Jangan Cepat Naik Angin! Guru Perlu Tahu Cara Mengendali Murid ADHD

Baru-baru ini, tular isu berkenaan seorang murid yang telah menerima layanan kurang baik daripada seorang guru disekolahnya. Murid ini adalah kanak-kanak yang telah didiagnosis dengan ADHD.

Apakah Yang Guru Patut Tahu?

Attention-Deficit Hiperactivity Disorder (ADHD) adalah satu gangguan perkembangan yang boleh menyebabkan murid tidak memperi tumpuan, hiperaktif, dan impulsif berbeza dengan kanak-kanak lain yang seusia dengannya.

ADHD boleh menjejaskan tingkah laku, pembelajaran, emosi, dan perhubungan murid tersebut dengan yang lain.

Sesetengah murid ADHD seringkali menerima teguran, diabaikan atau dimarahi kerana tidak mendengar, tidak memberi perhatian, atau tidak mencuba sesuatu perkara. Dalam tidak sedar, ia sebenarnya memberi kesan yang sangat besar kepada mereka.

Antara contoh kata-kata yang mungkin diucapkan kepada murid ADHD,

“Kamu je yang belum siap salin lagi. Kawan-kawan lain semua dah siap lama. Dah nak habis masa dah ni. Salin cepat!”

“Kawan-kawan lain semua duduk dekat tempat sendiri. Kamu dari tadi bangun, bergerak ke sana, ke sini. Duduk sekarang!”

Ini boleh menyebabkan mereka berisiko untuk berasa rendah diri, kemurungan, marah, lemah dari segi akademik, atau berhenti sekolah.

Guru berkemungkinan tidak dapat mengesan murid yang menghadapi masalah ini akibat kurang mendalami pendidikan khas. Oleh itu, guru perlulah sentiasa mencari rujukan dan menambah ilmu pengetahuan berkaitan gangguan ADHD ini.

Mengajar Murid ADHD

Sebagai seorang guru, anda berperanan dalam membantu pelajar mengurus isu yang disebabkan oleh ADHD dan memberikan sokongan yang menggalakkan kepada mereka supaya mereka berjaya di sekolah.

Bagaimana untuk mengendalikan murid ADHD di dalam bilik darjah? Berikut adalah beberapa cara yang boleh anda lakukan untuk membantu mereka :

  1. Berbincang dengan ibu bapa dan minta bantuan mereka. Simpan rekod tingkah laku harian dan nota kemajuan untuk dikongsi kepada ibu bapa.
  2. Minta bantuan kaunselor sekolah, psikologis atau guru pendidikan khas untuk membentuk program yang bersesuaian dengan masalah murid ketika di dalam kelas.
  3. Kurangkan gangguan dengan meletakkan kedudukan pelajar berhampiran dengan anda, dan jauh daripada tingkap.
  4. Berikan sesuatu arahan dengan jelas dan ringkas.
  5. Pecahkan tugasan besar kepada bahagian-bahagian yang lebih kecil dan mudah diurus.
  6. Benarkan pelajar mempunyai selang masa rehat sementara semasa pembelajaran berlangsung. Biarkan mereka melakukan senaman atau pergerakan ringan.
  7. Peka terhadap isu harga diri. Jangan memperkecilkan pelajar atau memarahinya di hadapan rakan-rakan lain. Tegur murid secara tertutup, dan elakkan meminta murid melakukan tugas yang sukar di hadapan rakan sekelas.
  8. Sentiasa memerhatikan tingkah laku positif yang pelajar tunjukkan seperti duduk di tempatnya, bergilir-gilir dengan rakan lain, dll. Gunakan pujian untuk mengukuhkan tingkah laku yang diingini.

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp