Gambar Blogpost Self Harming

Self-harming atau mencederakan diri didefinisikan sebagai tindakan mencederakan diri (badan) dengan sengaja untuk mengurangkan kesakitan emosi atau untuk mengatasi perasaan yang tidak dapat dikawal. Self-harming juga adalah keadaan di mana individu mencederakan diri sendiri tanpa niat untuk membunuh diri, dan mengakibatkan kecederaan ke atas tubuh badan.

Tatu, bertindik, penyalahgunaan bahan atau kecelaruan pemakanan tidak termasuk dalam kategori mencederakan diri. Individu yang mencederakan diri ini biasanya bukan mencuba untuk membunuh diri. Walaubagaimanapun, mereka berisiko tinggi untuk melakukan cubaan bunuh diri sekiranya mereka tidak mendapatkan bantuan yang diperlukan.

Antara perkara yang dilakukan untuk mencederakan diri adalah seperti mengelar mana-mana bahagian tubuh badan, memukul diri, menumbuk dinding atau objek keras dan meletakkan benda panas di badan. Tindakan mencederakan diri ini adalah lebih lazim dalam kalangan wanita berbanding dengan lelaki. Golongan wanita pada kebiasaannya mencederakan diri dengan mengelar tubuh badan, manakala golongan lelaki pula lebih kepada memukul diri dan menggunakan api untuk mencederakan diri.

Self-harm juga cenderung untuk bermula pada usia remaja (14 tahun), namun ada juga individu yang berusia 30 tahun yang turut melakukan self-harm. Statistik menunjukkan 5% dalam populasi umum dewasa mencederakan diri manakala bagi populasi umum remaja pula adalah sebanyak 15%. Sesetengah individu mungkin melakukan self-harm untuk beberapa kali dan berhenti dari melakukannya semula, dan ada juga yang mencederakan diri selalu dan secara berterusan.

Faktor yang mungkin boleh menyebabkan tingkah laku mencederakan diri adalah dapat melarikan diri daripada perasaan sunyi, inginkan kawalan ke atas diri, merasa kelegaan daripada kebimbangan dan tekanan, serta menjadi satu cara untuk menghukum diri. Tingkah laku ini akan lebih kuat sekiranya individu mengalami trauma semasa zaman kanak-kanak, kehilangan ibu bapa atau pernah didera.

Beberapa langkah yang boleh dilakukan untuk mengawal tingkah laku mencederakan diri:

• Minta bantuan dengan menceritakan tentang masalah yang dihadapi atau memberitahu mengenai tingkah laku mencederakan diri ini kepada orang yang dipercayai.

• Mengenalpasti punca mencederakan diri. Tahu tempat, perasaan atau bila tingkah laku mencederakan diri akan hadir, ini boleh membantu individu untuk mengelakkan tercetusnya tingkah laku tersebut.

• Mengalih perhatian daripada perasaan ingin mencederakan diri. Cuba untuk fokus kepada perkara lain dan tidak memikirkan perkara negatif yang menggangu pemikiran.

• Menulis jurnal/diari. Adanya diari membantu individu untuk meluahkan perasaan yang disimpan, dan dapat melepaskan segala pemikiran negatif. 

[njwa_button id="9314"]

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp