membina hubungan yang memuaskan, dan menikmati kehidupan yang lebih bermakna dan sejahtera.

    Jiwadamai juga boleh membantu anda dalam isu psikologi yang dihadapi daripada peringkat kanak-kanak sehinggalah ke dewasa sama ada ia isu kesihatan mental mahupun isu perkembangan kanak-kanak secara holistik kerana ahli klinikal kami terdiri daripada Pakar Psikiatri, Pakar Psikiatri Kanak-Kanak, Psikologis Klinikal, ahli terapi cara kerja (occupational therapist), dan juga ahli terapi pertuturan (speech therapist).

    Jikalau tidak keberatan, anda boleh hubungi kami melalui talian 017 269 4852 (hotline isu dewasa) dan 011 5430 8949 (hotline isu kanak-kanak & remaja) dan lakukan janji temu bersama kami. Kami sedia membantu anda.

    Kongsikan artikel ini

    Facebook
    Twitter
    WhatsApp