5 Tips Membentuk ‘Self-Awareness’, Penting Untuk Diri Sendiri

pexels-pnw-production-8250041

Salah satu kunci yang paling penting untuk berdaya tahan ialah self-awareness (kesedaran kendiri). Memahami secara lebih mendalam tentang diri anda dan cara anda bertindak balas terhadap liku-liku kehidupan boleh membantu anda mengembangkan daya tahan serta bangkit daripada sebarang cabaran hidup yang anda lalui.

Apabila anda memahami kekuatan dan kelemahan yang ada pada diri sendiri, anda boleh menyesuaikan diri dengan sewajarnya mengikut situasi, memperoleh pengetahuan tambahan apabila perlu, dan membuat keputusan positif yang mencerminkan siapa diri anda sebenarnya.

Apakah Maksud Kesedaran Kendiri?

Walaupun kesedaran kendiri boleh dicirikan sebagai mempunyai kesedaran dan pengetahuan mengenai personaliti dan perwatakan diri sendiri, ia juga penting untuk memahami emosi anda.

Apabila anda mempunyai kesedaran kendiri, anda boleh :

  • Mengenali emosi anda, yang mana ia merupakan langkah pertama untuk mengawal emosi anda. Jika anda tidak dapat mengenali emosi dalam diri, bagaimanakah anda boleh mengawal kebimbangan, kemarahan atau kesedihan yang sedang anda hadapi?
  • Mengenal pasti pencetus  (triggers) anda, yang membantu anda merancang dengan lebih baik tentang bagaimana reaksi anda terhadap sesuatu cabaran dan membuat keputusan yang lebih bertanggungjawab mengenai tingkah laku dan emosi anda.
  • Berempati dan mengambil perspektif orang lain, yang membantu anda menyelesaikan konflik dan membina hubungan yang positif dengan orang lain.

Apabila seseorang kurang kesedaran kendiri, mereka akan lebih sukar untuk memahami dan memperbaiki reaksi mereka, sekali gus menjejaskan pengurusan diri, kesedaran sosial, kemahiran perhubungan malah tidak mampu untuk membuat keputusan yang bertanggungjawab.

3 Soalan Utama Tentang Personaliti Anda

Kesedaran kendiri berperanan dalam menjawab tiga (3) soalan utama tentang personaliti diri anda :

1. Apa yang menjatuhkan anda?

Memahami punca tekanan (stressors) atau pencetus (triggers) dalam kehidupan yang berupaya untuk menjejaskan sikap anda dan menjatuhkan anda adalah sangat penting. Apabila anda mengetahui peristiwa yang paling cenderung  memberi kesan kepada anda, anda boleh membuat persediaan untuknya dan merancang reaksi  anda lebih awal.

2. Apa yang menaikkan semangat anda?

Amat penting juga untuk memahami perkara yang boleh membantu anda bangkit semula selepas kejatuhan. Mengetahui dengan tepat langkah yang perlu anda ambil membantu anda untuk bangkit semula dengan lebih cepat dan mengurangkan pandangan negatif anda terhadap perkara yang sudah terjadi.

3. Apa yang mendorong anda?

Ia juga penting untuk sentiasa mengingati apakah sebab anda mengejar matlamat anda. Apabila halangan menghampiri anda, anda akan pulih dengan lebih cepat apabila anda boleh mengingati dengan cepat dan mudah tentang mengapa anda memulakan perjalanan ini pada awalnya.

 Memahami jawapan kepada tiga soalan utama ini boleh membantu anda bangkit daripada apa jua cabaran dan rintangan hidup yang anda lalui.

5 Tips Membentuk Kesedaran Kendiri

Berikut ialah beberapa cara anda boleh mula mencipta perubahan dan membina daya tahan (resilience) anda:

• Renungkan sejauh mana keperluan emosi anda sendiri sudah dipenuhi.

• Luangkan masa dengan orang dan aktiviti yang anda gemari.

• Berhubung dengan orang lain yang berkongsi matlamat yang sama dengan anda.

• Berfikiran ke hadapan dengan mula mencabar pemikiran negatif anda.

• Bersikap proaktif, jangan abaikan masalah anda. Sebaliknya, fikirkan perkara yang perlu dilakukan, buat rancangan dan ambil tindakan.

Daya tahan tidak akan membuat masalah anda hilang tetapi daya tahan boleh memberi anda keupayaan untuk mengatasinya, mencari keseronokan dalam hidup dan menangani tekanan dengan lebih baik.

[njwa_button id="9314"]

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp