Speech Delay Membawa Kepada Masalah Tingkah Laku

adorable-latin-toddler-wearing-casual-clothes-with-hand-head-headache-because-stress-suffering-migraine-min

Kelewatan pertuturan (speech delay) dan masalah tingkah laku adalah perkara biasa pada peringkat awal kanak-kanak dan selalunya berlaku serentak. Kedua-duanya adalah kebimbangan yang sering dibangkitkan oleh sesetengah ibu bapa dan penjaga.

Sememangnya pada sesetengah keadaan, kanak-kanak dijangka akan mempunyai saat-saat di mana mereka mungkin mengamuk, enggan mengikut arahan, terlalu aktif atau menunjukkan ledakan kemarahan.

Tetapi masalah tingkah laku yang ditunjukkan terlalu kerap dan hampir setiap masa bukanlah sebahagian daripada perkembangan normal kanak-kanak. Jika anda ibu bapa atau penjaga yang perlu berhadapan dengan isu ini, ia boleh menjadi sesuatu yang meletihkan.

Meskipun masalah tingkah laku kanak-kanak boleh berlaku disebabkan oleh pelbagai faktor, terdapat hubung kait yang rapat di antara masalah tingkah laku dengan kelewatan pertuturan.

Bagaimanakah isu tingkah laku dapat dilihat dalam kalangan kanak-kanak?

Masalah tingkah laku boleh berlaku secara berbeza untuk kebanyakan kanak-kanak, tetapi berikut adalah beberapa masalah biasa yang mungkin anda boleh lihat :

  • Mengamuk atau tantrum
  • Enggan mengikut arahan
  • Menjadi marah atau mudah marah
  • Sengaja mengganggu orang lain
  • Agresif secara fizikal terhadap orang lain, seperti memukul, menendang atau mencakar

Kanak-kanak mungkin menunjukkan salah satu daripada tingkah laku berikut atau lebih.

Bagaimanakah kelewatan pertuturan berkait dengan masalah tingkah laku?

Terdapat banyak cara kelewatan pertuturan boleh menyumbang kepada masalah tingkah laku.

Sesetengah kanak-kanak akan menunjukkan masalah tingkah laku kerana mereka kecewa apabila mereka tidak dapat menyatakan apa yang mereka perlukan atau inginkan. Ini kerana mereka tidak mempunyai perbendaharaan kata atau kemahiran pengeluaran bunyi untuk menyatakan dengan jelas fikiran dan keperluan mereka.

Misalnya, anda mengambil gula-gula yang sedang dipegang oleh anak anda bertujuan untuk membuka plastik gula-gula tersebut sebelum memberikannya kembali kepada anak anda.

Tetapi, ia tidak semudah yang anda fikirkan. Anak anda mungkin tidak dapat memahami maksud di sebalik tindakan itu.

Oleh kerana anak anda mempunyai kelewatan pertuturan, anak anda tidak dapat berkata “Sila pulangkan!” atau “Saya mahu itu!”. Mereka akan lebih cenderung untuk menyatakan kekecewaan ini dengan cara lain seperti menjerit, menangis, atau memukul.

Selain itu, gangguan bahasa reseptif juga boleh menyumbang kepada masalah tingkah laku kanak-kanak. Bahasa reseptif merujuk kepada keupayaan kanak-kanak untuk memahami apa yang dituturkan kepada mereka.

Merujuk kepada situasi yang sama seperti di atas, jika kanak-kanak tidak dapat memahami apa yang diperkatakan, apa yang mereka faham hanyalah apa yang mereka alami; gula-gula mereka diambil secara tiba-tiba!

Pada mereka, tindakan berikut berlaku tanpa sebarang amaran dan sebab.

Perlu diingatkan bahawa ramai kanak-kanak yang mengalami gangguan bahasa reseptif juga mengalami gangguan bahasa ekspresif, bermakna sukar bagi mereka untuk menyatakan kehendak dan keperluan mereka.

Ini menjadikan mereka lebih berkemungkinan besar untuk bertindak secara agresif.

Hubungi kami

Masalah kelewatan pertuturan dan isu tingkah laku kanak-kanak dapat dibantu melalui terapi pertuturan. Meningkatkan kemahiran komunikasi anak anda mungkin menjadi kunci untuk membantu memperbaiki isu tingkah laku mereka.

Hubungi kami untuk mendapatkan penilaian awal daripada terapis pertuturan kami.

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp