12 Soalan Lazim Berkaitan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD)

children-are-interested-learning-min

1.Apa itu Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD)?


Ia adalah gabungan tingkah laku hiperaktif, impulsif, dan kurang tumpuan pada kanak-kanak. Tingkah laku bermasalah ini mesti diperhatikan di sekurang-kurangnya dua ketetapan yang berbeza seperti di rumah, sekolah, ketika bermain, atau dalam kejiranan. ADHD boleh hadir ketika kanak-kanak berusia kurang daripada 12 tahun dan mesti menyebabkan ketidakfungsian yang ketara dalam kehidupan seharian kanak-kanak tersebut.

2. Apakah yang dimaksudkan dengan impulsif?


Impulsif merujuk kepada kecenderungan untuk melakukan sesuatu secara tiba-tiba tanpa berfikir dengan teliti atau tanpa perancangan. Contoh-contohnya adalah seperti berikut:

  • Menjawab sebelum soalan selesai ditanya.
  • Sering mengalami kesukaran menunggu giliran.
  • Selalunya mengganggu orang lain.
  • Mencelah ke dalam perbualan atau permainan.

3. Bagaimana saya boleh memahami bahawa anak saya kurang tumpuan?


Seorang kanak-kanak perlu menunjukkan ciri-ciri berikut dalam pelbagai ketetapan seperti di sekolah, rumah, ketika bermain, atau dalam kejiranan:

  • Gagal memberikan perhatian yang teliti terhadap sesuatu butiran atau
    melakukan kesalahan tidak wajar dalam tugasan sekolah atau tugasan harian.
  • Kesukaran untuk mengekalkan tumpuan dalam tugasan atau aktiviti bermain.
  • Selalunya tidak mendengar apabila seseorang bercakap secara langsung dengannya.
  • Tidak mengikut arahan.
  • Kerap gagal menyiapkan kerja sekolah, tugasan harian, atau tugasan di tempat kerja.
  • Selalu mengelak, tidak suka, atau enggan melibatkan diri dalam tugas yang memerlukan usaha mental yang berterusan.
  • Selalu kehilangan benda penting yang diperlukan untuk tugasan atau aktiviti (cth., tugasan sekolah,
    pensel, buku atau alatan).
  • Selalunya mudah terganggu oleh perkara/rangsangan luar (cth., bunyi muzik, barang-barang yang menarik perhatian).
  • Sering menjadi seorang yang pelupa dalam aktiviti harian.

4. Tetapi, anak saya boleh menumpukan perhatian baik jika dia mahu. Bagaimana boleh kanak-kanak kurang tumpuan/hiperaktif?


Selalunya ibu bapa percaya bahawa kekurangan minat kanak-kanak dalam pelajaran atau sesuatu aktiviti itu yang akan mempengaruhi prestasi mereka. Walau bagaimanapun, sangat penting untuk memahami bahawa tingkah laku yang kelihatan “nakal” ini berkemungkinan menjadi gangguan neurobehavioral seperti ADHD dan kanak-kanak itu lebih memerlukan bantuan daripada dimarahi atau dikawal dengan ketegasan ketika di rumah.

Jadi, setiap kali kanak-kanak menunjukkan tingkah laku hiperaktif, kurang tumpuan, atau impulsif dalam dua atau lebih ketetapan dan menjejaskan fungsi atau prestasi kanak-kanak, ia adalah satu perkara yang membimbangkan. Dalam kes sedemikian, kanak-kanak perlu menjalani penilaian awal dan mendapatkan bantuan segera daripada pakar.

5. Bagaimana untuk membezakan antara kanak-kanak “bertenaga” dengan kanak-kanak hiperaktif?

Jika kanak-kanak menunjukkan ciri-ciri berikut secara berlebihan dan tidak bersesuaian dengan umurnya, sehingga menjejaskan kefungsian kanak-kanak itu, dia boleh menjadi seorang kanak-kanak hiperaktif. Penilaian awal oleh pakar adalah wajar.

Ciri-ciri hiperaktif ialah:

  • Pergerakan tangan dan kaki yang tidak sentiasa bergerak, tidak kekal statik (restless).
  • Meninggalkan tempat duduk di dalam bilik darjah atau di tempat lain.
  • Berlari atau memanjat secara berlebihan dalam keadaan yang tidak sesuai.
  • Kesukaran mematuhi peraturan aktiviti bermain.
  • Sentiasa dalam keadaan “on the go”.
  • Bercakap berlebihan.

6. Apa yang perlu saya lakukan jika saya mengesyaki anak saya kurang tumpuan/hiperaktif?


Sebaik sahaja anda mengesyakinya, itu adalah langkah pertama yang baik. Ini kerana penafian boleh menjadi batu penghalang untuk kanak-kanak mendapatkan penilaian awal dan membantutkan pengurusan rawatan untuk kanak-kanak tersebut.

Rujuk anak anda kepada pakar seperti pakar kanak-kanak, pakar pediatrik perkembangan,
atau psikologis klinikal. Pakar akan menilai kanak-kanak itu dan mencadangkan pelan rawatan yang bersesuaian dengan anak anda.

7. Adakah terdapat kemungkinan anak saya mungkin menghadapi masalah lain apabila mempunyai ADHD?


Ya, dalam kira-kira 60–70% kanak-kanak dengan ADHD menghadapi masalah tambahan lain. Antaranya, Autism Spectrum Disorder (ASD), Learning Disabilities (LD), Conduct Disorder (CD), Oppositional Defiant Disorder (ODD), Tic disorder, gangguan kebimbangan, kemurungan, dan gangguan bipolar.

8. Bagaimana ADHD boleh didiagnosis?


Titik pertama dan paling utama diagnosis ialah penilaian klinikal oleh pakar dengan mengambil kira sejarah klinikal dan pemeriksaan ke atas kanak-kanak. Ciri-ciri hiperaktif dan kurang tumpuan boleh menjadi faktor sekunder kepada banyak sebab perubatan.


Doktor anda akan menolak sebarang keadaan perubatan yang menerangkan ciri-ciri ADHD, dan kemudian diagnosis akhir boleh dibuat melalui ujian piawai merujuk kepada kriteria dalam Diagnostik dan Manual Statistik Gangguan Mental (DSM 5).

9. Adakah anak saya mengalami ADHD disebabkan salah ibu bapa?


Semestinya tidak! Tiada ibu bapa yang mahu membahayakan atau menyakiti anak mereka dengan sengaja. Tetapi, masalah boleh timbul akibat kurangnya pemahaman bahawa ini adalah satu kondisi yang serius dan anak anda memerlukan bantuan.

Ramai ibu bapa percaya bahawa mereka juga seperti ini pada zaman kanak-kanak mereka,
dan oleh kerana itu, ibu bapa beranggapan anak mereka tidak perlu bertemu dengan pakar atas sebab tingkah laku anak mereka yang tidak sesuai ini.

10. Bolehkah anak saya pergi ke sekolah biasa seperti orang lain?


Mana-mana kanak-kanak yang mengalami gangguan perkembangan neuro boleh menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak lain. Pendapat yang mengatakan “perkara ini tidak boleh menjadi lebih baik” atau “dah ditakdirkan anak ini ada gangguan ADHD” hanyalah mitos semata-mata. Intervensi yang berkala mengikut cadangan pakar boleh membuat perbezaan yang ketara pada kanak-kanak.

11. Adakah ciri-ciri ADHD boleh menjadi lebih baik seiring usia? Bolehkah ADHD sembuh Bolehkah anak saya menjadi normal?


Terdapat kaitan di antara usia dengan perubahan ADHD. Ia bergantung kepada ciri klinikal pra-dominan setiap kanak-kanak. Hiperaktif bertambah baik seiring dengan usia secara beransur-ansur. Walau bagaimanapun, impulsif menjadi masalah serius terutamanya pada zaman remaja. Kurang tumpuan pula adalah perkara biasa ketika kanak-kanak sedang dalam usia persekolahan.


Ciri-ciri ADHD boleh disebabkan oleh beberapa etiologi perubatan seperti anemia, defisit deria, metabolik atau gangguan genetik, toksik, dan tekanan dalam keluarga. Justeru, kanak-kanak ini perlu dibantu oleh pakar. Pakar akan mengenal pasti punca yang boleh dirawat dan memberikan nasihat rawatan yang bersesuaian. Terapi pada dasarnya terdiri daripada terapi tingkah laku dan/atau ubat-ubatan, jika perlu.

12. Bukankah ubat-ubatan terlalu melampau untuk isu kurang perhatian/hiperaktif?


Terapi tingkah laku adalah perkara pertama dan terpenting yang dapat membantu membuat perubahan dalam kehidupan kanak-kanak ADHD. Ubat-ubatan pula akan bekerja seiring dengan tingkah laku terapi untuk mendapatkan hasil yang optimum.

Gabungan rawatan ini merupakan pelan rawatan terbaik bagi sesetengah kanak-kanak ADHD. Penyelidikan yang teliti telah membuktikan secara konklusif bahawa gabungan terapi tingkah laku dan ubat-ubatan mengikut pemantauan pakar adalah terbaik dalam menangani ADHD.

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp