Agorafobia merujuk kepada perasaan takut atau cemas ketika berada dalam satu kawasan atau situasi yang dirasakan sukar bagi seseorang individu itu untuk menyelamatkan diri. Fobia ini boleh dikatakan ialah fobia yang paling teruk kerana ia boleh mengganggu kefungsian seseorang ketika kerja ataupun dalam situasi sosial di luar rumah.
Dalam satu kajian yang dijalankan di United States of America (USA), Agorafobia sebenarnya didapati merupakan salah satu komplikasi yang sering dialami oleh mereka yang mempunyai Kecelaruan Panik (Panic Disorder).
Apa itu Agorafobia?
Perkataan ini dipinjam daripada Bahasa Greek, “agora” yang bererti dataran atau tempat keramaian dan “fobia” yang membawa maksud takut.
Agorafobia adalah satu kondisi di mana, individu itu takut dia akan mengalami serangan panik atau perkara yang memalukan diri ketika berada di sesetengah kawasan yang pada pandangannya, sukar baginya untuk mendapatkan pertolongan atau melepaskan diri andai sesuatu terjadi.
Mereka yang mempunyai Agorafobia, akan cuba untuk mengelak daripada berada dalam pengangkutan awam, pawagam, barisan panjang, kapal terbang, dan ruang awam yang lain. Sekiranya mereka terpaksa menaiki atau berada di dalam situasi itu, mereka akan cuba untuk duduk di kawasan yang paling mudah untuk melepaskan diri atau meminta pertolongan. Sebagai contoh, jika berada di dalam bas atau pawagam, mereka akan berusaha untuk mendapatkan tempat duduk yang berhampiran dengan pintu atau tingkap, supaya mudah untuk mereka meloloskan diri.
Bagaimana untuk mendiagnosis Agorafobia?
DSM-5 meletakkan beberapa kriteria yang perlu dicapai untuk mendiagnosis Agorafobia.
Ini merupakan satu penyakit yang mana seseorang individu itu mempunyai ketakutan dan cemas yang berlebihan sekurang-kurangnya 6 bulan. Perasaan cemas ini perlu berlaku sekurang-kurangnya dalam dua daripada lima situasi di bawah:
- Berada di dalam kenderaan awam seperti bas
- Beratur dalam barisan atau pun berada di tempat orang ramai
- Berada di kawasan yang terbuka seperti pasar malam
- Berada di kawasan yang tertutup seperti panggung wayang
- Keseorangan ketika berada di luar rumah
Perasaan takut atau cemas ini datang kerana mereka takut akan mengalami serangan panik atau episod-episod yang memalukan (contohnya, orang tua yang takut akan terjatuh atau terkucil) ketika berada dalam situasi-situasi di atas.
Cara mereka untuk melawan atau menghadapi situasi ini adalah dengan memastikan mereka tidak akan berada di tempat itu atau dengan memastikan mereka tidak keseorangan (ada peneman). Pengalaman-pengalaman seperti ini sangat rumit dan menyusahkan bagi individu terbabit sehingga ada yang terpaksa ponteng kerja bagi mengelakkan menaiki pengangkutan awam dan ada yang tidak sanggup keluar rumah kerana ketakutan ini.
Prognosis Agorafobia?
Ramai pengkaji mengatakan bahawa Agorafobia ini adalah disebabkan oleh Kecelaruan Panik, kerana dalam kebanyakan kes apabila pesakit mendapatkan rawatan untuk kondisi Kecelaruan Panik, episod Agorafobia juga turut berkurangan dan bertambah baik.
Rawatan yang diperlukan ialah ubat untuk serangan panik dan juga beberapa kaedah terapi psikologi untuk mengurangkan rasa panik dan takut tersebut.
Sekiranya anda mengalami situasi di atas, sila dapatkan bantuan pakar daripada psikiatris atau psikologis untuk rawatan lanjut.