Jawapannya tidak semestinya. Dalam sesetengah kes, pesakit kemurungan boleh mengalami halusinasi disebabkan oleh kemurungan yang melampau. Halusinasi ialah gangguan yang boleh datang dalam pelbagai bentuk seperti penglihatan, pendengaran, bau dan deria yang lain.
Ianya muncul tanpa sebarang stimulus. Halusinasi juga mungkin dialami oleh pesakit kesihatan mental yang lain. Bagi pesakit kemurungan, halusinasi yang biasanya menganggu ialah dalam bentuk suara atau bunyi yang bertemakan penyesalan, kekurangan diri, hukuman, kematian dan sebagainya.
“Kau tak layak hidup. Lebih baik kau mati”
“Semua yang berlaku ni salah kau”
Perkara ini sangat mengganggu pesakit dan boleh membawa kepada akibat buruk seperti bunuh diri. Namun, usah risau. Halusinasi dalam kemurungan kebiasaannya akan bertambah baik dan hilang apabila menerima rawatan untuk penyakit kemurungan.
Adakah kemurungan boleh dirawat?
Semestinya. Setiap penyakit mempunyai ubat atau kaedah rawatan yang tersendiri termasuklah penyakit kesihatan mental seperti kemurungan. Rawatan yang boleh ditawarkan ialah pelbagai dan pemilihan rawatan-rawatan ini tertakluk kepada perbincangan antara pesakit dan doktor yang merawat:
- Psikoterapi dan kaunseling
- Ubat-ubatan
- Perubahan gaya hidup seperti pemakanan, senaman, tidur dan sebagainya
Dengan mengikuti rawatan dengan rapi dan berdisiplin, individu boleh kembali berfungsi seperti biasa. Ketika ini, individu tersebut dikatakan berada dalam keadaan remission. Walau bagaimanapun, terdapat keberangkalian adanya relapse di mana seseorang itu kembali mempunyai simptom-simptom kemurungan setelah remission. Oleh itu, sangatlah penting untuk penghidap kemurungan untuk patuh kepada keseluruhan rawatan yang diberikan. Jangan bimbang, ruang untuk perbincangan sentiasa ada antara doktor dan pesakit.
Apa nasihat atau petua yang boleh dilakukan bagi mengatasi kemurungan?
Setiap orang sama ada sihat atau sakit, tua atau muda pasti pernah atau sedang menghadapi stress dalam menjalani kehidupan. Tekanan pada tahap yang sedikit penting dan mampu mendorong manusia menjadi lebih efektif. Namun, stress yang berlebihan melebihi kapasiti individu terbukti memberi kesan yang buruk seperti membawa kepada penyakit kemurungan. Oleh itu, perlulah kita belajar dan mempraktikkan taktik menangani stress dengan bijak.
Pelbagai cara boleh dilaksanakan mengikut kesesuaian setiap individu. Tiada cara yang terbaik dan universal untuk semua kerana manusia itu mempunyai variasi dan unik. Antara cara yang dicadangkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ialah Petua 10 B.
Apa yang boleh dilakukan jika ada simptom kemurungan pada diri atau orang sekeliling?
Hal pertama yang penting untuk dilakukan ialah mengakui bahawa diri sedang menghadapi masalah. Menidakkan atau menutup mata terhadap masalah yang dihadapi bukanlah penyelesaian yang terbaik malah merumitkan lagi proses penyembuhan.
Ketika berhadapan dengan masalah, manusia secara fitrahnya cenderung untuk mencari penyelesaian yang sesuai. Begitu juga sepatutnya pendirian kita dengan kesihatan mental masing-masing. Langkah seterusnya yang wajar diambil untuk mengatasi masalah kemurungan ialah meminta pertolongan. Antara saluran bantuan yang boleh dicari ialah:
- Doktor di klinik atau hospital berdekatan
- Ahli psikologi
- Kaunselor
Cubaan bunuh diri?
Kadang-kadang, apabila mood seseorang berada pada tahap yang terlalu rendah, terdapat kemungkinan wujudnya pemikiran untuk menamatkan hidup. Sekiranya ada, bantuan professional perlu dicari dengan segera. Tarik nafas dan cuba untuk tidak melakukan apa-apa keputusan sebelum berfikir dengan panjang teliti. Pemikiran ini selalunya hanya sementara dan akan hilang. Bunuh diri bukanlah jawapan yang terbaik dan keputusan meneruskannya tidak dapat diundur kembali. Ramai orang yang telah melaluinya dan berjaya mengatasinya. Harapan masih ada.
Kesimpulan
Kemurungan ialah penyakit kesihatan mental yang lazim, boleh dirawat dan tidak memalukan. Rawatan awal seharusnya diberikan untuk menyelesaikan masalah ini dengan cepat dan efektif dan membolehkan individu kembali kepada kehidupan yang biasa. Setiap orang dalam masyarakat mempunyai peranan masing-masing dalam menangani penyakit senyap ini.
Penulis : Dr Muhanna Mansor, Graduan Perubatan UIAM